MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang dianggap indikator penting bagi menentukan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kini muncul pula satu polemik politik negeri itu yang menyentuh sensitiviti hubungan erat... Klik di sini untuk terus membaca

MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang dianggap indikator penting bagi menentukan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kini muncul pula satu polemik politik negeri itu yang menyentuh sensitiviti hubungan erat Sarawak-Malaysia.

Dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi pilihan utama untuk mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), terdapat beberapa parti kecil daripada blok pembangkang yang cuba meniupkan sentimen mengajak rakyat Sarawak menyokong usul negeri itu keluar daripada Malaysia.

Meskipun suara-suara itu dianggap sebagai terpencil, namun bagi segelintir pemerhati dan pemimpin politik tempatan, mereka bimbang laungan sentimen sedemikian bukan isu picisan, tetapi berpotensi menjadi barah keselamatan nasional sekiranya dibiarkan.

Malahan, sentimen provokatif itu kini bukan sahaja didendangkan sebagai 'cakap-cakap politik', sebaliknya dijadikan kandungan manifesto pilihan raya oleh parti-parti seperti Parti Bumi Kenyalang (PBK), Aspirasi dan Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDS B) secara terbuka.

Kegusaran itu diakui oleh Timbalan Ketua, Kluster Politik Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Jayum Anak Jawan yang mendedahkan sentimen anti Semenanjung Malaysia dalam kalangan rakyat Sarawak benar-benar wujud ketika ini.

Beliau menjelaskan hal itu susulan ketidakpuasan hati mereka terhadap layanan kerajaan Pusat terhadap negeri itu, lebih-lebih lagi kegagalan beberapa isi kandungan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang melibatkan hak kepentingan Sarawak, dipenuhi kerajaan Persekutuan.

"Secara umumnya, kempen pilihan raya sebegini sememangnya menangkap imaginasi para pengundi kerana sentimen itu menggambarkan pandangan umum rakyat Sarawak terhadap kerajaan Pusat ketika ini.

"Namun hendak mengatakan sentimen itu mampu diterjemahkan rakyat Sarawak dalam bentuk undi, agak sukar kerana majoriti rakyat Sarawak sendiri melihat keputusan keluar daripada Malaysia bukan satu pilihan.

"Mereka juga sedar opsyen terbaik untuk menyelesaikan isu hak kepentingan negeri itu dengan kerajaan Pusat adalah dengan menjalani rundingan susulan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mengukuhkan lagi perjanjian MA63," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Bagaimanapun Jayum menegaskan rasa kurang senang dengan tindakan parti-parti politik kecil yang menggunakan sentimen berkenaan pada PRN Sarawak, 18 Disember ini demi memancing undi.

Selain itu, beliau turut mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana parti yang cuba menjadikan sentimen Sarawak keluar Malaysia sebagai modal kempen serta manifesto pilihan raya.

"Apabila manifesto pilihan raya secara terang-terangan menuntut kemerdekaan Sarawak daripada Malaysia, bagi saya ia satu kesalahan besar kerana mencabar kedaulatan raja dan negara selain dianggap satu bentuk penderhakaan.

"Tiada masalah sekiranya parti-parti sebegini cuba memperjuangkan ketidakpuasan hati orang Sarawak yang mahu MA63 diteliti semula, tetapi sekiranya galak menuntut kemerdekaan daripada Malaysia, itu propaganda tidak wajar," katanya.

Lebih menarik, Jayum turut mendedahkan terdapat kelompok atau etnik tertentu yang cuba mengapi-apikan etnik bumiputera untuk menyokong cadangan Sarawak keluar daripada Persekutuan Malaysia.

"Namun, saya melihat etnik bumiputera tidak ada sentimen sebegitu, sebaliknya mereka masih memerlukan Sarawak untuk berada di bawah Malaysia, dengan syarat negeri diberikan autonomi untuk diperintah sendiri rakyat tempatan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pengajian Asia, Universiti Tasmania, Profesor Dr James Chin pula berpandangan sentimen rakyat Sarawak menuntut kemerdekaan daripada Malaysia adalah disebabkan sebilangan besar rakyat negeri itu sudah muak dengan politik perebutan kuasa, sentimen perkauman dan agama yang diamalkan di Semenanjung Malaysia.

Jelas beliau, sentimen dibangkitkan beberapa parti kecil di Sarawak juga bukan sekadar 'gimik politik', sebaliknya satu perkara serius yang tidak sewajarnya dipandang enteng.

"Anda harus memahami bahawa demografi, bahasa, budaya, kepercayaan dan sejarah negeri Sarawak adalah amat berbeza daripada Malaysia.

"Atas sebab itu, rakyat Sarawak tidak memahami mengapa kerajaan Persekutuan lebih rela memilih jalan kerosakan dengan mempromosikan kebencian dalam kalangan etnik dan kumpulan agama yang berbeza tinggal di Sarawak," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabeery Cheek menegaskan isu mempromosi sentimen Sarawak keluar daripada Malaysia tidak boleh berterusan dilihat sebagai isu negeri.

Sebaliknya, beliau menegaskan ia perlu dilihat dari sudut pendirian nasional yang secara terang-terangan menyentuh keselamatan nasional.

"Apabila ada parti kata kalau mereka menang, hendak buat usul Sarawak Merdeka. (Mereka boleh mencontohi) Macam Kosovo, lepas tu minta. masyarakat antarabangsa iktiraf kemerdekaan Sarawak.

"Suara begini bermula kecil, tapi lama kelamaan menjadi besar. Walaupun parti ini ditolak dalam PRN Sarawak, namun mereka akan terus berkokok lagi," katanya melalui laman Facebook peribadi beliau.

Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Klik di sini untuk terus membaca