Apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan keputusan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pastinya berita itu diterima pelbagai pihak dengan reaksi bercampur... Klik di sini untuk terus membaca

Apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan keputusan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pastinya berita itu diterima pelbagai pihak dengan reaksi bercampur baur.

Ada sebahagian pihak berpandangan proses keadilan sudah tertegak di samping memastikan dunia tidak berterusan boleh mengaitkan Malaysia dengan dakwaan menjadi pelindung golongan kleptokrat dan korupsi.

Namun, bagi ribuan penyokong Najib yang terkenal dengan jolokan 'Bossku', keputusan itu amat mengecewakan mereka.

Bahkan, tidak keterlaluan penulis mengatakan ada kelompok pentaksub Najib yang berkemungkinan besar sudah menularkan pelbagai teori konspirasi politik yang mengaitkan keputusan Mahkamah Rayuan itu dengan drama percaturan politik terbaharu negara.

Apa yang pasti, keputusan tiga panel hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil itu tentunya satu tamparan hebat kepada Najib, lebih-lebih lagi apabila beliau dikaitkan dengan ungkapan 'national embarassment' (memalukan negara) sewaktu keputusan penghakiman dibuat.

Pada masa sama, Najib juga kini tercatat dalam sejarah negara sebagai bekas Perdana Menteri pertama yang disabitkan hukuman bersalah oleh dua mahkamah.

TALIAN HAYAT

Meskipun begitu, Najib masih mempunyai lagi satu atau dua 'talian hayat' terakhir untuk dibebaskan daripada sabitan hukuman dihadapi iaitu yang pertama beliau masih boleh mengemukakan rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Satu lagi 'talian hayat' adalah Ahli Parlimen Pekan itu masih berpeluang menerima pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Proses pengampunan diraja itu bukan satu perkara pelik kerana manfaat sama yang pernah dinikmati Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, bolehkah keputusan Mahkamah Rayuan itu diandaikan sebagai petanda karier politik Najib yang juga figura politik yang semakin popular di media sosial bakal berakhir dengan penuh tragis?

Keputusan pemenjaraan Anwar sebenarnya memberi implikasi buruk kepada kerajaan BN dipimpin Dr Mahathir pada tahun 1999 kerana langkah itu sekadar meningkatkan lagi simpati rakyat terhadap Anwar.


ULANGI KEBANGKITAN ANWAR?

Bagi sebilangan pemerhati politik, apa yang berlaku terhadap Najib pada ketika ini berkemungkinan besar mampu mengulangi peristiwa kebangkitan Anwar dan blok pembangkang sewaktu bekas Timbalan Perdana Menteri itu dijatuhkan hukuman penjara pada tahun 1999.

Dipenjarakan selama enam tahun atas kesalahan penyalahgunaan kuasa, Anwar kemudiannya berjaya memulakan gerakan reformasi, menubuhkan Parti Keadilan Nasional (Keadilan), menyatukan blok pembangkang menerusi Barisan Alternatif (BA) sebelum mencipta sejarah sebagai blok pembangkang pertama meraih kemenangan kerusi Parlimen terbesar pada pilihan raya umum tahun 2008.

"Kejayaan ini dicapai kerana Anwar pada ketika itu berjaya meraih undi simpati daripada rakyat susulan kes mahkamah yang disabitkan ke atas beliau.

"Saya yakin Datuk Seri Najib tidak akan menggerakkan demonstrasi jalanan bagi mempertikaikan keputusan mahkamah sebagaimana gerakan radikal dibuat Anwar.

"Namun, saya tidak menolak kemungkinan keputusan pengekalan kes sabitan mahkamah ke atas 'Bossku' bukan sahaja tidak akan mengganggu gugat karier politik beliau, bahkan bakal memberi manfaat besar kepada UMNO dan BN dalam menghadapi PRU15 tahun hadapan," kata bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.

Lebih menarik, keputusan kes mahkamah terhadap Najib dibuat sewaktu zaman pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebelum diikuti zaman Perdana Menteri kesembilan daripada UMNO sendiri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

PERSEPSI MAHATHIRISME DALAM INSTITUSI KEHAKIMAN

Masih ramai penyokong Bossku terutama dalam kalangan akar umbi UMNO yang mendakwa kes beliau didalangi oleh Dr Mahathir, individu sama yang dianggap sebagai pencatur kepada peristiwa pemenjaraan Anwar sebanyak dua kali.

"Justeru, kesangsian rakyat terhadap institusi keadilan negara yang didakwa masih lagi dicengkam dengan pengaruh 'Mahathirisme' mungkin menjadi kelebihan kepada UMNO dan BN dalam memenangi kembali pengundi muda yang mahukan perubahan landskap politik.

"Dengan kerajaan PH di bawah pimpinan Mahathir dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dianggap melakukan pendakwaan terpilih terhadap ahli politik UMNO dan BN, sebilangan golongan konservatif Melayu lebih melihat tindakan pendakwaan itu sebagai usaha untuk membunuh 'UMNO', berbanding mengukuhkan institusi keadilan negara sendiri," kata Mohamad Khir lagi.

Ada kemungkinan keputusan terkini Mahkamah Rayuan terhadap Najib mampu menjadi pemangkin kepada Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengulangi fenomena kebangkitan Anwar pada tahun 1999.

PEMANGKIN NAJIB KEMBALI PM KE-10?

Selain itu, ada kemungkinan besar keputusan terkini mahkamah terhadap Najib menjadi pemangkin kepada kebangkitan segera Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu di puncak takhta politik negara sebagai Perdana Menteri ke-10.

Masakan tidak, bekas Presiden UMNO itu masih lagi kekal sebagai Ahli Parlimen UMNO dan berpeluang menjadi calon sekiranya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Dengan sabitan kes mahkamah bakal meningkatkan populariti Najib di mata rakyat, keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara dan denda bagi membolehkan rayuan Ahli Parlimen Pekan itu difailkan di Mahkamah Persekutuan, mungkin boleh menjadi mimpi buruk bukan sahaja kepada blok pembangkang, bahkan PN dan beberapa pemimpin UMNO sendiri.

Klik di sini untuk terus membaca