TIDAK kurang 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dikategorikan sebagai hot spot yang bakal menyaksikan persaingan sengit antara calon mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pembangkang serta Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN)... Klik di sini untuk terus membaca

TIDAK kurang 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dikategorikan sebagai hot spot yang bakal menyaksikan persaingan sengit antara calon mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pembangkang serta Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, 18 Disember nanti.

Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sebanyak 13 kawasan panas itu akan menyaksikan pertembungan sengit antara GPS dengan parti pembangkang terutama PKR, DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB), selain calon Bebas.

Antara kerusi panas berkenaan termasuk Opar, Batu Kawah, Ba Kelalan, Krian, Dudong, Ngemah, Telang Usan, Pujut, Engkili dan banyak lagi.

Beliau berkata, pertembungan sengit berkenaan berlaku kerana kebanyakan masih dikuasai pembangkang yang sudah pasti menjadi sasaran utama untuk dirampas GPS pada PRN kali ini.

"GPS dilihat mempunyai kelebihan untuk merampas kerusi berkenaan kerana parti pembangkang DAP, PKR dan PSB berbalah sesama sendiri mengenai jumlah kerusi mahu ditandingi mereka.

"Malah, perbalahan antara PKR dan DAP bukanlah sesuatu perkara baharu kerana hubungan antara kedua-dua parti pembangkang memang sentiasa tegang susulan pertembungan sesama sendiri di kerusi DUN sama dalam PRN Sarawak pada tahun 2016,” katanya kepada Sinar Harian.

Awang Azman

Mengulas lanjut, antara faktor membantu kemenangan calon GPS adalah kerana pelbagai bantuan sama ada dalam bentuk wang tunai mahu pun barangan disalurkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Tan Sri Abang Johari Abang Openg terutama semasa rakyat dilanda masalah Covid-19.

Beliau berkata, Abang Johari juga dilihat berjaya menangani pelbagai isu berkaitan Covid-19 dengan baik, selain kejayaan kerajaan negeri dalam tuntutan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutama royalti petroleum Sarawak.

"Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) ketat sempena PRN Sarawak ini sedikit sebanyak membantu kemenangan GPS yang sudah berkempen secara tidak langsung lebih awal semasa pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau juga meramalkan ramai calon pembangkang dan Bebas bukan hanya akan kalah teruk, malah akan hilang wang deposit kerana jumlah undi diperoleh mereka yang rendah.

Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Klik di sini untuk terus membaca