PEMIMPIN parti Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD), Aung San Suu Kyi yang dihukum penjara empat tahun tetapi kemudian hukumannya dikurangkan kepada dua tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan menghasut dan melanggar Undang-Undang... Klik di sini untuk terus membaca

PEMIMPIN parti Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD), Aung San Suu Kyi yang dihukum penjara empat tahun tetapi kemudian hukumannya dikurangkan kepada dua tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan menghasut dan melanggar Undang-Undang Pengurusan Bencana dipercayai tidak akan menghentikan tentangan penduduk terhadap junta tentera di Myanmar.

Ini adalah kerana, menurut beberapa penganalisis, gerakan menentang pemerintahan junta tentera di negara itu telah pun keluar dari bayang-bayang Suu Kyi yang pernah memenangi anugerah Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1991.

Sebelum ini, protes besar-besaran berlaku dalam kalangan orang awam sehingga menyebabkan lebih 1,000 kematian berikutan pihak keselamatan negara itu melakukan tindakan keras bagi memerangi para penunjuk perasaan selepas ikon demokrasi Myanmar tersebut ditahan pada 1 Februari lalu.

Para penunjuk perasaan berkenaan juga membantah pihak tentera kerana melakukan rampasan kuasa aman terhadap kerajaan awam pada tarikh yang sama.

Kebanyakan penunjuk perasaan tersebut percaya perjuangan yang telah dilakukan oleh mereka itu perlu berakhir dengan penamatan penguasaan tentera dalam bidang politik dan ekonomi di negara berkenaan.

Pada pagi Isnin lalu, Suu Kyi, 76, dihukum penjara empat tahun atas tuduhan menghasut dan melanggar Undang-Undang Pengurusan Bencana tetapi dikurangkan kepada hanya dua tahun dalam hukuman pertama yang dijatuhkan oleh mahkamah ke atasnya.

Dalam perbicaraan tertutup itu, bekas Presiden Myanmar, U Win Myint turut dihukum penjara empat tahun atas kesalahan yang sama dengan Suu Kyi tetapi kemudian dikurangkan hanya kepada dua tahun sahaja.

Seorang penganalisis bebas, Soe Myint Aung yang mengulas keputusan mahkamah tersebut menyatakan tuduhan-tuduhan yang dikemukakan ke atas Suu Kyi itu adalah ringan dan pihak junta tentera sebenarnya boleh melepaskannya.

"Bagaimanapun, (junta tentera) memilih untuk tidak melakukannya (melepaskan tuduhan-tuduhan itu ke atas Suu Kyi). Pihak tentera kelihatan telah menggandakan pendekatannya yang sangat menindas (terhadap Suu Kyi dan NLD)," katanya seperti dilaporkan oleh AFP.

Ikon demokrasi Myanmar, Suu Kyi dijel dua tahun pada Isnin lalu. - Foto AFP

PELBAGAI TUDUHAN

Wanita itu menghadapi hampir satu dozen dakwaan seperti pelbagai tuduhan rasuah, mengimport dan memiliki 'walkie-talkie', melanggar peraturan Covid-19 dan melanggar Akta Rahsia Rasmi yang kesemuanya boleh membawa hukuman penjara lebih 100 tahun.

Keputusan kes yang seterusnya dijangka diputuskan pada 14 Disember depan atas tuduhan bahawa beliau melanggar peraturan Covid-19 ketika pilihan raya umum diadakan pada November 2020 yang dimenangi oleh NLD.

Sebelum ini, hakim yang dilantik oleh junta tentera negara itu telah menjatuhkan hukuman penjara bagi tempoh yang lama kepada beberapa anggota terkemuka parti NLD.

Mereka ialah bekas anggota Parlimen NLD, Win Htei, 79, yang dijel 20 tahun setelah didapati melakukan pengkhianatan dan bekas Ketua Menteri negeri Kayin, Nang Khin Htwe Myint, 67, dipenjarakan 75 tahun kerana didapati bersalah dalam lima tuduhan rasuah.

Seorang lagi penganalisis bebas, David Mathieson berkata kepada AFP bahawa: "Masa kini kelihatan seperti babak penutup, mengetepikan (peranan) Suu Kyi dengan sepenuhnya dan menghancurkan parti (NLD) untuk kebaikan."

Bekas ikon demokrasi itu kekal popular di Myanmar walaupun imej antarabangsanya telah dicemari oleh perjanjian perkongsian kuasa sebelum ini dengan jeneral-jeneral tentera dan kegagalannya bersuara untuk etnik Rohingya iaitu golongan minoriti yang teraniaya di negara tersebut.

Namun, walaupun perkongsian kuasa berlaku, beliau dan para pemimpin NLD ditahan selepas pihak tentera menyatakan bahawa pilihan raya umum yang dimenangi oleh parti tersebut pada November tahun lalu dicemari dengan penipuan.

Dalam pada itu, selepas keputusan penghakiman diputuskan pada Isnin lalu, periuk-periuk dan kuali-kuali dipukul oleh penduduk di Yangon iaitu amalan tradisional yang dikaitkan dengan mengusir roh jahat tetapi dilakukan sejak Februari lalu sebagai cara untuk menyuarakan penentangan.

Perhimpunan rusuhan pantas dan tabik hormat tiga jari telah menjadi simbol utama penentangan rampasan kuasa sejak 1 Februari lalu tetapi ia menunjukan para aktivis di Myanmar berkongsi lebih banyak persamaan dengan aktivis-aktivis demokrasi di Hong Kong dan Thailand berbanding golongan tua dalam perjuangan politik di negara mereka sendiri.

Ratusan aktivis juga telah memasuki ke kawasan yang dikuasai pemberontak-pemberontak Myanmar untuk menjalani latihan pertempuran atau menyertai 'pasukan pertahanan rakyat' bagi melawan pihak tentera sekali gus menolak prinsip teras Suu Kyi yang tidak mahu menggunakan kekerasan.

Pertumpahan darah yang berlaku selama berbulan-bulan telah meninggalkan ruang yang semakin mengecil antara NLD yang menjadi kerajaan Suu Kyi dengan tentera walaupun junta tentera berkata bahawa ia mahu mengadakan pilihan raya baharu.

"Terlibat dalam mana-mana pilihan raya yang akan datang berkemungkinan berbahaya (buat NLD). Bekas-bekas ahli NLD akan dicap sebagai pembelot," kata Mathieson. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca