DALAM kehampaan kita melihat rasuah dan perasuah bermaharajalela, kita termasuk sarjana besar mungkin tertarik dengan hukuman mati untuk perasuah, iaitu cara penyelesaian yang nampaknya paling cepat dan boleh mengubati 'kelaparan' kita untuk keadilan, seperti mi segera untuk mengisi perut kosong.
Ramai yang suka memetik contoh negara China seolah-olah hukuman mati ke atas pegawai tinggi telah menghapuskan barah rasuah di bumi China. Sebenarnya tidak, berita perasuah kena tembak sampai mati yang terus berlaku menunjukkan rasuah tidak pernah dihapuskan walaupun terdapat hukuman mati.
Hakikatnya, perasuah di China biasanya selamat sebelum kerjaya politik mereka ditamatkan. Kempen antirasuah sering menjadi alat untuk menghapuskan pesaing politik. Maka, untuk setiap perasuah yang ditembak mati, kemungkinan ratusan lagi mungkin terlepas dan bebas.
Daripada mencari inspirasi daripada negara asing, lebih bermakna kita lihat apa yang berlaku dengan pengekalan keputusan bersalah Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibuat pada Rabu oleh Mahkamah Rayuan. Persoalannya, apakah institusi yang menjatuhkan Najib?
Pertama, mahkamah yang bebas. Kalau mahkamah kita dikendalikan oleh hakim-hakim yang menjadi pak turut perdana menteri atau kroni-kroninya, sudah tentu perasuah tidak mungkin dibawa ke mahkamah keadilan selagi dia berkuasa sebagai perdana menteri.
Sungguhpun krisis kehakiman yang menyebabkan lima orang hakim ulung dipecat di bawah kuasa Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berlalu empat dekad lalu, masih ramai tidak pasti sama ada 'kebinasaan' lama itu telah pun diubati. Namun selepas keputusan semalam, mungkin keyakinan orang ramai terhadap mahkamah kita telah meningkat.
Kedua, pendakwa raya yang berani dan dibenarkan mendakwa penjenayah berpangkat tinggi. Ini kerana kes 1MDB sudah didedahkan di seluruh dunia seawal 2015, tetapi kenapa Najib hanya didakwa pada 2018?
Tidak lain tidak bukan kerana peguam negara yang berfungsi menjadi pendakwa raya dilantik dan boleh dipecat oleh perdana menteri. Tan Sri Abdul Ghani Patail telah dipecat kerana cuba mendakwa Najib dan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai penggantinya oleh Najib untuk memastikan beliau tidak didakwa. Maka, Najib hanya dapat didakwa oleh Tan Sri Tommy Thomas, peguam negara yang bukan dilantiknya.
Ketiga, demokrasi pelbagai parti yang membolehkan kerajaan ditukar ganti. Tanpa kejatuhan UMNO, peguam negara baharu yang berani mendakwa Najib tidak mungkin dilantik. Tanpa tukar ganti kerajaan, Najib tidak perlu menjawab apa-apa di mahkamah sekalipun beliau telah mencuri wang rakyat berbilion sedangkan orang miskin dipenjara selama 15 bulan kerana mencuri sepapan petai.
Dari segi ini, kita perlu menghargai jasa Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal yang keluar UMNO dan menubuhkan parti untuk bersaing dengan UMNO, seperti apa yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada zaman Dr Mahathir.
Maka, jika kita ingin benar-benar melawan rasuah, kita mesti memperkukuhkan dan memperkasakan tiga institusi ini: kehakiman dan pendakwa raya yang bebas serta demokrasi pelbagai parti yang menjadikan tokoh politik lawan tokoh politik.
Kita tidak dapat mengukur kehakiman bebas selain daripada keputusan mahkamah. Akan tetapi, kebebasan peguam negara dan persaingan pelbagai parti memang boleh diukur.
Maka, kalau kita ingin melawan rasuah, kita mesti menuntut pengasingan kuasa pejabat pendakwa raya yang bebas daripada kawalan peguam negara dan kita juga menolak seruan untuk parti-parti bersatu serta bergabung yang hanya akan menyenangkan usaha merompak negara oleh perasuah.
*Profesor Wong Chin Huat ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen
Klik di sini untuk terus membaca