PEMBANGUNAN mampan adalah pembangunan yang memenuhi keperluan masa kini tanpa berkompromi dengan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka. Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dirancang ketika sidang kemuncak Pertubuhan... Klik di sini untuk terus membaca

PEMBANGUNAN mampan adalah pembangunan yang memenuhi keperluan masa kini tanpa berkompromi dengan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka.

Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dirancang ketika sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September 2015.

SDG merangkumi lima dimensi iaitu kemajuan masyarakat, penjagaan bumi, kemakmuran, keamanan dan kerjasama. Antara perkara utama terangkum di bawah dimensi itu ialah kemiskinan, kesihatan, pendidikan, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar.

Hakikatnya, beberapa matlamat SDG sukar diukur atau diterjemahkan dalam bentuk fizikal dan material. Kesejahteraan alam sekitar misalnya, kerana SDG adalah agenda memastikan kelestarian hidup dengan mendapat hak dan akses terbaik seperti bekalan air, elektrik, pendidikan dan kesejahteraan alam sekitar untuk meneruskan kehidupan.

Di Malaysia, semua aktiviti SDG diselaraskan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang diberikan tanggungjawab sebagai agensi pusat bagi menyelaras semua hal berkaitan pencapaian SDG.

Malaysia ‘dilihat’ bersungguh-sungguh mencapai matlamat tersebut. Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), RMK12, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Bajet 2022 telah dijajarkan kepada SDG. Malangnya, istilah SDG masih asing dan tidak difahami banyak pihak.

SDG mempunyai 17 matlamat, 169 sasaran dan 232 petunjuk. Sebahagian matlamat itu berkaitan kesejahteraan alam sekitar iaitu air bersih dan sanitasi (SDG 6), akses kepada tenaga bersih (SDG7), penggunaan sumber secara bertanggungjawab (SDG12), perubahan iklim (SDG13), kehidupan dalam air (SDG 14) dan kehidupan di darat (SDG 15).

Pandemik telah memberi kesan kepada tiga dimensi SDG iaitu sosial, ekonomi dan alam sekitar, seterusnya cabaran kepada negara dalam mencapai Agenda 2030.

Negara kini di ranking ke-60 daripada 166 negara dalam Laporan Pembangunan Mampan 2019 yang dikeluarkan Sustainable Development Solutions Network (SDSN).

SASARAN

Pada 2020, Malaysia mencapai 146 indikator atau 59 peratus SDG meningkat daripada 128 indikator atau 52 peratus pada tahun sebelumnya. Secara keseluruhan, negara menunjukkan prestasi pencapaian SDG yang baik pada 2020.

Dalam konteks ketersediaan indikator mengikut matlamat pula, tiga matlamat yang mencapai ketersediaan indikator paling tinggi adalah Pendidikan Berkualiti (92 peratus), Industri, Inovasi dan Infrastruktur (92 peratus) serta Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan (89 peratus).

Namun, matlamat berkaitan kesejahteraan alam sekitar mempunyai pencapaian berbeza. Indikator yang bertambah baik ialah Kualiti Udara dan Air, manakala terendah pula ialah Bandar dan Komuniti yang Mampan (29 peratus).

Tiga sasaran SDG mengenai Tindakan Iklim yang perlu dititikberatkan adalah meningkatkan pendidikan, peningkatan kesedaran dan keupayaan manusia serta institusi mengenai pengurangan, penyesuaian, pengurangan kesan dan amaran awal perubahan iklim, mengintegrasikan langkah perubahan iklim ke dalam dasar, strategi dan perancangan negara, dan ketiga untuk menguatkan daya tahan serta kemampuan adaptasi terhadap bahaya berkaitan iklim dan bencana alam.

Bagi memastikan matlamat SDG berkaitan kesejahteraan alam sekitar tercapai, pelaksanaannya perlu disebar luas ke seluruh pelosok negara, bukan hanya pada peringkat tertinggi di Putrajaya.

SDG harus dapat difahami dan dihayati lebih ramai pihak khususnya pihak berkepentingan (stakeholder) terutama penggubal dasar dan rakyat akar umbi.

Kerjasama semua agensi kerajaan juga sangat penting untuk memahami, menghayati dan melaksanakan pemeliharaan alam sekitar menerusi SDG di peringkat negeri, daerah pentadbiran serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam adalah kunci perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membentuk budaya perkongsian tanggungjawab dalam menyasarkan pencapaian kesejahteraan alam berteraskan SDG.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca