[CATATAN PERTAMA] Isnin, 6 Disember 2021. Saya rasa lega sebab sudah berada di dalam ruang berangkat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sedang menunggu masa masuk ke dalam pesawat untuk ke Lapangan Terbang Narita di Jepun.
Dari situ, saya akan berpindah ke pesawat lain untuk ke Lapangan Terbang Newark di New Jersey, Amerika Syarikat (AS). Destinasinya ialah New York.
Saya khuatir sebab kalau-kalau ada masalah dan tidak dapat mengambil penerbangan tersebut.
Saya sudah terbang untuk ke-40 buah negara tanpa menghadapi masalah seperti untuk penerbangan ini, sebab dalam masa pandemik Covid-19, macam-macam syarat dan peraturan dikenakan pada bila-bila masa.
Saya mendapat tempahan terbang dari Newark ke KLIA tetapi terpaksa tukar laluan dan tiketnya sebab kerajaan Jepun halang penumpang daripada pindah pesawat dari Lapangan Terbang Haneda ke Narita dan terpaksa dapatkan tiket baharu dengan laluan dari Newark ke Narita dan kemudian menyambung penerbangan akhir dari Narita ke KLIA.
Jadi, tak salah kalau ada rakan saya tanya – betulkah saya mahu ke bandar raya New York dalam keadaan sekarang dengan beberapa rakan saya yang cuba pujuk agar tidak teruskan rancangan.
Saya teringat semasa saya mahu ke Sana'a di Yaman pada bulan Mac 2011 dahulu, saya juga diberi nasihat untuk tidak pergi buat pertama kali.
Saya sedang dalam perjalanan ke KLIA dan tidak dapat tukar rancangan dan teruskan juga ke Sana'a dengan hati penuh debaran. Mujur saya tidak menghadapi apa-apa masalah.
Saya ada beberapa rakan tempatan dan dari Malaysia yang menetap di sana yang membantu saya pergi ke mana-mana sehingga ke dua bandar lain.
Cuma yang peliknya, keesokan harinya saya balik ke Lapangan Terbang Sana'a untuk bertemu dengan lebih 200 pelajar Malaysia di beberapa buah universiti di Yaman yang diarah balik ke Malaysia, untuk elak daripada diapa-apakan dalam keadaan politik Yaman yang ketika itu tidak menentu.
Sekarang saya sudah berada di dewan menunggu di KLIA untuk pergi ke New York pada jam 8 pagi.
Suasana tak sama seperti 12 kali saya ke sana dahulu termasuk menyeberang sempadan ke Kanada dan Mexico, dengan keadaan di ruang pendaftaran lengang serta tidak sesak seperti biasa sebab jumlah penerbangan agak kurang.
Inilah kali pertama saya terbang jauh dalam era yang serba tidak menentu sejak penularan Covid-19 melanda seluruh dunia, dengan banyak negara sudah mulai menerima pelawat.
Semua ini memberi pengalaman yang agak berbeza dan kadang-kadang mencemaskan. Ia berbeza dengan dahulu bila semua orang boleh terbang dan pergi ke mana-mana dengan fikiran tenang, santai dan sambil lewa.
Saya dimaklumkan keadaan di sana sudah mulai bebas dengan rakyat Amerika menjalani kegiatan seharian dan sosial hampir seperti biasa.
Persembahan teater di Broadway sudah berlangsung walaupun dikejutkan dengan penularan varian Omicron.
Sebenarnya saya lebih suka guna perkataan ‘balik’ ke New York atau Amerika, dari ‘pergi' sebab bandar raya ini bagaikan tempat kedua saya dan sejak tiga tahun lalu saya balik ke sana serta Amerika sekali setiap tahun. Kadang-kadang dua kali sehinggalah pandemik Covid-19 melanda.
IMBAS KEMBALI
Tak terasa akan masa yang telah berlalu sejak pertama kali saya ke Amerika.
Pada masa itu, saya langsung tidak tahu universiti yang saya akan sertai adalah universiti ulung di Amerika dan dunia.
Dan saya mencipta sejarah akademik Malaysia dengan menjadi pelajar pertama (dan akhir) dalam bidang perfileman di universiti bertaraf Ivy League itu.
Fikiran saya mengimbau kembali semasa saya pertama kali pergi ke New York khas untuk belajar di Columbia University, saya mengambil dua minggu bertolak dari Subang hingga tiba di Lapangan Terbang Kennedy pada 29 Ogos 1978.
SINGGAH
Saya singgah di London dua minggu, tinggal bersama rakan yang menetap lama di sana dengan ada yang belajar. Sebenarnya ia dalam bulan Ramadan.
Masa itu ramai kawan dan saudara-mara yang menghantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang untuk hantar saya yang kebetulan akan berangkat ke Amerika bersama dua graduan daripada Kajian Sebaran Am iaitu Mustapha Kamal Anuar dan Salleh Kassim tetapi mereka akan belajar di dua buah universiti lain.
Peristiwa yang saya tidak dapat lupakan sebelum pergi ke New York ialah bagaimana dua hari sebelumnya, pada hari Jumaat, saya pergi ke masjid di Seksyen 14 di Petaling Jaya. Saya pakai sepasang sepatu jenis track shoes buatan Amerika yang agak mahal yang saya bayar RM80 di Pertama Kompleks. Malangnya selepas solat, sepatu saya hilang.
Saya terlihat seorang pelajar yang tidak masuk ke dalam masjid dan berdiri di pintu. Dia rasa gembira melihat saya datang dengan memakai sepatu itu, jadi saya syak dia yang mencuri atau ‘mengambilnya’. Dia kelihatan seperti dalam Tingkatan Tiga dan tidak mungkin boleh pakai sepatu saya yang bersaiz lapan setengah itu.
Saya pun fikir untuk berjalan berkaki ayam ke Jaya Supermarket tidak jauh dari situ untuk beli sepasang sepatu lain. Saya sebenarnya tidak marah sepatu saya dicuri, sebab yang lebih penting buat saya ialah dua hari kemudian saya akan bertolak pergi ke New York dengan dihantar oleh beberapa rakan daripada Utusan Malaysia, di mana saya bekerja sebagai wartawan dahulu seperti Zainuddin Maidin (Tan Sri) dan Khalid Jefri, Shahrom, Rahim Salleh serta Murtaza.
Tapi saya dapat dua selipar Jepun yang sudah usang dan berlainan corak serta warna dan sarungnya untuk pergi ke Jaya Supermarket di mana saya beli sepasang sepatu kulit berwarna coklat dengan harga RM60.
Sekarang ini, saya tiba awal di KLIA semata-mata untuk dapat peluang renung dan tulis artikel ini. Kalau dulu dari Subang terdapat ratusan ribu pelajar Malaysia yang terbang ke luar negara untuk sambung pelajaran tetapi kini mereka ke KLIA pula.
Berbeza dengan pengalaman saya untuk ke Amerika kali ini adalah kita sekarang dalam zaman atau era pandemik dengan pergerakan yang lain dan tidak begitu bebas.
Namun, tujuan utama saya ke sana kali ini adalah untuk membuat sedikit penggambaran di beberapa buah universiti mengenai sebuah dokumentari tentang pelajar Malaysia yang pernah belajar di universiti bertaraf Ivy League iaitu lapan buah universiti paling berprestij di Amerika – termasuk Columbia.
Dengan judul ‘Berteduh di bawah daun ivy’ atau Taking shade under ivy leaves, saya memandang ke hadapan untuk berbincang dengan dekan di pusat pengajian saya berhubung projek ini. Moga ia berhasil.
Dan saya mencipta sejarah akademik Malaysia dengan menjadi pelajar pertama (dan akhir) dalam bidang perfileman di universiti bertaraf Ivy League itu.
Fikiran saya mengimbau kembali semasa saya pertama kali pergi ke New York khas untuk belajar di Columbia University, saya mengambil dua minggu bertolak dari Subang hingga tiba di Lapangan Terbang Kennedy pada 29 Ogos 1978.
* Mansor Puteh ialah pengarah dan pengkritik filem serta budaya
Klik di sini untuk terus membaca