SHAH ALAM - Biarpun jumlah calon menawarkan diri bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Disember nanti mencecah 349 orang berbanding 229 orang pada PRN 2016, namun ia tidak menjejaskan peluang Gabungan Parti Sarawak... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Biarpun jumlah calon menawarkan diri bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Disember nanti mencecah 349 orang berbanding 229 orang pada PRN 2016, namun ia tidak menjejaskan peluang Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk terus mengekalkan status quo mereka sebagai kerajaan pemerintah selepas hari pengundian nanti.

Penganalisis politik, Prof Dr Jeniri Amir berkata, melihat pertambahan jumlah parti dan calon bertanding pada PRN Sarawak kali ini berbanding pada 2016 sebagai sesuatu yang positif dan meraikan amalan demokrasi semakin subur di negara ini.

Beliau berkata peningkatan jumlah parti politik juga menunjukkan penduduk Sarawak sudah mempunyai kesedaran politik dan memperjuangkan hak rakyat.

Bagaimanapun, Jeniri yang juga Profesor Adjung Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata, seperti dalam kebanyakan PRN lalu, mana-mana parti yang menentang parti pemerintah negeri (GPS) akan tewas.

"Seperti dalam PRN Sarawak 2016 sebelum ini hanya dua atau tiga buah parti politik sahaja yang mampu memberikan saingan iaitu DAP dan PKR ketika itu.

Malah, jumlah undi pembangkang DAP hanya kira-kira 20 peratus, manakala PKR kira-kira 10 peratus daripada jumlah undi keseluruhannya.

"Saya menjangkakan dalam PRN kali ini hanya dua parti pembangkang iaitu DAP dan PSB sahaja yang mampu memberikan saingan kepada GPS manakala PKR bukan lagi pesaing utama susulan krisis dalaman parti itu, pada tahun lalu," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium di sini, hari ini.

DR JENIRI


Dalam pada itu, Jeniri berkata parti lain yang bertandingan pada PRN Sarawak kali juga sekadar mencukupkan 'kuota' dan tidak mampu memberikan saingan sengit kerana hanya muncul menjelang pilihan raya sahaja.

Beliau juga meramalkan sebahagian besar calon dari parti lain akan mendapat undi yang rendah dan berkemungkinan besar akan hilang wang pertaruhan.

Sementara itu, Jeniri juga yakin Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, tidak menghadapi masalah untuk menang di kerusi DUN Gedong, biarpun beliau baru berpindah ke kawasan berkenaan dari Satok.

"Ini kerana Abang Johari berpindah dari Satok bukan kerana penduduk di situ menolaknya atau undinya merosot. Malah, pada PRN Sarawak lalu Ketua Menteri menang kerusi Satok dengan majoriti undi lebih 5,000.

"Saya rasa Ketua Menteri Sarawak hampir pasti akan menang di DUN Gedong kerana tiada alasan untuk pengundi majoriti Melayu menolak Abang Johari kerana beliau berkeupayaan membawa perubahan dan pembangunan sosio-ekonomi di kawasan terbabit," katanya.

Malah, penghijrahan Ketua Menteri Sarawak ke kawasan DUN lain bukan sesuatu baharu, malah bekas Ketua Menteri, Tun Taib Mahmud pernah berpindah ke Asajaya ke Balingian.

DR AWANG AZMAN


Sementara itu, Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, berdasarkan pemerhatian terdapat 13 kawasan panas yang akan menyaksikan pertembungan sengit antara GPS dengan parti pembangkang terutama PKR, DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB), selain calon Bebas.

Antara kerusi panas berkenaan termasuk Opar, Batu Kawah, Ba Kelalan, Krian, Dudong, Ngemah, Telang Usan, Pujut, Engkili dan banyak lagi.

Beliau berkata pertembungan sengit berkenaan berlaku kerana kebanyakan masih dikuasa pembangkang yang sudah pasti menjadi sasaran utama untuk dirampas GPS pada PRN kali ini.

"Bagaimanapun, GPS dilihat mempunyai kelebihan untuk merampas kerusi berkenaan kerana parti perbangkang DAP, PKR dan PSB masih berbalah sesama sendiri mengenai jumlah kerusi mahu ditandingi mereka.

"Malah, perbalahan antara PKR dan DAP bukanlah sesuatu perkara baharu kerana hubungan antara kedua-dua parti pembangkang memang sentiasa tegang susulan pertembungan sesama sendiri di kerusi DUN sama dalam PRN Sarawak pada 2016," katanya. Klik di sini untuk terus membaca