SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, belum pasti sama ada beliau akan bertanding atau tidak jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat sementara menunggu kes rayuannya diputuskan Mahkamah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, belum pasti sama ada beliau akan bertanding atau tidak jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat sementara menunggu kes rayuannya diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, menegaskan beliau hanya akan membuat keputusan muktamad apabila tiba masanya nanti.

"Bila tiba masanya, barulah kita fikirkan," itulah jawapan ringkas diberikan Najib susulan tindakan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dijatuhkan Mahkamah Tinggi, sebelum ini ke atas bekas Perdana Menteri ke-6 itu.

Untuk rekod Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bahawa Najib didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, ketika membaca penghakimannya menegaskan kesalahan yang dilakukan Najib itu bukan kepentingan nasional, sebaliknya adalah memalukan negara.

Ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan sebulat suara mengekalkan sabitan salah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. selepas menolak rayuan Najib.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati rayuan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.

Mahkamah juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar dan bersesuaian.

Berikutan itu, Najib dalam sidang medianya melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan Abdul Karim yang mendakwa pembabitkan beliau dalam skandal SRC adalah sesuatu memalukan negara.

Ini kerana menurut, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau banyak memberi sumbangan termasuk meningkatkan kekayaan dan hasil negara sepanjang dalam perkhidmatannya sebelum ini.

"Sepanjang penggal saya, jumlah aset negara meningkat daripada RM800 juta kepada RM2 trilion. Oleh itu, saya mencipta banyak kekayaan (untuk negara)," katanya.

Selain itu, Najib juga mendakwa negara mengalami kerugian RM31.5 bilion dalam skandal pertukaran mata wang asing (Forex) antara 1991 dan 1994.

Berikutan itu, Najib yang juga bekas Presiden UMNO dan mantan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkenaan mengarahkan pasukan pembelaannya mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

Beliau berkata tindakan itu perlu kerana beliau kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan, hari ini, yang mengekalkan sabitan dan hukuman atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC.

Terdahulu, Najib menerusi sidang media dalam talian, menegaskan bahawa beliau tidak mengetahui, meminta dan mengarahkan wang RM42 juta dipindahkan ke akaun peribadi miliknya.

"Soal pokok dalam kes SRC ini berkisar kepada jumlah RM42 juta yang dipindahkan ke akaun peribadi saya. Sebagai seorang beragama Islam, saya bersumpah atas nama Allah, bahawa saya tidak tahu dan saya tidak minta serta tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk memindahkan RM42 juta itu," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca