SHAH ALAM - Tindakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju, menarik diri daripada merebut kerusi DUN N39 Krian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 adalah tepat dan mampu membantu calon Gabungan Parti Sarawak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju, menarik diri daripada merebut kerusi DUN N39 Krian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 adalah tepat dan mampu membantu calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik, memenangi kerusi berkenaan.

Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, tindakan awal Ali menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas tidak mengejutkan namun sesuatu tidak wajar dan bertentangan dengan keputusan Perikatan Nasioanal (PN).

Malah, beliau berkata, barisan kepimpinan PN terutama Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah menyatakan pendirian tegas bahawa mereka tidak bertandingan dalam PRN Sarawak sebagai menjaga hubungan dan kerjasama dengan GPS di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Justeru, Jeniri berkata, tindakan Ali menawarkan diri untuk bertanding atas tiket Bebas bagi merebut kerusi Krian jelas bercanggah dengan keputusan pimpinan tertinggi PN dan Bersatu.

"Oleh itu, saya berpandangan parti memang patut mengambil tindakan tegas terhadap Ali kerana beliau gagal memahami aspirasi dan kehendak parti sekali gus mengundang padah kepada dirinya sendiri.

"Saya juga tidak menolak kemungkinan Ali akan dipecat bukan hanya sebagai Naib Presiden Bersatu, malah daripada jawatan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, di peringkat Kerajaan Persekutuan, dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Sinar Premium pada Khamis.

Dr Jeniri Amir

Jeniri berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ali yang mengumumkan menarik diri sebagai calon DUN N39 Krian dan memberi dukungan penuh kepada calon GPS, Friday Belik.

Ali juga menyeru kepada seluruh pengundi di DUN N39 Krian, DUN N38 Kalaka dan DUN N40 Kabong yang kesemuanya di bawah Parlimen P205 Saratok untuk memberi dukungan yang padu kepada calon GPS.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, beliau yakin Ali bertindak menarik diri daripada menjadi calon bebas di DUN Krian kerana tekanan dan desakan diberikan oleh pelbagai pihak terutama daripada parti PN dan Bersatu sendiri.

Beliau berkata, tindakan Ali memang sangat wajar jika beliau benar-benar mempunyai semangat dan sikap betul untuk mengekalkan hubungan antara PN dan GPS menuju ke arah persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Pengumuman Ali bukan hanya baik, malah akan menyelamat dirinya daripada dipecat daripada parti Bersatu dan kabinet," katanya.

Jeniri berkata, biarpun nama Ali tetap dicatatkan pada kertas undi, namun ia membolehkan ahli Bersatu dan penyokongnya dapat membantu memperkasakan kempen calon GPS di DUN Krian.

"Sebagai tanda keikhlasannya Ali juga perlu turun pandang dan memberikan penerangan kepada penyokongnya dan ahli Bersatu di kampung dan rumah panjang didiami masyarakat Iban bahawa beliau kini sudah menarik diri dan meminta mereka mengundi kepada calon GPS pada PRN Sarawak nanti.

"Tindakan itu membolehkan penyokong Ali memberikan undi kepada Friday di hari pengundian pada 18 Disember nanti," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca