SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak kerajaan menetapkan kenaikan gaji minimum baharu dengan mengambil kira kenaikan kos barangan yang menyebabkan kehidupan pekerja terjejas teruk. Setiausaha Agungnya, Kamarul... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak kerajaan menetapkan kenaikan gaji minimum baharu dengan mengambil kira kenaikan kos barangan yang menyebabkan kehidupan pekerja terjejas teruk.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, selaras dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara yang memerlukan penetapan gaji minimum disemak pada setiap dua tahun sekali, MTUC berpendirian sudah menjadi kewajiban kepada kerajaan untuk menyemak dan menaikkan kadar gaji minimum bermula 1 Januari 2022.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa penyelarasan gaji minimum perlu diseragamkan di seluruh Malaysia bagi memberi mesej jelas bahawa konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah tunjang kepada dasar kerajaan.

"MTUC menuntut pelarasan gaji minimum dinaikkan daripada RM1,200 sebulan kepada RM1,500 sebulan dengan elain bantuan sara hidup (Cola) sebanyak RM300 diberikan.

"Kadar ini sejajar dengan keputusan dibuat oleh Majlis Ahli Perwakilan MTUC dengan permintaan kami dengan kadar itu sama lagi sama sejak tahun 2013.

"Kenaikan gaji minimum perlu disegerakan untuk memperlihatkan bahawa kerajaan amat memberi perhatian terhadap isu pekerja dan memartabatkan golongan pekerja,"katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

KAMARUL BAHARIN

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kenaikan harga barang yang semakin membebankan golongan pekerja, lebih-lebih lagi negara baru dalam fasa pemulihan krisis pandemik Covid-19 yang menghimpit negara sejak dua tahun lalu.

Untuk rekod, kerajaan sebelum ini memutuskan kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 sebulan di bandar utama di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran, manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama.

Perintah gaji minimum baharu yang dinaikkan kepada RM1,200 sebulan itu, sudah diwartakan dan berkuat kuasa 1 Februari 2020.

Sementara itu, Kamarul Bahrin menegaskan MTUC juga akan menuntut kerajaan melakukan transformasi gaji negara pada masa hadapan untuk memberi keadilan kepada semua lapisan pekerja.

Jelas beliau, pada masa kini, golongan pekerja bawahan hanya mendapat kenaikan dengan adanya kenaikan gaji minimum dengan golongan pekerja pertengahan tiada kenaikan gaji.

"Transformasi Gaji Negara akan melibatkan kenaikan tahunan, tangga gaji setiap jawatan pekerjaan, kelulusan akademik dan sebagainya dengan pelaksanaan gaji minimum adalah salah satu daripada ciri-ciri gaji yang perlu dikemas kini.

"Kerajaan perlu komited dan memiliki iltizam tinggi untuk menaikkan kadar gaji minimum kerana prospek kenaikan gaji akan memberi kesan kepada kenaikan penyimpanan pekerja golongan bawahan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan bertambah untuk kesejahteraan hari tua dan meningkatkan daya tahan kewangan selepas persaraan kelak.

"Pastinya yang lebih bernilai, kesanggupan Perdana Menteri mengumumkan peningkatan kadar gaji minimum baharu kelak bakal menjadi hadiah paling bermakna kepada golongan pekerja sempena tahun baharu 2022," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca