"KITA tidak perlukan bangunan tinggi-tinggi. Kita perlukan gaji sedikit tinggi bagi menampung kos sara hidup yang mencanak”.
Ini antara rata-rata respons rakyat di media sosial terhadap pengumuman Menara Merdeka 118 yang secara rasminya menjadi menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa dan tertinggi di Asia Tenggara pada ketinggian 678.9 meter.
Sungguhpun Menara Merdeka 118 ini bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia kerana ia akan menjadi pemangkin baharu ekonomi, namun penerimaan awal sedikit mencalar hati segelintir rakyat. Bukan menolak kemajuan negara, tetapi isu kenaikan harga barangan dan makanan terutamanya ayam, sayur-sayuran dan telur terus menjadi perhatian dan kebimbangan rakyat terutamanya dalam suasana sektor ekonomi baru sahaja dibuka selepas hampir dua tahun terjejas akibat Covid-19.
Kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu memandang serius isu kenaikan harga barang ini yang akan menjejaskan proses pemulihan negara jika tidak dikawal. Rakyat baru mula dapat menarik nafas lega selepas sektor ekonomi dibuka semula, namun kini terbeban pula dengan masalah kenaikan harga barang secara mendadak.
Tiada siapa yang menafikan secara keseluruhan bekalan barangan keperluan dalam negara mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh. Meskipun dalam cuaca yang tidak menentu di beberapa negeri, bekalan makanan mentah tidak ada yang kurang.
Apabila kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan, suasana di pasar, pasar raya atau pasar raya besar cukup meriah. Lantaran itu tiada alasan harga barang dinaikkan disebabkan pengurangan permintaan.Permintaan
Perubahan harga yang dipengaruhi oleh faktor permintaan dan pasaran secara adil boleh diterima semua pihak. Dengan keredaan pandemik Covid-19, pembukaan semula ekonomi dunia telah meningkatkan permintaan secara mendadak.
Permintaan tinggi turut didorong oleh peningkatan perbelanjaan kerajaan dan kelonggaran polisi monetari secara serentak oleh semua negara dalam menangani kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19 sejak 2020.
Bagaimanapun, dilema pengguna hari ini terutama golongan B40 dan M40 pertengahan adalah harga barang-barang keperluan harian yang mencanak sejak beberapa bulan ini. Semuanya naik! Itulah kesimpulan yang boleh dibuat.
Susulan aduan kenaikan harga barang, KPDNHEP telah memeriksa premis-premis perniagaan di peringkat peruncit, pemborong dan pengilang.
Tidak logik untuk alasan peniaga menaikkan harga bagi menanggung kerugian disebabkan pembelian merosot. Oleh itu, mengapa harga barang keperluan harian melonjak dengan ketara? Adakah wujud pihak yang mengambil kesempatan sehingga menyebabkan berlaku peningkatan ketara harga runcit bagi keperluan makanan?
Meskipun harga runcit sebahagian besarnya dipengaruhi rantaian bekalan domestik, ia tidak sewajarnya naik pada kadar keterlaluan memandangkan rantaian domestik tidak dipengaruhi input global.Harga runcit wajar naik tetapi tidak boleh keterlaluan. Harga runcit boleh naik tetapi Margin Runcit-Ladang seharusnya kekal memandangkan rantaian domestik tidak dipengaruhi input global.
Kenaikan harga barang ini jika tidak dipantau dengan teliti oleh KPDNHEP dikhuatiri akan menjejaskan kehidupan isi rumah berpendapatan kecil dan keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Jika dahulu dengan mempunyai duit cukup-cukup sahaja boleh beli ikan sardin tin atau ikan bilis, tetapi sekarang harga setin sardin juga meningkat kepada lebih RM7 setin manakala ikan bilis paling murah RM24 sekilo. Senang cerita, RM100 yang dibawa suri rumah ke pasar tidak lagi mampu memenuhi bakul apatah lagi troli.
Sehubungan itu, inisiatif KPDNHEP melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan semasa dalam memastikan keberadaan bekalan di pasaran yang berkuat kuasa 7 hingga 31 Disember ini dilihat sebagai satu langkah positif kerajaan.
KPDNHEP kini bukan sahaja perlu memantau bekalan barangan pengguna mencukupi sebaliknya pastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan.
Sebagai salah satu kementerian di bawah kerajaan, KPDNHEP perlu meletakkan kepentingan pengguna mengatasi keuntungan peniaga yang mengambil kesempatan di sebalik kesukaran rakyat.
* Shafezah Abdul Wahab ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka
Klik di sini untuk terus membaca