BERMULA hari ini, sekolah akan bercuti sehinggalah dibuka semula pada 3 Januari tahun hadapan bagi menamatkan penggal ketiga persekolahan yang akan berakhir pada 25 Februari 2022.
Selepas itu, penggal satu akan bermula pada 21 Mac 2022 dengan pelajar mula beralih tahun pembelajaran. Sekali imbas, penat juga memikirkan jadual persekolahan tersebut kerana terikat dengan kerangka fikir sebelum ini bahawa setiap kali perubahan tahun, anak kita akan berubah kelas dan tingkatan.
Namun, kesan pandemik Covid-19, itulah langkah yang terbaik bagi mengelak pelajar tercicir ilmu. Hakikatnya, sektor pendidikan seluruh dunia terjejas teruk akibat Covid-19.
Menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), berpandukan data sehingga Mac 2020, didapati 1.3 bilion pelajar seluruh dunia sama ada di peringkat sekolah dan universiti telah terganggu pembelajaran mereka. Ia bermakna, jika isu itu tidak ditangani dengan bijak dan bersungguh-sungguh, ramai pelajar akan tercicir pembelajaran mereka.
Berkaitan keciciran pelajar, Malaysia tidak terkecuali. Menerusi jawapan bertulis pada sidang Dewan Rakyat oleh Menteri Pendidikan baru-baru ini, seramai 21,316 atau 0.22 peratus pelajar telah berhenti sekolah bagi tempoh Mac 2020 hingga Julai 2021.
Selain itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, dianggarkan 20 peratus murid Tahap Satu daripada seramai 131,281 murid di Johor dikesan gagal menguasai kemahiran 3M (Membaca, Menulis dan Mengira).
Data tersebut belum lagi mengambil kira data-data bagi keseluruhan negeri-negeri di Malaysia.
Adalah jelas, data-data tersebut bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana selari dengan dapatan data yang telah dikeluarkan pihak UNESCO sebelum ini.
Namun, data-data sebegini akan mengejutkan saya jika tiada tindakan serius, tersusun dan kreatif untuk menanganinya. Agak malang, jika pelajar tersebut berhenti sekolah kerana kemiskinan dan tiada pula yang bertekad membantu mereka.
Pada hemat saya, jika berpuluh tahun dahulu pelajar sekolah berhenti sekolah kerana miskin agak boleh diterima kerana majoriti masyarakat adalah miskin.
Teringat kata-kata sahabat saya sewaktu belajar peringkat Diploma Pendidikan: "Keluarga aku miskin tegar, jika tidak kerana seorang cikgu yang membantu kakak aku yang tidak pernah bersekolah sehinggalah umur 11 tahun, sudah tentu aku tidak sampai ke tahap ini. Ia kerana setelah kakak aku berjaya, beliau membiayai pembelajaran aku pula.”
Maknanya, langkah intervensi harus dilakukan segera. Jangan biarkan mereka yang berhenti terus berhenti dan yang tercicir kemahiran membaca, menulis serta mengira terus tercicir.
Cari dan kenal pasti masalah mereka hingga ke akar umbi. Sekarang bukan masa untuk bersimpuh tetapi kita harus berlari ‘mengejar’ mereka. Mereka perlu dipandu dan dibantu agar tidak menjurus kepada krisis ilmu yang mendasari orang berakal.
Menurut Pak Hamka menerusi bukunya Falsafah Hidup - "Orang yang berakal luas pandangannya kepada sesuatu yang menyakiti atau yang menyenangkan. Pandai memilih perkara yang memberi manfaat dan menjauhi yang akan menyakiti. Dia memilih mana yang lebih kekal walaupun sulit jalannya daripada yang mudah didapati padahal rapuh.”
Selain itu, ALLAH SWT akan mengangkat darjat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firmannya: "Supaya ALLAH SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, 58:11).
Sebetulnya, krisis ilmu umpama kebocoran kecil di empangan yang besar. Jika tidak diperbaiki akan mendorong krisis kejahilan manusia. Bantulah mereka sebelum terlambat.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca