"KITA perlu ke bangunan tinggi-tinggi ni? Ada faedah ke untuk kita?” tanya Pak Din."Banyak faedahnya,” jawab Pak Tam pula sambil membelek surat khabar.
"Aku tak nampak faedahnya pun kat aku. Dulu buat KLCC, aku pun macam ni juga,” kata Pak Din.
"Ia berbentuk jangka panjang. Contohnya, seperti meningkatkan peluang kerja, pendapatan daripada sewa dan kegiatan ekonomi berterusan di situ akan mendatangkan pulangan kepada kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya,” jawab Pak Tam sambil membetulkan tali lehernya.
"Kalau begitu eloklah buat bangunan-bangunan tinggi di setiap negeri. Nanti kau minta menteri besar buat bangunan tinggi lagi daripada yang lain di Guar Chempedak ni. Bolehlah aku dapat manfaat juga,” kata Pak Din.
Pak Tam mengangguk-angguk sambil menjawab: "Betul juga ya.”
"Tanah padi ni tukar jadi tanah berstatus tanah pembangunan. Buat padi tak untung, buat bangunan tinggi nanti boleh majukan negeri Kedah,” kata Pak Din.
Sebenarnya keperluan membina bangunan-bangunan tinggi menarik untuk dikaji, sama ada dari segi keperluan rakyat dalam bentuk ekonomi atau kejuruteraan. Jika dari segi kejuruteraan, ada had atau tidak ketinggian sesebuah bangunan.
Dalam sebuah artikel ditulis Nate Berg yang bertanyakan kepada William Baker, seorang jurutera struktur yang terlibat dengan pembinaan Burj Khalifa mengenai had ketinggian membina sebuah bangunan,
"Oh, boleh sahaja. Kita dengan senangnya boleh tambah dua kali ganda daripada ketinggian yang ada. Nak tambah satu kilometer atau satu batu lagi pun senang sahaja,” jawab William.
Mungkin perlumbaan memiliki bangunan tertinggi dunia akan berterusan untuk beberapa tahun lagi bergantung kepada cita-cita atau ketaasuban negara itu agaknya.
Dalam artikel ditulis Rowan Moore bertajuk Is it time to stop building skyscrapers?, beliau ada bertanya Tim Nelson, seorang jurutera sebuah syarikat konsultan.
"Bangunan tinggi ini melepaskan 10 kali ganda jejak karbon berbanding bangunan 10 tingkat.”
Apa yang dimaksudkan bukan berkenaan bangunan itu tetapi lebih kepada sumber tenaga atau kandungan tenaga digunakan oleh bangunan tinggi apabila siap beroperasi nanti, yang pada pendapatnya akan menjejaskan persekitaran berbanding bangunan rendah.
Dari segi ekonomi, dalam sebuah jurnal yang saya baca, amat menarik tulisan Eldemery Ibrahim bertajuk High Rise Buildings - Needs and Impacts. Katanya - "Bangunan pencakar langit adalah produk zaman kita dan merupakan solusi sementara, terhasil daripada masalah yang kerajaan sendiri cipta.”
Maknanya, kerana tidak mempunyai solusi lain, disebabkan kekurangan tanah atau tanah mahal, kerajaan memilih membina bangunan tinggi yang merupakan solusi terbaik yang boleh difikirkan setakat itu sahaja.
Persoalannya, adakah bangunan pencakar langit itu memberi manfaat yang berbaloi kepada rakyat jelata?
Dalam buku ditulis oleh WC Clark dan JL Kingston pada 1930 bertajuk The Skyscrapper: A Study In The Economic Height Of A Modern Office Buildings, yang lebih kepada kajian untuk mengimbangi kos dan pulangan sesuatu projek bangunan pencakar langit, ia menyatakan secara umumnya walaupun bukan semua, ia menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan ekonomi setempat apabila diseimbangkan antara kos dan pulangan.
Namun, ia sebenarnya bergantung kepada permintaan dan penawaran setempat sama ada perlu dibina bangunan pencakar langit atau tidak.
Menurut Rowan Moore, di Britain, bangunan tinggi adalah tanda kepada kegagalan merancang untuk membina bangunan lebih sesuai, mampan dan berperikemanusiaan dari sudut psikologi.
Selain itu, menurut teori oleh bijak pandai ekonomi iaitu Professor Jason M Barr daripada Universiti Rutgers, walaupun hanya sekadar teori, ego itu sendiri dan ahli politik yang cuba meninggalkan legasi serta kesinambungan kerja politik boleh menjadi penyebabnya.
Beliau berkata, masih belum ada kajian menyeluruh adakah pembangunan pencakar langit itu secara tersendirinya memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi dan rakyat.
Cuma dengan membinanya, ia dapat mencabar had manusia dari segi pengetahuan teknologi kejuruteraan yang mungkin boleh diguna pakai dalam bidang lain untuk lebih memberi manfaat kepada rakyat.
*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.
Klik di sini untuk terus membaca