SHAH ALAM - Dengan proses penamaan calon yang berlangsung hari ini bermakna 'peperangan' sebenar untuk merebut 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 kini bermula secara rasmi.Kehangatan bahangnya... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Dengan proses penamaan calon yang berlangsung hari ini bermakna 'peperangan' sebenar untuk merebut 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 kini bermula secara rasmi.

Kehangatan bahangnya juga jelas terasa apabila seramai 349 calon termasuk 304 lelaki dan 45 wanita berusia antara 24 hingga 79 tahun, yang mewakili pelbagai parti politik dan bebas sudah menghantar pencalonan masing-masing.

Daripada jumlah itu, 82 calon adalah mewakili Gabungan Rakyat Sarawak (GPS); diikuti 73 dari Parti Bumi Kenyalang (PBK); 70 calon dari Parti Sarawak Bersatu (PSB); 30 calon Bebas; PKR (28); DAP (26); 15 calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi); 11 wakil dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB); Parti Amanah Negara (8); Parti Sedar Rakyat Sarawak (5) dan seorang calon Pas.

Jumlah berkenaan memperlihatkan pertambahan besar berbanding 229 calon termasuk 36 wakil Bebas yang menawarkan diri untuk bertanding pada 2016.

Belum pun kehangatan PRN bermula, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Ali Biju, membuat kejutan apabila tampil bertanding atas tiket calon Bebas bagi mempertahankan kerusi DUN Krian.

Tindakan Ali itu memperlihatkan beliau membelakangi parti walaupun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan partinya tidak akan menyertai PRN.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan memberi respon terhadap tindakan Ali dengan menyatakan mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti berdepan tindakan disiplin termasuk boleh terhenti keahlian serta-merta.

Katanya, perkara tersebut sedia termaktub dalam perlembagaan parti.

Ali Biju yang merupakan Naib Presiden Bersatu bertanding sebagai calon Bebas bagi mempertahankan kerus yang dimenanginya selama dua penggal.


Pun begitu, Ali tetap bertanding sebagai calon Bebas berdepan saingan empat penjuru daripada calon GPS, Friday Belik; Musa Dinggat (PSB) dan Danny Kuan (PBK).

Mengikut rekod, Ali adalah penyandang kerusi DUN Krian selama dua penggal apabila meraih undi terbanyak pada PRN 2011 dan 2016 ketika mewakili PKR dengan menewaskan calon BN, Kilat Beriak dengan majoriti 1,640 undi.

Selain itu, PRN ini juga menyaksikan pertandingan empat penjuru di 33 kerusi DUN; lima penjuru (34); tiga penjuru (13), enam penjuru (7), dua penjuru (4) dan lapan penjuru hanya di satu kerusi DUN.

Antara 15 kerusi DUN paling mencuri tumpuan termasuklah kerusi DUN Gedung, Satok, Bukit Sari, Bukit Saban, Batu Kawah, Padungan, Lingga, Pujut, Krian, Pandungan dan Ba'kelalan melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi parti gabungan GPS

Tumpuan utama PRN Sarawak kali ini sudah pastinya terfokus kepada kerusi ditandingi oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg yang berpindah ke kawasan baharu di kerusi DUN Gedong.

Abang Johari ketika ditemui pada Isnin berkata, pengundi di seluruh negeri ini diseru memberikan sokongan kepada GPS bagi membolehkan dasar pemulihan ekonomi dan sosial akibat pandemik Covid-19 diteruskan tanpa gangguan.

Katanya, kerajaan negeri yang diterajui parti itu melaksanakan dasar berkenaan dan rakyat perlu memainkan peranan mereka untuk memastikan ia tidak terjejas akibat perubahan tampuk kepimpinan.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS membuat keputusan meninggalkan kubu kuatnya di DUN Satok selepas lapan penggal berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit.

Justeru itu, Abang Johari, akan menghadapi saingan empat penjuru dengan tiga calon lain iaitu Mohamad Sofian Fariz Sarbini dari Parti Sarawak Bersatu (PSB); Kamal Bujang (Amanah) dan Tomson Ango, mewakili PBK.

Abang Johari (tengah) tiba di Pusat Penamaan Calon N.26 Gedong di Dewan Masyarakat Gedong di sini, pada Isnin.


Sebelum ini, kerusi DUN Gedong disandang wakil rakyat Barisan Nasional (BN), Mohd Naroden Majais yang memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 3,365 undi dalam PRN Sarawak ke-11 pada 2016.

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing, sekutu GPS, pula berhadapan pertandingan lapan penjuru di kerusi DUN Dudong menentang tujuh calon lain termasuk Paul Ling (DAP), Wong Hie Ping (PSB), Jane Lau Sung Yee (PBK), Josephine Lau Kiew Peng (Aspirasi), Julius Enchana (PBDSB), Fadhil Mohd Isa (Bebas) dan Engga Uchat (Bebas).

Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat pula berhadapan dengan pertembungan tiga penjuru di kerusi DUN Balai Ringin menentang Datuk Snowdan Lawan (GPS) dan Kasim Mana (PBK).

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pula berhadapan pertandingan tiga penjuru bagi merebut kerusi DUN Bukit Sari, dengan dua lawan lain iaitu Riyah Basrah (PBK) dan Alias Mail (PSB).

Seorang lagi, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Emba dari GPS, pula berdepan saingan tiga penjuru menentang Mikail Mathew Abdullah (PKR) dan Andria Dundang @ Andria Gelayan (PSB).

Dalam PRN 2016, Uggah yang bertanding atas tiket BN-PBB, menang kerusi Bukit Saban selepas memperoleh majoriti 4,599 undi menewaskan calon PKR Noel Changgai yang hanya mendapat 925 undi.

Di kerusi DUN Baleh yang sebelum ini diduduki presiden sebuah lagi parti komponen GPS, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Masing yang meninggal dunia 31 Oktober lalu, bakal menyaksikan persaingan empat penjuru membabitkan calon parti itu, Nicholas Kudi Jantai Maseng, Kenneth Usang George (DAP), Sukarno Layau (PBK) dan Koh Kumbong (PSB).

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, pula bakal berhadapan dengan pertandingan empat penjuru di kerusi DUN Batu Kawah pada PRN.

Dr Kui Hian yang juga penyandang kerusi DUN Batu Kawah akan ditentang calon Dr Kelvin Yii (Ahli Parlimen Kuching); Chai Kueh Khun (PBK) dan Fong Pau Teck (Aspirasi).

Pada PRN Sarawak 2016 lalu, Dr Kui Hian menang kerusi DUN Batu Kawah dengan menewaskan calon DAP, Christina Chiew Wang See dan calon Bebas, Liu Thian Leong selepas memperoleh 6,414 undi berbanding Wang See (4,329) dan Thian Leong (1,109).

Manakala, bekas Mufti Perlis, Datuk Juanda Jaya pula akan menghadapi pertandingan tiga penjuru bagi mempertahankan kerusi DUN Jemoreng dengan menentang, Zainab Suhaili (Amanah) dan Dr Osman Rafaee (Bebas).

GPS sebelum ini memenangi PRN Sarawak ke-11 lalu selepas memperoleh 68 kerusi diikuti PSB enam kerusi; DAP (5), serta masing-masing satu Perikatan Nasional (PN) dan bebas. Klik di sini untuk terus membaca