"ABAH bagi kau duit untuk beli makan minum, bukan untuk beli benda tak berfaedah ni!” Kata-kata itu menusuk ke tulang saya, tembus hingga sum-sum.
Kemudian saya melihat bagaimana budak yang malang itu dipulas telinganya dan ditarik keluar dari kedai. Kotak kad di tangannya dicampakkan ke kaunter kedai tersebut. Terkebil-kebil tauke kedai itu bagaikan baru disergah jin tanah.
Peristiwa tersebut berlaku di depan mata saya kira-kira 40 tahun nan silam di pekan Sungai Besar ketika saya mengikut emak ke situ. Sehingga sekarang ia masih melekat kuat dalam ingatan. Masih terbayang-bayang muka kelat budak yang ditarik telinga itu.
Saya bersimpati dengan budak itu. Tetapi itu bukan isunya. Yang mengganggu fikiran saya adalah kata-kata bapanya.
Saya betul-betul tersentuh. Tersinggung sebenarnya. Adakah patut dia berkata kad permainan tidak berfaedah? Adakah patut dia campakkan kotak kad itu bagaikan barang tidak berharga?
Saya berhak berasa tersinggung dan terganggu kerana pada masa itu bermain kad adalah kegilaan saya. Ke mana pergi, saya jarang berpisah dengan set kad yang saya sentiasa jaga dengan rapi.
Asal ada masa lapang dan asal ada kawan, akan duduklah saya menghadap kad-kad itu. Kalau tiada gangguan ‘siaran’, misalnya dicari oleh emak atau abah, saya boleh menghadapnya berjam-jam.
Namakan apa sahaja jenis kad - Old Maid, Snap, Donkey, Happy Family, semuanya saya ada. Selain itu, saya juga ada koleksi kad yang ada gambar Ultraman, Superman dan kad berupa ‘daun terup acah-acah’ yang harganya hanya 20 sen satu set.
Ajaklah bermain kad apa pun, sama ada yang mencari padanan gambar atau yang mengelak daripada mendapat kad tertentu, semuanya saya pandai.
Cuma nasib sahaja jarang menyebelahi saya kerana jika dihitung, rasa-rasanya saya lebih banyak kalah daripada menang. Tetapi perlu juga disebut, dalam kes-kes tertentu, saya sengaja berpura-pura kalah. Tujuannya supaya kawan yang menang seronok dan mahu terus bermain.
Dalam banyak-banyak permainan kad, saya paling suka main tepuk-tepuk kad sebab ia memerlukan pemain memiliki skil atau kebolehan tersendiri. Cara bermainnya mudah. Pemain hanya perlu menepuk-nepuk kad yang ditelangkupkan sehingga ia terbalik atau terlentang. Yang berjaya dikira menang.
Saya jarang kalah. Hanya ada seorang rakan sepermainan yang saya tidak pernah berjaya mengalahkannya. Malah, dengan sesiapa pun, selalunya dia menang.
SKIL
Tetapi keadaan itu tidaklah menghairankan kerana sejak kecil, kawan saya itu memang mempunyai skil menterbalikkan secara semula jadi. Terbalikkan basikal, terbalikkan pasu bunga, terbalikkan kerusi, semuanya dia pakar. Asal emak atau kakaknya marah, ada sahajalah benda yang diterbalikkannya.
Yang saya paling tidak suka pula permainan kad Donkey sebab entah di mana malangnya saya sering menjadi individu terakhir memegang kad Donkey. Dengan bahasa mudahnya, saya selalu kalah.
Seperkara yang saya belajar dari situ adalah saya jenis manusia yang tidak boleh bergantung pada nasib. Saya bukan macam sesetengah orang yang boleh mendapat markah tinggi dengan menjawab soalan-soalan objektif secara meneka.
Saya pernah cuba berbuat demikian, menjawab secara meneka tanpa membaca soalan. Hasilnya, daripada 20 soalan, jawapan yang betul cuma dua.
Oleh itu, orang macam saya perlu berusaha untuk mendapatkan sesuatu, waima untuk menang dalam apa-apa permainan. Saya perlu mencari dan membina kemahiran.
Kembali tentang kad. Ketika itu memiliki set kad adalah satu kebanggaan. Maklumlah bukan semua orang ada. Apatah lagi jika kad permainan kita pelbagai jenis. Dengan sendiri kita akan menjadi popular dalam kalangan kawan-kawan. Ke mana kita pergi, ke situ mereka mengekor.
Tetapi ditakdirkan nanti ada kawan lain muncul dengan set kad baharu, dialah pula yang akan diekori dan populariti kita pun pudar dengan sendiri.
Pendek kata, nasib pemilik set kad permainan masa itu samalah juga seperti penyanyi atau lebih tepat lagi seperti ahli politik!
Sejak dahulu, saya tidak bersetuju jika dikatakan permainan kad tidak berfaedah dan membuang masa. Ia sebenarnya riadah minda yang baik dengan kreatif, yang mengajar kita tentang peranan skil dan nasib dalam kehidupan.
Yang lebih penting, ia mendorong semangat kebersamaan dalam kalangan kanak-kanak kerana kad-kad itu secara umumnya tidak boleh dimainkan secara bersendirian. Perlu ada kawan dan perlu ada ‘lawan’. Kalau asyik main kad itu bersendirian, lama-lama tentu emak bapa susah hati sebab menyangka anaknya berkawan dengan jin atau ada ‘peneman’.
Selain itu, seperti yang saya katakan, ia juga mendidik kita untuk memahami konsep nasib dalam hidup. Konsep yang jika difikirkan secara mendalam akan mengajar kita peri mustahaknya berusaha daripada hidup bersandarkan tuah semata-mata.
ROSAK
Perlu difahami bahawa yang merosakkan nama baik permainan kad bukanlah budak-budak macam saya tetapi orang dewasa. Orang yang menjadikan kad untuk memperjudikan nasib. Yang mempertaruhkan bukan sahaja wang ringgit tetapi juga masa depan dirinya dan anak isterinya demi mengejar kesenangan secara mudah walaupun ia sering berakhir dengan kesusahan berpanjangan.
Selain permainan kad-kad yang dimaksudkan, permainan ‘indoor’ lain yang popular dalam kalangan kanak-kanak sezaman dengan saya ialah dam aji, tangga ular atau dam ular, Saidina dan Monopoly. Permainan lain yang tidak kurang gah ialah Sahiba tetapi ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lebih besar dan lebih popular dalam kalangan budak-budak bandar.
Sebahagian permainan itu masih dimainkan sehingga sekarang tetapi kaedah tidaklah sama dengan zaman saya dahulu. Anak-anak kini tidak perlu lagi mengusung kad ke sana dan ke mari mencari kawan untuk diajak bermain.
Mereka juga tidak perlu duduk berkumpul beramai-ramai di bangsal kosong atau di bawah pokok. Semuanya boleh dimainkan di mana sahaja secara bersendirian.
Rakan sepermainan mereka bukannya datang dari sekitar Kapar atau Sungai Panjang tapi dari merata penjuru alam termasuk tempat-tempat yang mereka sendiri tidak tahu di mana letaknya di atas peta.
Tidak seperti saya dan kawan-kawan, jika menang atau kalah bermain, satu kampung akan tahu, budak sekarang meraikan kemenangan atau meratapi kekalahan secara bersendirian atau paling lebih bersama kawan mereka di atas talian. Kawan yang namanya mungkin begitu tetapi rupa pula sebetulnya begini.
Kawan-kawan yang tidak akan datang meraikan jika mereka beraya, tidak datang menziarahi jika mereka sakit, tidak datang mengiring ke kubur jika mereka mati.
Kawan-kawan yang tidak kelihatan, tetapi kata mereka lebih mendamaikan, berbanding kawan-kawan di sekeliling yang acap kalinya menyebabkan kepala menjadi pusing. #dush!
* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia
Klik di sini untuk terus membaca