SHAH ALAM - Rata-rata ibu bapa melahirkan kebimbangan dengan masa depan anak-anak yang tidak mendapat perhatian dan pendidikan sewajarnya di sekolah.
Ia berikutan pendedahan seramai 21,316 pelajar di negara ini yang telah berhenti sekolah.
Bahkan, mereka turut risau terhadap masa depan negara sekiranya generasi akan datang tiada ilmu pengetahuan sepertimana yang diajar menerusi sistem pendidikan negara ini.
Suri rumah, Nik Eshah Nik Him, 54, berkata, angka tersebut bukan kecil dan sangat membimbangkan.
"Jika tidak ditangani segera, masa depan anak-anak yang menjadi tunjang kepada negara akan merosot. Ia juga secara tidak langsung menyumbang kepada kadar pengangguran serta peningkatan kadar jenayah di dalam negara,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.
Seorang lagi suri rumah, Salmah Mahmud, 55, turut melahirkan kebimbangan sekiranya lebih ramai pelajar berhenti sekolah.
"Apatah lagi ketika pandemik Covid-19, ramai pelajar sudah tidak berminat untuk belajar, malah mereka lebih banyak meluangkan masa dengan aktiviti tidak berfaedah,” katanya.
Sementara itu, Nooraini Hassan, 44, yang merupakan penolong jurutera berkata, dia bimbang dengan masa depan anak-anak untuk bersaing pada zaman serba moden ini.
"Sedih apabila memikirkan 10 tahun akan datang bagaimana nasib negara kita. Seperti kita sedia maklum, sekolah merupakan institusi pendidikan paling sempurna kerana mempunyai guru terlatih,” katanya yang mempunyai empat anak.
Klik di sini untuk terus membaca