SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mewujudkan program khusus untuk memantau serta mengawal isu keciciran pendidikan di negara ini. Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti daripada Fakulti Pendidikan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mewujudkan program khusus untuk memantau serta mengawal isu keciciran pendidikan di negara ini.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti daripada Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, badan dunia seperti Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Bank Dunia telah mengeluarkan peringatan itu pada Jun 2020.

Beliau berkata, amaran itu merujuk kepada sekiranya sistem pendidikan negara di dunia tidak memantau isu lost generation dan learning lost, maka akan berlaku keciciran pendidikan yang besar di negara tersebut.

"Apa yang sepatutnya dilakukan KPM sejak Mac 2020 ialah mewujudkan badan khas di peringkat kementerian untuk memantau dan memastikan isu keciciran pendidikan tidak meningkat.

"Antaranya dengan menyediakan bantuan kewangan pendidikan kepada anak-anak keluarga B40, bantuan makanan untuk kanak-kanak miskin dan bantuan khidmat nasihat serta kaunseling kepada ibu bapa serta murid yang dikenal pasti tidak mahu meneruskan persekolahan mereka.

"Malangnya, itu tidak dilakukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pada persidangan Parlimen minggu lalu, ahli-ahli Parlimen telah dimaklumkan bahawa terdapat seramai 21,316 murid di negara ini yang telah berhenti sekolah sejak Mac 2020.

Berdasarkan pemakluman rasmi KPM, murid-murid berkenaan telah dikategorikan sebagai murid yang keciciran pendidikan serta terkeluar dari sistem pendidikan.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, situasi tersebut tentulah sangat mengecewakan.

"Dalam kajian pendidikan, terdapat dua bentuk keciciran iaitu keciciran pendidikan dan keciciran pembelajaran.

"Keciciran pendidikan merujuk kepada murid yang telah berhenti sekolah, manakala keciciran pembelajaran merujuk kepada murid kerap tidak hadir atau ponteng sekolah, tidak memberikan tumpuan kepada pengajaran dan murid-murid mempunyai prestasi pencapaian sangat rendah.

"Biasanya, kumpulan yang mengalami keciciran pembelajaran adalah jauh lebih besar berbanding keciciran pendidikan,” jelasnya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian pendidikan, keciciran pendidikan biasanya sangat dipengaruhi oleh faktor kemiskinan keluarga.

Menurutnya, sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, memang sudah berlaku keciciran pendidikan tetapi jumlahnya adalah sangat kecil dan terkawal.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan pandemik, ramai ibu bapa yang telah kehilangan pekerjaan menyebabkan pendapatan keluarga merosot teruk.

"Kajian oleh pasukan Tabung Kanak-kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia pada Ogos 2020 bertajuk ‘Families On The Edge’ melaporkan perbelanjaan keluarga untuk tujuan pendidikan anak-anak adalah yang paling tinggi dipotong keluarga B40 di bandar.

"Misalnya di Kuala Lumpur, pemotongan perbelanjaan untuk pendidikan anak-anak telah dipotong sehingga 84 peratus. Ini telah menyebabkan ramai anak-anak keluarga B40 tidak dapat meneruskan pembelajaran secara berkesan sepanjang pandemik berlaku.

"Selain faktor kemiskinan yang menyebabkan berlakunya keciciran pendidikan, faktor motivasi murid yang merosot. Ada murid-murid yang bekerja upah harian sepanjang pandemik juga menjadi penyebab kepada peningkatan jumlah keciciran pendidikan.

"Mereka hilang fokus dan motivasi untuk meneruskan persekolahan. Selain itu, faktor aspirasi ibu bapa yang rendah terhadap pendidikan anak-anak juga boleh menyebabkan anak-anak hilang fokus dan akhirnya berhenti sekolah.

"Apabila ibu bapa sendiri tidak lagi mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak mereka, keciciran pendidikan pasti akan berlaku,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca