SHAH ALAM - Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dipenjarakan selama 17 tahun jika gagal membayar denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC). Pakar perundangan daripada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dipenjarakan selama 17 tahun jika gagal membayar denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Pakar perundangan daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Noorfajri Ismail berkata, 17 tahun itu termasuk 12 tahun hukuman penjara dan lima tahun tambahan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata, hukuman lima tahun itu akan dikurangnya jika Najib membayar denda yang dikenakan.

"Dalam penghakiman Mahkamah Tinggi dan juga dipersetujui oleh Mahkamah Rayuan, beliau akan dikenakan penjara selama lima tahun jika gagal bayar denda.

"Kalau dah habis tempoh lima tahun penjara, dia tidak perlu bayar lagi denda. Ini hanya di bawah pertuduhan itu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Rabu lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan kesalahan Najib dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas tujuh kesalahan menyeleweng dana SRC.

Mengulas lanjut, Noorfajri berkata, antara kesan lain ialah berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, Najib akan terlucut atau hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen kerana disabitkan dengan satu kesalahan yang melibatkan hukuman penjara minimum setahun dan denda RM2,000 ke atas.

Selain itu, katanya, hukuman ke atas Najib juga berkemungkinan boleh dikurangkan, ditambah, dikekalkan mahupun ditarik balik apabila membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

Jelas beliau, semuanya bergantung kepada keputusan dan budi bicara mahkamah itu nanti.

"Najib tidak akan dikenakan hukuman lain sebab di bawah Seksyen 23 ia hanya mengenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sahaja.

"Kenapa ada kemungkinan ini? Ia berdasarkan kepada rekod-rekod rayuan, dan sama ada Mahkamah Persekutuan berpuas hati atau tidak dengan keputusan mahkamah lain.

"Jika mahkamah atasan dengar kes itu dan mendapati hakim sebelum ini terkhilaf dalam membuat keputusan tertentu, ia menyebabkan adanya keempat-empat kemungkinan tadi,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca