ISU harga barangan keperluan dan makanan meningkat di Malaysia kembali hangat.
Peningkatan harga barangan ini telah menggusarkan rakyat yang masih tersepit dengan situasi yang tidak menentu disebabkan Covid-19.
Pelbagai alasan diberikan oleh peniaga, antaranya harga yang diperoleh daripada pemborong sudah tinggi menyebabkan para peniaga tidak ada pilihan untuk meletakkan harga yang tinggi walaupun melebihi harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan.
Manakala pihak pembekal atau pemborong pula memberi alasan menyatakan peningkatan kos pengeluaran.
Sebagai contoh penternak ayam menyatakan makanan ayam terpaksa diimport dari luar negara yang menyebabkan kos meningkat.
Situasi ini pasti memberi kerisauan dalam masyarakat.
Walaupun wujud pelbagai usaha dan program-program kerajaan berkaitan kemajuan pertanian dan industri makanan, namun ini tidak menunjukkan hasil yang sepatutnya dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia.
Sebagai contoh Program Agropolitan yang termasuk dalam Pelan Induk Koridor pembangunan Pantai Timur (ECER) tidak menunjukkan impak yang sepatutnya. Bajet 2022 pula hanya memperuntukkan RM1.7 bilion dan tidak menunjukkan sesuatu yang baharu untuk diperkenalkan.
Dalam situasi terkini, kerajaan terpaksa mengimport bekalan dari luar negara untuk mengimbangi permintaan.
Dalam usaha ini, kerajaan tidak boleh terlalu bergantung kepada bekalan import untuk menampung permintaan domestik dan bukanlah satu penyelesaian jangka panjang.
Kerajaan perlu memberi fokus untuk menggunakan sumber daya alam yang ada di negara.
Kerajaan dicadangkan untuk memperkasakan projek agromakanan yang sedia ada dan meluaskan lagi dan tidak terhad kepada koridor pembangunan ekonomi di sesuatu wilayah sahaja.
Sebagai contoh, kerajaan boleh mengenal pasti tanah-tanah terbiar di seluruh negara untuk dimajukan sebagai kawasan agromakanan.
Kelonggaran dari segi nilai pajakan, pinjaman mudah dan bantuan modal boleh diberikan kepada sesiapa yang berminat untuk memajukan kawasan ini sebagai sumber agromakanan negara.
Untuk rekod terkini, sebanyak 103,563 hektar tanah pertanian terbiar di seluruh negara dengan Pahang dan Selangor menyumbang kepada peratusan tertinggi.
Bagi memudahkan pembangunan tanah terbiar untuk agromakanan negara, kerajaan boleh menggunakan pendekatan projek berasaskan komuniti.
Sebagai contoh, kerajaan perlu menggalakkan golongan belia, graduan dan penganggur untuk melaksanakan projek agromakanan di tanah terbiar ini.
Tanggapan sektor pertanian sebagai sektor tidak popular perlu diubah dan perlu mencontohi negara Eropah yang menjadi profesion dalam agromakanan sebagai kerjaya yang menguntungkan.
Kerajaan juga disarankan untuk mengawal ubah status tanah pertanian kepada tanah pembangunan.
Ini bertujuan mengekalkan jaminan bekalan berterusan dan stabil.
Terdapat laporan menunjukkan berlaku penyusutan tanah pertanian terutama tanah sawah padi di negara ini berikutan pelbagai projek pembangunan.
Dalam melaksanakan projek agromakanan ini, kerajaan juga perlu memberikan perhatian untuk meningkatkan pengeluaran tempatan bekalan makanan untuk haiwan ternakan yang menjadi sumber protein negara.
Ini dapat memastikan rantaian bekalan tidak lagi bergantung kepada bekalan import.
Untuk rekod, keperluan domestik makanan haiwan seperti jagung bijiran adalah sekitar 4 juta tan Metrik atau mencecah nilai RM3 bilion setahun dan hal ini sering terlepas pandang dalam pembangunan kawasan agromakanan negara.
Keutamaan negara kini adalah perlu memberi perhatian yang serius dalam sektor agromakanan negara.
Malaysia yang mempunyai kawasan luas tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada bekalan yang import dan perlu memanfaatkan sebaik mungkin.
Rakyat tidak seharusnya dihimpit lagi dengan isu yang sama yang sepatutnya boleh dikawal dengan sumber-sumber sedia ada.
*Dr Muhammad Azwan Sulaiman ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan & Ukur UiTM Shah Alam
Klik di sini untuk terus membaca