DALAM perkongsian yang lepas, kita telah didedahkan dengan definisi pasaran saham, instrumen-instrumen yang boleh diniagakan dan isu kepatuhan syariah yang wujud dalam pelaburan saham.
Kali ini saya akan terangkan bagaimana pasaran saham berfungsi, apa yang diterima oleh syarikat yang tersenarai dan para pedagang serta pelabur.
Pasaran saham Bursa Malaysia dipantau dan dikawal selia dari segi pembangunan dan undang-undang oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Untuk berdagang dan melabur dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia pula bukan dengan mengetuk pintu dan terus beli dari pihak Bursa.
Tetapi melalui organisasi yang mengambil bahagian dengan Bursa Malaysia atau dikenali dengan bank pelaburan atau broker saham.
Selaras dengan kemajuan teknologi, bank pelaburan telah membangunkan pelantar dagangan yang membenarkan urus niaga saham dibuat sendiri secara dalam talian oleh pelabur dan pedagang.
Pun begitu, pelabur dan pedagang wajib mempunyai seorang wakil peniaga saham, sama ada dealer syarikat atau remisier yang berdaftar dengan bank pelaburan untuk berurus niaga di Bursa Malaysia.
Apa beza dealer syarikat dan remisier? Dealer syarikat hanya menerima gaji tetap dari bank pelaburan, manakala remisier menerima komisen dari sebahagian kos pelaburan yang dikenakan oleh bank pelaburan.
Secara mudahnya, untuk berurus niaga saham di Bursa Malaysia perlu melalui akaun dagangan dan CDS yang dibuka dengan remisier yang berdaftar di bank pelaburan.
Pasaran primer dan pasaran sekunder
Pasaran saham boleh dibahagikan kepada 2 peringkat pasaran.
Pasaran peringkat pertama atau pasaran primer yang berkait dengan Terbitan Awam Permulaan (IPO) syarikat dengan pelabur.
Dalam peringkat ini, syarikat yang mengeluarkan IPO akan menerima dana hasil penjualan saham kepada pelabur.
Manakala pelabur pula akan menerima saham berbentuk digital yang akan disimpan di dalam akaun CDS.
Peringkat ini masih belum melibatkan Bursa Malaysia, ia hanya melibatkan syarikat dan pelabur secara langsung.
Contohnya, syarikat A menawarkan IPO dan dibeli oleh pelabur B. Syarikat A akan menerima dana dari pelabur B, manakala pelabur B akan menerima saham dari Syarikat A.
Peringkat kedua atau pasaran sekunder pula melibatkan saham-saham yang telah disenaraikan di Bursa Malaysia.
Di peringkat ini, urus niaga saham syarikat yang melibatkan pertukaran dana dan saham hanya antara pelabur-pelabur sahaja.
Bermaksud setiap kali berlaku urus niaga saham, syarikat tidak akan menerima dana dari penjualan saham tersebut.
Dari contoh di atas, urus niaga saham syarikat A adalah antara pelabur B dan pelabur C sahaja.
Pelabur B akan menerima dana dari pelabur C dan pelabur C akan menerima saham dari pelabur B.
Syarikat A tidak akan menerima apa-apa sama ada dana ataupun saham dari urus niaga ini.
Untuk menjual saham yang telah dibeli semasa IPO, pelabur hanya boleh menjualnya di pasaran sekunder sahaja iaitu Bursa Malaysia.
Pastikan aliran ini betul untuk mengelakkan kita dari ditipu oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Jadilah pelabur yang berinformasi.
* Mohd Asri Ahmad ialah Mentor Pelaburan Saham Syariah
Klik di sini untuk terus membaca