SABAK BERNAM - Kesempitan hidup yang dialami menyebabkan seorang ibu terpaksa mengambil keputusan memberhentikan persekolahan salah seorang anak perempuannya.
Rahmah (bukan nama sebenar), 39, berkata, keputusan sukar itu terpaksa diambil disebabkan dia tidak berkemampuan akibat tidak bekerja.
Anak perempuannya, Aisyah (bukan nama sebenar), 16, mula tidak bersekolah sejak empat tahun lalu bagi memberi peluang kepada kakak dan dua lagi adiknya untuk meneruskan persekolahan.
"Segalanya bermula apabila saya berpisah dengan suami menyebabkan saya terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
"Aisyah bersekolah sehingga tamat Tahun Enam. Tetapi akibat kekangan kewangan, dia tidak dapat meneruskan persekolahan di peringkat sekolah menengah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini pada Isnin.
Rahmah bagaimanapun berkata, jauh di sudut hatinya ingin melihat Aisyah meneruskan persekolahannya demi masa depan lebih baik.
"Aisyah sebenarnya ada keinginan ke sekolah seperti pelajar lain, tetapi disebabkan saya tidak mampu, dia terpaksa berkorban bagi memberi laluan kepada adik-beradiknya lain bersekolah,” ujarnya.
Menurut Rahmah, bekas suaminya seperti ‘lepas tangan’ dan mengabaikan anak- anak serta menyerahkan sepenuhnya kepada dia untuk menyediakan segala perbelanjaan dan keperluan persekolahan.
"Bekas suami saya tidak mahu bertanggungjawab, malah mengabaikan keperluan anak-anak sehingga sanggup membiarkan anak tidak bersekolah.
"Sebelum ini, hanya saya seorang sahaja yang menguruskan perbelanjaan anak-anak, walaupun saya tidak bekerja dan tidak menerima sebarang bantuan,” katanya.
Bagaimanapun, dia kini sudah berkahwin baharu dengan seorang pemandu lori.
"Namun gaji pemandu lori tidak seberapa. Cukuplah untuk perbelanjaan makan dan minum. Tambahan pula suami baharu saya mempunyai seorang lagi isteri dan anak yang perlu ditanggung,” jelasnya.
Dia sehubungan itu berharap ada pihak dapat membantunya bagi membolehkan Aisyah kembali bersekolah.
"Saya memang berharap supaya ada mana-mana pihak sudi menghulurkan bantuan untuk memastikan Aisyah tidak terus tercicir dalam pelajaran,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca