MASALAH kekurangan jurutera boleh dianggap isu basi.
Namun, penulis rasa gundah minggu lalu apabila membaca berita Malaysia masih kekurangan jurutera.
Masalah itu kini dianggap kritikal kerana Malaysia sedang memasuki era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).
Penulis turut menerima WhatsApp seorang teman yang bertanya adakah isu kekurangan jurutera boleh mengganggu agenda perdana IR 4.0.
Penulis membalas ringkas meminta beliau membaca jurnal Majlis Kebangsaan Pembangunan Saintifik dan Penyelidikan atau The National Council for Scientific and Research Development (NCSRD) berkaitan masalah kekurangan jurutera.
Beberapa tahun lalu, NCSRD pernah melaporkan Malaysia perlu 500,000 jurutera dan teknologis pada 2020 bagi menangani cabaran IR 4.0.
IR 4.0 merangkumi trend yang semakin meningkat dalam bidang automasi, pertukaran dan proses data dalam teknologi industri pembuatan termasuk industrial internet of things (internet perkara industri), cyber-physical systems (sistem siber-fizikal), cloud computing (pengkomputeran awan), block chain (rantaian blok), artificial intelligence (kecerdasan buatan), smart factories (pengilangan pintar) dan smart manufacturing (pembuatan pintar) dan digital manufacturing (pembuatan digital).
Pertumbuhan eksponen dalam industri dan kemunculan teknologi digital menjadikan keperluan profesional mahir turut meningkat. Calon jurutera perlu mula memikirkan masa depan sekarang dengan pilihan bijak untuk menjadi jaguh dalam profil pekerjaan teratas IR 4.0
Justeru, apabila perangkaan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) pada Disember 2021 menunjukkan bilangan Jurutera Siswazah (GE) dan Jurutera Profesional (PEng) hanya 169,520 ahli aktif berbanding 101,478 ahli direkodkan pada 2016, penulis mula tertanya-tanya. Kenapa sasaran 500,000 tidak menjadi kenyataan?
Berdasarkan hukum kejuruteraan, Malaysia perlukan 300,000 jurutera sekiranya jumlah penduduk mencapai 32.75 juta.
Meskipun berlaku pertambahan 67 peratus dalam tempoh empat tahun, namun angka itu tidak mencukupi berbanding pertambahan penduduk pada kadar 0.5 peratus setiap tahun.
JURUTERA BERPENGALAMAN
Daripada jumlah itu, hanya sembilan peratus atau 14,497 jurutera berpengalaman.
Maknanya, Malaysia perlukan 285,000 jurutera profesional jika mahu menjadi negara maju.
Isu jurutera disebut ALLAH SWT dalam surah Al-‘Ankabut ayat (29:69) bermaksud:
"Dan orang-orang yang bekerja keras di (agama) Kami, sesungguhnya Kami akan pimpin mereka di jalan-jalan Kami dan sesungguhnya ALLAH berserta orang-orang yang berbuat kebaikan.”
Bukan mudah melahirkan jurutera berkualiti.
Apatah lagi, apabila BEM diperakui Penandatangan Penuh atau Full Signatory kepada dua perjanjian pengiktirafan bersama antarabangsa terhadap program pendidikan dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ketika ini graduan yang mengikuti program kejuruteraan teknologi atau TVET yang diperakui BEM mempunyai masa depan cerah kerana kelayakan mereka ‘boleh dipasarkan’.
Dalam hal ini, Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) Shah Alam tidak terkecuali memainkan peranan melahirkan jurutera berkemahiran tinggi demi agenda perdana IR 4.0 menerusi kerjasama industri dengan Turkish Aerospace Industries Incorporation (TAI), Siemens dan Apple.
Jika Malaysia perlukan 500,000 orang jurutera dan teknologis digital bagi meletakkan Malaysia setanding negara maju terutama dalam era digital, usaha lebih berkesan perlu dilaksanakan.
Antaranya, kerajaan mesti membenarkan institut pengajian tinggi (IPT) merombak syarat kemasukan dan melakukan penambahbaikan dalam bidang kejuruteraan serta teknologi tinggi dengan memasukkan komponen latihan kemahiran dengan kerjasama industri.
* Profesor Ir Dr Muhidin Arifin ialah Ketua Operasi Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) Selangor
Klik di sini untuk terus membaca