KISAH nelayan warga asing menceroboh dan mencuri hasil laut negara bukan perkara baharu. Pencerobohan nelayan asing yang merompak hasil laut negara mengakibatkan negara mengalami kerugian lebih RM4 bilion setahun. Mengulas lebih lanjut... Klik di sini untuk terus membaca

KISAH nelayan warga asing menceroboh dan mencuri hasil laut negara bukan perkara baharu.

Pencerobohan nelayan asing yang merompak hasil laut negara mengakibatkan negara mengalami kerugian lebih RM4 bilion setahun.

Mengulas lebih lanjut tentang isu berkenaan, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Ahmad Tarmidzi Ramly mendedahkan, berdasarkan rekod statistik pihaknya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 2019 hingga Oktober tahun ini, sebanyak 48 kes dilaporkan dengan nilai rampasan mencecah RM21.1 juta dan lebih 800 tangkapan nelayan asing.

Beliau juga memaklumkan kes tangkapan yang dinyatakan tidak termasuk kes tangkapan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) yang melakukan tangkapan dalam jumlah lebih besar.

"Mengikut pecahan statistik setiap tahun, 2019 merekodkan 21 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM10.3 juta, tahun 2020 pula terdapat 12 kes dengan nilai RM4.56 juta.

"Sepanjang tahun ini sehingga Oktober, ada 15 kes direkodkan dengan nilai RM6.5 juta,” katanya kepada Sinar Harian dalam sesi temu bual eksklusif di Ibu Pejabat DOF di Putrajaya baru-baru ini.

Katanya, nelayan asing merupakan nelayan bukan warganegara Malaysia yang melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara.

"Terdapat dua kategori nelayan asing iaitu vesel penangkapan ikan asing dan pekerja warga asing di atas vesel penangkapan ikan tempatan.

"Kesalahan yang biasa dikesan adalah vesel asing menangkap ikan di perairan negara dan vesel tempatan menggunakan kru asing menangkap ikan di luar kawasan (pencerobohan zon),” katanya.

Ahmad Tarmidzi

Ahmad Tarmidzi berkata, perairan negara sangat luas iaitu sehingga 200 batu nautika dari darat.

"Dengan jarak yang jauh, sudah tentu perjalanan untuk ke lokasi pencerobohan itu mengambil masa yang agak panjang. Nelayan asing ini hanya berada sekejap di lokasi tertentu dan beredar sebelum kehadiran mereka dihidu pihak berkuasa.

"Saya boleh katakan lokasi panas pencerobohan nelayan asing adalah di perairan Laut China Selatan iaitu di sekitar perairan Terengganu, Pahang dan Sarawak. Banyak kes dilaporkan oleh nelayan tempatan di kawasan ini,” katanya.

Tambahnya, untuk rekod, nelayan Vietnam paling ramai dikesan menceroboh perairan negara untuk mencuri hasil laut.

Justeru, pelaksanaan Ops Naga sejak dua tahun lalu dengan rakan strategik iaitu Maritim Malaysia, PDRM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberi kesan positif kepada usaha membanteras pencerobohan.

SEWA BOT KEPADA NELAYAN ASING

Ahmad Tarmidzi berkata, undang-undang menyatakan bahawa pemilik bot warga tempatan tidak boleh menyewakan atau memajak bot kepada warga asing.

"Kalau dikesan dan ada bukti, kita akan batalkan lesen dan ambil tindakan ke atas pengusaha terbabit.

"Bagaimanapun kaedah merekrut kru asing untuk bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan dibenarkan bagi vesel Zon C2, vesel Zon C3 dan vesel jerut bilis Zon A di Kedah dan Perak sehingga 100 peratus manakala bagi vesel Zon C dibenarkan sehingga 80 peratus kru asing.

"Penggunaan kru asing ini perlu berdaftar dengan jabatan dan mematuhi undang-undang di bawah Pekeliling Imigresen yang mewajibkan pelaksanaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Jangka Pendek,” katanya.

Menurut Ahmad Tarmidzi, pihaknya menggesa mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan hal sedemikian untuk tampil bagi pihaknya mengambil tindakan lanjut.

"Kita tidak benarkan mereka menyewakan atau memajak bot kepada nelayan warga asing. Ini salah,” tegasnya.

Tambah Ahmad Tarmidzi, isu sebenar yang perlu diatasi adalah penggunaan kru asing di atas vesel tempatan.

"Kerajaan juga telah mengumumkan Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi di bawah Dana Jaminan Makanan berjumlah RM150 juta melalui Bajet 2021.

"Peruntukan ini telah pun disalur ke Agrobank dan sedia untuk dipohon. Program ini bukan hanya akan meningkatkan daya saing nelayan tempatan malah turut menitik beratkan keselesaan dan keselamatan kru atau awak-awak. Tempat tidur, tandas dan peningkatan penggunaan mekanisasi diharapkan akan menarik minat rakyat tempatan menceburi bidang perikanan tangkapan,” katanya.

Katanya lagi, selain itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian (BPKLP) juga telah melaksanakan Program Khas Pembangunan Kru Vesel Perikanan Laut Dalam.

Nelayan warga asing yang ditahan untuk siasatan lanjut kerana menceroboh perairan negara.

SEKONGKOL

Tegas Ahmad Tarmidzi, pihaknya ada menerima aduan berkenaan warga tempatan yang bersekongkol dengan nelayan penceroboh ini.

Katanya, perkara itu sedang dikenal pasti sejauh mana kesahihan laporan dan siasatan sedang dijalankan.

"Seandainya benar nelayan kita sendiri sekongkol dengan nelayan asing, ia amat menyedihkan ibarat menggadai kedaulatan negara. Hasil laut negara adalah untuk rakyat tempatan. Keselamatan makanan negara akan terjejas.

"Kalau dapat sedikit hasil untuk diri sendiri tapi memudaratkan negara itu amat mementingkan diri dan tidak berintegriti, jadi mereka menggadai peluang untuk rakyat negara sendiri,” katanya.

Ujar beliau lagi, kalau dilihat sebetulnya peluang untuk rakyat tempatan bekerja di laut atau di darat memang ada, tapi jika peluang itu dicuri oleh orang asing, ia hilang begitu sahaja dan tidak adil buat warga tempatan.

"Kita sentiasa menjalankan siasatan dan intipan untuk pastikan pihak tidak berintegriti seperti ini sekiranya dapat bukti kukuh kita akan ambil tindakan ikut undang-undang.

"Mereka ini umpama gadai negara sendiri dan kita tidak benarkan perkara ini berlaku,” katanya.

Ahmad Tarmidzi berkata, pihaknya bersama agensi penguatkuasaan marin yang lain akan terus menguatkuasakan Akta Perikanan 1985.

"Disamping penguatkuasaan di laut, vesel tempatan turut dipantau menggunakan sistem VMS di mana lokasi vesel dapat dikesan menggunakan satelit termasuklah jika vesel berkenaan meninggalkan perairan negara.

"Kita tidak pandang remeh dan akan ambil tindakan susulan khususnya kepada mereka yang tidak berintegriti dalam aktiviti perikanan,” katanya.

Tegas beliau, bagi warga tempatan yang sekongkol dengan warga asing pihaknya tidak teragak-agak untuk ambil tindakan tegas.

LEBIH BANYAK KERUGIAN

Jelas beliau, apabila nelayan asing menceroboh dan mengambil hasil negara, ia merugikan kerana hasil itu adalah hasil kepada negara.

"Sepatutnya nelayan kita yang ambil hasil laut itu dan impak itu amat tinggi kerana kita telah rugi dari segi ketirisan.

"Bukan itu sahaja, kita juga rugi daripada peluang pekerjaan kerana tidak dapat mengambil ikan tertentu untuk memakmurkan hasil dari sektor perikanan. Jadi kita nampak masalah itu dan langkah drastik perlu diambil untuk kekang nelayan asing,” katanya.

Ujarnya lagi, dengan pelaksanaan Ops Naga dan kerjasama rakan strategik, pencerobohan ini dapat dikawal.

"Tapi, kita tidak boleh leka kerana mereka ini mengambil kesempatan dan peluang untuk menceroboh apabila tiada aset kita di sana,” katanya.

Tambahnya, pihaknya memohon kerajaan agar dapat menambah aset khususnya buat Maritim Malaysia atau DOF untuk bersama-sama mengawal sempadan negara daripada kemasukan nelayan asing.

Klik di sini untuk terus membaca