PROGRAM Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dilancarkan baru-baru ini adalah satu rancangan yang amat wajar bagi menangani kenaikan harga barang. Ia mendapat respons amat positif dalam kalangan rakyat.
Setelah kerajaan berhempas pulas dengan tanggungjawab menjaga nyawa warganya menangani pandemik Covid-19, kini pemerintah mengorak langkah memberi kelegaan kepada rakyat untuk terus hidup dalam erti kata sebenarnya.
Jika sebelum ini, golongan frontliners yang menangani pandemik terdiri daripada keseluruhan warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), bagi PJKM pula ia merangkumi lebih banyak agensi kerajaan.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Kewangan terlibat sama dengan agensi-agensi di bawah kementerian masing-masing.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kempen jualan murah yang bermula pada Sabtu lalu menawarkan harga antara 20 hingga 50 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
Kawasan menjadi sasaran adalah lokasi yang terdapat ramai golongan B40 dan M40. Masing-masing memuji program berkenaan kerana ia memberi kelegaan kepada rakyat mendapatkan bekalan keperluan makanan dengan harga amat berpatutan.
Perdana Menteri merancang agar kesemua 222 kawasan Parlimen melancarkan PJKM, namun hanya 13 lokasi yang dapat memulakan program tersebut pada tarikh pelancaran.
Sebenarnya, inilah program yang harus dipikul oleh wakil-wakil rakyat kerana ia memenuhi keperluan penduduk di kawasan mereka. Ketika ini rakyat bukan mahukan jalan bertar, jambatan konkrit, lampu jalan, masjid, sekolah dan balai raya, sebaliknya keutamaan mereka adalah untuk mendapatkan bantuan keperluan hidup.
Inilah juga peluang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli-ahli Parlimen untuk secara langsung berkhidmat kepada rakyat.
Seandainya pihak pemerintah lambat menyediakan tapak PJKM, merekalah yang seharusnya mengambil jalan proaktif menggembleng pasukan gerak kerja, berhubung dengan agensi-agensi MAFI, pemborong tempatan, golongan petani dan penternak dalam usaha bersepadu untuk rakyat di kawasan mereka.
Kesegeraan pelaksanaan perlu dilakukan. Rakyat patut lekas dibantu. Dan, pilihan raya juga semakin dekat. Kesan mileage politik mereka sememangnya menjangkau jauh dan meluas.
Ahli-ahli Parlimen dan ADUN akan dapat berhubung dengan jaringan pemain ekonomi tempatan serta jiwa dan raga rakyat di kawasan mereka.
Modal diperlukan untuk program seperti ini pun jauh lebih rendah berbanding cara menabur bantuan wang ringgit kepada pelbagai individu dan kumpulan yang selama ini menjadi beban tanggungjawab wakil-wakil rakyat. Ia akan menggembirakan rakyat apabila dapur mereka terus berasap.
PJKM dirancang untuk terus diadakan selagi harga barangan perlu tidak diturunkan. Jadi, program berkenaan akan menjadi program yang panjang.
Rakyat tidak perlukan sekampit beras setiap kali menjelang pilihan raya tetapi perlukan harga beras lebih murah agar mereka sendiri dapat membeli berkampit-kampit beras.
Memikat hati rakyat ‘secara plastik’ melalui wayang pacak, pementasan, konsert dan segala rupa pelancaran kempen sudah tidak praktikal lagi. Rakyat tidak boleh digula-gula. Tetapi mereka akan memberikan ‘senyuman bergula’ kepada pemerintah seandainya pihak berwajib membantu agar hidangan sentiasa ada di meja kediaman mereka.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca