SHAH ALAM - Sokongan akar umbi yang datang daripada jalur tradisi atau keluarga mampu menjadi faktor pertimbangan dalam sesebuah pilihan raya.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, aspek tersebut pernah digunakan oleh Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini.
Ujar beliau, PRN Sarawak juga sama kerana terdapat dua calon yang merupakan bekas pemimpin kanan negeri iaitu anak saudara Timbalan Ketua Menteri Sarawak, mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing, Nicholas Kudi Jantai Masing dan anak bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan), Azizul Annuar Adenan.
"Kalau kita tengok di Melaka contohnya kempen yang sangat terhad, jaringan kekeluargaan dan hubungkait di dalam kaum seperti budaya Naning atau Ninang.
"Itu diguna dengan baik oleh BN yang memungkinkan mereka menguasai keluarga-keluarga ini dan menyakinkan mereka untuk membalas budi jasa kaum dan sebagainya sehingga memberi undi kepada BN.
"Ini antara yang diakui sendiri oleh pemimpin-pemimpin kanan BN yang berjaya membawa kemenangan di PRN Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam program Wacana Sinar edisi ke-309 yang bertajuk Perang Empat Penjuru ‘Bujang Senang' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis, Penganalisis ekonomi, Datuk Dr Madelin Berma; Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamuddin manakala Ismail Adnan selaku moderator.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata, ia merupakan salah satu persepektif ideologi yang harus dilihat oleh parti-parti politik kerana calon diletak bukan untuk menang sahaja tetapi faktor-faktor berkenaan harus menjadi pertimbangan.
"Saya perhatikan barangkali ini kelemahan parti-parti pembangkang yang tidak ada jaringan secara asas di akar umbi bukan sahaja dari perspektif jentera undi tetapi dari aspek kekeluargaan, kekerabatan, kaum dan sebagainya.
"Kalau Umno kita faham ini memang sudah berakar umbi daripada cawangan, naik ke negeri dan lain-lain. Di Sarawak juga begitu.
"Dari persepktif orang atas pagar yang melakukan ‘vote swing’ ini, kerana kita faham dalam dunia politik, ini sahaja sudah boleh menjamin kemenangan,” ujarnya.