RANTAU PANJANG - Empat daripada 12 beradik di Kampung Bukit Pak Junoh di sini, tercicir daripada persekolahan akibat kesempitan hidup selepas bapa mereka menghidap penyakit gout kronik. Sharir Mat Ya, 59, yang menghidap penyakit itu sejak... Klik di sini untuk terus membaca

RANTAU PANJANG - Empat daripada 12 beradik di Kampung Bukit Pak Junoh di sini, tercicir daripada persekolahan akibat kesempitan hidup selepas bapa mereka menghidap penyakit gout kronik.

Sharir Mat Ya, 59, yang menghidap penyakit itu sejak 27 tahun lalu tidak dapat bekerja sebagai tukang rumah bagi menyara keluarganya.

Tugasnya digalas isteri, Saripah Sulaiman, 47, yang mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan RM200 setiap dua minggu, namun kini tidak dapat menoreh berikutan musim tengkujuh.

Sharir berkata, anak mereka yang tidak bersekolah ialah Noorrisha Farhanis, 17, (berhenti setakat Darjah Enam), Muhammad Danny El Ashrar, 14, (setakat Darjah Empat), Muhammad Ferris Haikal, 12, (setakat Darjah Tiga) dan Iyzreen Syafiqa Hazwany, 11, (setakat Darjah Dua).

Ujar Sharir, selepas hilang punca pendapatan dia terpaksa meminta anak-anaknya berhenti sekolah sejak lima tahun lalu.

Sharir (kiri) menunjukkan tangannya yang membengkak.

"Kini saya sekeluarga hanya bergantung kepada dua anak perempuan yang bekerja kilang di Selangor mengirim wang setiap bulan bagi menampung keperluan harian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Pak Junoh pada Isnin.

Sharir berkata, kini hanya anak ke-11, Nur Fateen Dania, 8, yang bersekolah di Darjah Dua di Sekolah Kebangsaan Kubang Kuau dengan kos perbelanjaan termasuk yuran dan pengangkutan diuruskan sepenuhnya oleh pihak sekolah.

"Jujur saya katakan, anak-anak saya pandai dalam pelajaran tapi kerana saya tidak mampu, mereka terpaksa berhenti sekolah.

"Anak-anak sangat memahami keadaan kami dan bila saya minta berhenti sekolah, mereka turutkan sahaja. Jika mereka sekolah saya tidak dapat memberi wang saku walaupun hanya 50 sen,” katanya.

Anak kesebelas, Nur Fateen Dania, 8, (kiri) melihat tangan bapanya, Sharir Mat Ya.

Katanya, sebelum ini dia pernah memohon bantuan daripada pelbagai pihak, namun belum diluluskan.

"Saya sangat memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca