BANGLADESH pernah memiliki dua wanita yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri di negara anggota Persidangan Negara Islam (OIC) itu dengan salah seorangnya, Khaleda Zia telah dipenjarakan setelah didapati bersalah kerana kesalahan rasuah.
Namun, Khaleda dan Perdana Menteri ketika ini, Sheikh Hasina mencipta sejarah unik apabila mereka dipilih oleh rakyat negara berkenaan untuk memegang jawatan tersebut sebanyak dua kali menerusi pilihan raya.
Bagaimanapun, para penyokong kedua-dua mereka saling bermusuhan sehingga membawa kepada pembunuhan dan yang paling menyedihkan apabila kejadian tersebut melibatkan para pelajar yang masih belajar di universiti negara berkenaan.
Dalam satu kejadian terbaharu iaitu pada Rabu lalu, hakim sebuah mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas 20 pelajar sebuah universiti kerana memukul seorang pelajar hingga mati di pusat pengajian yang sama kerana mengkritik kerajaan pimpinan Sheikh Hasina pada tahun 2019 di media sosial.
Mereka didapati membunuh Abrar Fahad, 21, yang dipukul dan ditemui di asramanya beberapa jam selepas dia menulis catatan di Facebook yang menyelar Perdana Menteri tersebut kerana menandatangani perjanjian perkongsian air dengan India.
Dia dipukul dengan kayu kriket dan objek tumpul lain selama enam jam oleh 25 rakan pelajar yang merupakan anggota Liga Chhatra Bangladesh (BCL) iaitu sayap pelajar untuk parti Liga Awami yang kini memerintah negara berkenaan.
Kesemua mereka yang dijatuhkan hukuman mati itu adalah berusia antara 20 dan 22 tahun ketika memukul Abrar pada tahun 2019 dan merupakan pelajar Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Bangladesh, Dhaka bersama Fahad.
Tiga daripada pelajar yang memukul Abrar masih bebas manakala selebihnya masih dibicarakan di mahkamah.
Sebelum dibelasah, Abrar telah meletakkan satu catatan di Facebook yang menjadi tular beberapa jam sebelum kematiannya.
Dalam catatannya, dia mengkritik kerajaan kerana menandatangani perjanjian yang membenarkan India mengambil air dari sungai yang terletak di sempadan yang dikongsi kedua-dua negara.
Dalam satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang bocor di media sosial, Abrar telah dilihat -- berjalan masuk ke asrama bersama beberapa aktivis BCL tetapi kira-kira enam jam kemudian, mayatnya dibawa keluar dan dibaringkan di atas tanah.
Masalah yang melibatkan pelajar-pelajar dalam dunia politik di Bangladesh bukannya satu perkara yang baharu.
Ini kerana pada November 2018, seorang pelajar Bangladesh yang belajar di Korea Selatan ditahan kerana dia didakwa terlibat dalam mewujudkan sebanyak 22 portal berita palsu yang menyebarkan propaganda antikerajaan.
Pelajar itu merupakan ahli Islami Chhatra Shibir iaitu sayap pelajar parti Jamaat-e-Islami, sekutu utama parti Zia.
KETAKSUBAN PENYOKONG
Permusuhan para penyokong kedua-dua pemimpin itu sering berlaku tambahan pula selepas Zia dihukum penjara 17 tahun secara keseluruhannya setelah didapati bersalah dalam kes rasuah pada tahun 2018.
Dalam satu kes, bekas Perdana Menteri pertama wanita di Bangladesh itu pada tahun 1991 dan sekali lagi memegang jawatan tersebut pada tahun 2001 itu didapati menyalahgunakan kuasa dan mengumpul dana dari sumber yang tidak diketahui untuk sebuah tabung amanah dikenali sebagai 'Zia Charitable Zia' menyebabkannya dihukum penjara tujuh tahun.
Zia yang kini berumur lebih 75 tahun dan pemimpin Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP) itu juga didapati bersalah dalam satu lagi kes rasuah dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun berhubung penyelewengan dana rumah anak yatim yang dinamakan sempena nama suaminya, Ziaur Rahman iaitu bekas Presiden Bangladesh.
Walaubagaimanapun, penyokongnya mendakwa kedua-duanya tuduhan tersebut bermotifkan politik manakala mahkamah rayuan di negara berkenaan telah memutuskan dia tidak boleh bertanding jawatan Perdana Menteri kerana sabitan tersebut.
Zia kini dilaporkan menghidap beberapa penyakit kronik antaranya penyakit hati sehingga mengancam nyawa yang memerlukan rawatan di luar negara dan menurut doktor peribadinya dia memerlukan rawatan segera di Jerman.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu dilaporkan sedang menunggu pengampunan Presiden bagi membolehkan dia mendapatkan rawatan di luar negara.
Dalam pada itu, Sheikh Hasina yang kali pertama menjadi Perdana Menteri pada tahun 1996 dan kali kedua pada tahun 2008 pula dinobatkan sebagai wanita paling berpengaruh di dunia dengan menduduki tempat ke-43 oleh majalah Forbes baru-baru ini.
Sheikh Hasina kini menjadi Perdana Menteri paling lama dalam sejarah Bangladesh dan sedang berkhidmat untuk penggal keempatnya selepas Liga Awami memenangi 288 daripada 300 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum yang ke-11 negara tersebut.
Buat masa kini populariti parti Liga Awami lebih hebat berbanding dengan parti BNP pimpinan Zia. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca