TANGGAL 11 Februari 2013, tragedi penaklukan berdarah di Lahad Datu, Sabah yang tercetus akibat tindakan sekumpulan pengganas Sulu cuba mencerobohi kedaulatan Negeri di Bawah Bayu itu pastinya masih segar dalam ingatan majoriti rakyat Malaysia.
Tragedi pencerobohan itu dikaitkan dengan insiden diplomatik yang berlaku antara Malaysia dan Filipina sejurus selepas 235 pengganas Filipina yang sebahagiannya bersenjata mendarat di Kampung Tanduo di Lahad Datu.
Kumpulan tersebut yang menggelarkan diri mereka sebagai Tentera Diraja Sulu (RSA) telah dihantar oleh Jamalul Kiram III yang merupakan salah seorang daripada pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu dan mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu.
Implikasinya, kerajaan Malaysia melancarkan Operasi Daulat yang berakhir pada 24 Mac 2013 dengan 68 pemberontak RSA telah dibunuh.
Seramai 149 lagi anggota kumpulan itu ditawan manakala 10 anggota keselamatan negara ini maut selain 12 lagi cedera dengan sejumlah enam orang awam turut menjadi korban.
Tidak terhenti setakat itu, episod desakan kelompok tertentu dari Filipina menuntut kedaulatan negeri Sabah dari tangan Malaysia masih berterusan sehingga kini.
Tahun lalu, Akhbar The Philippine Inquirer melaporkan, Setiausaha Luar Filipina, Teddy Locsin didakwa mahu menghidupkan kembali pejabat Hal Ehwal Borneo Utara di Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) negara itu.
Locsin membuat kenyataan itu selepas mendakwa terdapat usaha menawarkan rasuah kepada calon-calon Presiden Filipina untuk menggugurkan tuntutan negara itu terhadap Sabah.
Terkini, terdapat ura-ura RSA dilaporkan bakal bersedia menawan semula seluruh Sabah pada Februari tahun hadapan.
Bahkan, laporan media antarabangsa mendedahkan ketumbukan pemberontakan hampir satu batalian itu dicapai menerusi operasi khas yang telah dirancang setelah beberapa siri pertemuan rahsia melibatkan 19 datuk bandar di Filipina.
Meskipun Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan tiada pengesahan ke atas berita itu selain percaya maklumat itu dimanipulasi pihak mencemburui tahap keselamatan negara serta hubungan rapat antara Sabah dengan wilayah selatan Filipina.
Dengan ancaman penaklukan ke atas Sabah oleh anasir luar yang tidak berkesudahan, siapa sebenarnya yang cuba menangguk di air keruh?
Bagi beberapa penganalisis keselamatan, gerakan demi gerakan dilancarkan, kononnya bertujuan menawan semula Sabah dari tangan Malaysia, tidak lebih sekadar gimik propaganda dimainkan kelompok tertentu dari Filipina semata-mata untuk mendapatkan laba politik, kuasa dan kewangan.
Dengan kelompok ini secara jelas cuba mencari pengaruh politik pada saat pilihan raya Filipina semakin hampir, taktik membangkitkan propaganda tuntutan Sabah daripada Malaysia pastinya menjadikan mereka seolah-olah juara di mata rakyat dalam aspek memperjuangkan kedaulatan negara berkenaan.
"Selain itu, polemik berterusan menuntut Sabah juga bakal memberikan keuntungan dari sudut ketenteraan apabila pihak ketenteraan negara Filipina bakal diberikan peruntukan tidak terhad daripada Manila atas alasan untuk memerangi anasir-anasir 'pengganas' ini.
"Lebih menyedihkan, terdapat segelintir pemimpin puak pemisah Sulu yang merelakan diri mereka ditaja ahli-ahli politik tertentu dari Filipina bagi tujuan menghuru-harakan keselamatan Malaysia, sedangkan mereka sedar mereka tiada kekuatan pun untuk melakukannya," kata Felo Kanan, Institut Keamanan Global (GPI) London, Profesor Madya Dr Mohd Mizan Aslam kepada Sinar Premium.
Selain itu, ancaman berterusan ke atas kedaulatan Sabah juga disebabkan masalah ketidakstabilan politik yang bukan sahaja berlaku di Filipina, bahkan di Malaysia.
Lebih malang, kegagalan Manila menyelesaikan konflik politik dan pemisahan wilayah di Selatan Filipina seperti Mindanao, Zamboanga, Sulu, Basilan dan Tawi-Tawi juga menyebabkan puak pemisah ini mudah dipergunakan kelompok berkepentingan politik peribadi.
"Atas faktor itu, Malaysia perlu mengambil iktibar daripada masalah ketidakstabilan politik negara Filipina yang menyebabkan kerajaan gagal mengawal aktiviti pengganas dari wilayah-wilayah yang berlaku konflik.
"Dari sudut hubungan diplomatik Malaysia-Sabah, propaganda sebegini pastinya memberi kesan, tetapi tidak sampai tahap terputus hubungan. Saya juga memuji Kementerian Luar Malaysia dan Filipina yang menangani isu ini dengan bijak dan berhemah memandangkan ia sekadar isu bermusim yang hanya timbul menjelang pilihan raya negara Filipina,"ujar Mohd Mizan lagi.
Bagi seorang lagi pakar hubungan antarabangsa, terdapat keperluan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Kementerian Luar membangkitkan isu ancaman berterusan ke atas kedaulatan Sabah oleh pengganas Sulu, melalui pertemuan dengan Kementerian Luar Filipina atau Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN.
Jelas Presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (JUST), Dr Chandra Muzaffar, persefahaman paling penting yang perlu dicapai dalam kalangan negara-negara ASEAN adalah persetujuan tidak membenarkan Filipina membiarkan isu ancaman Sabah berterusan pada masa hadapan.
"Polemik politik dalaman Filipina yang menjadikan Sabah sebagai kambing hitam wajar dihentikan kerana perkara itu tidak sihat dari segi hubungan diplomatik antara negara-negara dalam ASEAN sendiri.
"Kerajaan Filipina juga harus menunjukkan kesungguhan politik lebih jitu dalam mencari penyelesaian terhadap anasir-anasir dari negara itu yang cuba mengganggu gugat keselamatan rakan negara ASEAN seperti Malaysia,"katanya.
Klik di sini untuk terus membaca