SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih mempunyai satu lagi 'talian hayat' iaitu Mahkamah Persekutuan sekiranya Mahkamah Rayuan esok mengekalkan sabitan bersalah ke atas beliau dalam kes menyeleweng dana RM42 juta... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih mempunyai satu lagi 'talian hayat' iaitu Mahkamah Persekutuan sekiranya Mahkamah Rayuan esok mengekalkan sabitan bersalah ke atas beliau dalam kes menyeleweng dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd (SRC).

Mahkamah Persekutuan juga boleh menjadi pilihan seterusnya untuk pasukan pendakwa raya jika Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan bersalah iaitu hukuman penjara 12 bulan serta denda RM210 juta yang dibuat Mahkmah Tinggi pada Julai tahun lalu.

Menurut Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla, dari segi perundangan jika Najib didapati bersalah untuk satu atau semua tuduhannya maka pelaksanaan hukuman bergantung kepada budi bicara Hakim Mahkamah Rayuan.

Haniff Khatri menjelaskan, Hakim Mahkamah Rayuan bebas membuat keputusan sama ada mengekalkan hukuman diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi, sebelum ini atau menaikkan atau mengurangkan jumlah tahun hukuman penjara berdasarkan budi bicara mereka.

"Kalau rayuan Najib ditolak sepenuhnya maka Mahkamah Rayuan akan putuskan sama ada hukuman dibuat oleh Mahkamah Tinggi akan dikekalkan atau diubah.

"Bagi denda pula jika didapati bersalah hakim boleh mengarahkan Najib membayar minimum lima kali ganda iaitu lebih kurang RM210 juta dari nilai asalnya RM42 juta.

"Kalau rayuan Najib dibenarkan terhadap beberapa pertuduhan, maka dia masih perlu menghadapi hukuman penjara dan denda berkaitan dengan pertuduhan yang dikekalkan ke atasnya.

"Bagaimanapun pada kebiasaannya dalam sistem perundangan jenayah, keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan hukuman penjara akan digantung sehingga proses rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai," katanya bagi menjawab proses perundangan yang mungkin perlu dilalui Najib dan pasukan pendakwa raya dalam kes berprofil tinggi itu pada Selasa.

PERLU BEBAS SEMUA PERTUDUHAN

Dalam pada itu, Haniff Khatri berkata, Ahli Parlimen Pekan berkenaan boleh dilepaskan jika beliau dibebaskan daripada semua pertuduhan ke atasnya oleh Mahkamah Rayuan.

Ini kerana, Najib pada Julai 2020, didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa.

"Bagaimanapun, pasukan pendakwa raya menerusi Pejabat Peguam Negara boleh juga memfailkan rayuan pembebasan tersebut di Mahkamah Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Haniff Khatri menambah, pihak pendakwa raya juga boleh mengemukakan permohonan supaya Najib dikenakan syarat perintah tahanan di rumah berserta syarat bayaran denda secara ansuran, jika beliau gagal membayar denda secara sekali gus selepas dikekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Rayuan.

Ini kerana, Haniff Khatri berkata, pada kebiasaannya semua pesalah wajib membayar denda biarpun kesnya akan didengar di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan.

"Jadi bagi saya inilah yang patut dibangkitkan oleh pihak pendakwa raya kalau Mahkamah Rayuan, esok memutuskan Najib kekal bersalah atas semua atau sebahagian pertuduhan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, sebelum ini.

"Jika Najib gagal membayar denda RM210 sekali gus, beliau sepatutnya diarahkan bayar denda secara ansuran dan duduk sahaja dalam tahanan di rumah, bukannya diberikan keistimewaan melampau. Najib boleh diarahkan berada dalam rumah dan tidak boleh keluar dari kawasan terbabit dalam tempoh tertentu misalnya dari jam 7 petang hingga 7 pagi setiap hari," katanya

Klik di sini untuk terus membaca