[WAWANCARA] Sejak kebelakangan ini, negara dikejutkan dengan isu kenaikan harga barang mendadak yang turut meliputi produk pertanian dan makanan asas rakyat Malaysia.
Bermula dengan kenaikan harga ayam dan telur ayam yang berlipat kali ganda, kini rakyat mula mengeluh terhadap fenomena kenaikan harga produk makanan lain yang signifikan termasuk sayur-sayuran, daging lembu dan kambing serta hasil laut.
Ditambah dengan negara baru keluar daripada fasa pandemik dan sektor ekonomi domestik ke arah proses pemulihan, masalah kenaikan harga barang seharusnya tidak menjadi satu beban yang perlu diharungi rakyat pada saat mereka sedang membina semula kehidupan yang terjejas sebelum ini.
Selain itu, isu kenaikan harga makanan asas yang dikaitkan dengan kekurangan bekalan juga menimbulkan tanda-tanda terhadap tahap kemampanan sekuriti bekalan makanan negara yang ketika ini terlalu bergantung dengan produk import.
Menyelami permasalahan itu, wartawan Sinar Premium, Khairil Anwar Mohd Amin bersama Majlis Penasihat Pertanian Negara, Profesor Dr Mad Nasir Shamsudin bagi memberikan pencerahan dan cadangan solusi terhadap masa hadapan industri pertanian serta tahap kemampanan sekuriti makanan negara.
SINAR PREMIUM: Apa faktor sebenar kepada kenaikan harga barang makanan asas yang mendadak pada ketika ini?
MAD NASIR: Kita perlu melihat isu ini secara holistik didalam rantaian bekalan makanan. Apa yang diperkatakan di media disebabkan faktor kekurangan bekalan dan kenaikan harga input ada betulnya. Bagaimanapun buat masa ini harga ladang (iaitu harga yang diterima oleh petani) masih lagi lebih kurang sama walaupun harga di peringkat runcit telah naik mendadak.
Contohnya harga kobis bulat tanah tinggi. Perbandingan harga ladang pada awal dan akhir November masih dalam lingkungan RM3.00 hingga RM3.50 bagi sekilogram. Bagaimanpun harga di peringkat runcit telah naik daripada RM5.00 sehingga melebihi RM6.50 sekilogram. Ini menunjukkan bahawa selain daripada faktor kos pengeluaran terdapat juga faktor tidak kecekapan dalam rantain bekalan sayuran dari ladang hingga ke pengguna dan faktor import bekalan makanan.
Contohnya untuk faktor import, saranan kerajaan China supaya rakyatnya menyimpan stok makanan termasuk kobis, beras dan tepung sebagai persediaan bagi menempuh fenomena cuaca sejuk luar biasa yang diramalkan berlaku pada hujung tahun juga telah mengakibat kenaikan harga import sayur-sayuran. Isu logistik dari negara pengeksport ke negara kita juga menyebabkan kenaikan harga makanan asas.
Banyak pihak mengkritik Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Mafi) kerana didakwa gagal menjangkakan senario kenaikan harga makanan asas dan produk pertanian dengan lebih awal. Setujukah Datuk dengan kritikan itu?
Berbanding dengan sektor perindustrian, sektor pengeluaran makanan terdedah kepada banyak lagi risiko dan ketidakpastian yang rumit untuk diramalkan. Walaupun rumit, tetapi boleh ditangani.
Oleh itu, pengurusan risiko pasaran melalui Sistem Amaran Awal (Early Warning System) perlu dibangunkan untuk pemantauan dan ramalan harga serta pengreluaran bagi mengurangkan risiko dalam pengeluaran makanan.
Perancangan kesediaan kecemasan melalui amaran awal serta memperkenalkan langkah-langkah untuk mencegah bencana alam dan faktor cuaca juga perlu diwujudkan.
Antara punca yang telah menghalang prestasi sektor pengeluaran makanan adalah kos bahan mentah yang lebih tinggi. Bagi sepuluh tahun yang lalu, indeks bahan makanan dan stok makanan meningkat 24.4 peratus. Bahan makanan untuk ternakan diimport terutamanya dari Argentina, manakala untuk baja adalah dari Kanada dan China. Import daripada bahan makanan untuk haiwan berjumlah RM4.6 bilion pada 2020, manakala baja RM3.2 bilion.
Perlu diingat juga bahawa kementerian yang bertanggungjawab memantau harga adalah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bukan Mafi semata-mata.
Adakah senario kenaikan harga makanan asas berpunca daripada perbuatan manipulasi keuntungan daripada orang tengah?
Struktur pasaran untuk barang makanan asas seperti sayuran dan ayam adalah berbentuk oligopsoni-oligopoli di mana terdapat beberapa pemborong yang membeli dari ramai petani dan dijual pula kepada ramai peruncit.
Melalui struktur ini, pemborong mempunyai kuasa pasaran (market power) untuk mempengaruhi dan menentukan harga pasaran. Ini menyebabkan pihak berkuasa agak sukar untuk mengawal harga.
Dahulu sewaktu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Menteri MAFI, beliau melancarkan kempen 'Jihad Perangi Orang Tengah' bagi mengendurkan cengkaman kelompok itu yang mengawal harga makanan asas sesama mereka. Adakah kempen itu masih dipraktikkan MAFI dan adakah terdapat keperluan inisiaitif sama diperkenalkan semula oleh kementerian?
Kita tidak boleh menafikan perantara pasaran (market intermediaries) seperti orang tengah bagi mengedarkan bekalan makanan dari ladang ke pengguna.
Bagi saya initiatif yang diperlukan adalah pihak berkuasa perlu memantau harga makanan secara berterusan, memastikan penyampaian input pertanian kepada petani secara berkesan, memastikan kelancaran operasi logistik rantaian bekalan makanan, memastikan penyimpanan stok makanan yang mencukupi dalam keadaan darurat, dan memastikan aliran perdagangan yang lancar dan memanfaatkan sepenuhnya pasaran antarabangsa sebagai alat penting untuk mendapatkan bekalan dan permintaan makanan.
Apakah kedudukan terkini tahap sara diri rakyat susulan kenaikan harga barang yang berlaku dan memberi kesan besar kepada mereka ketika ini?
Sektor makanan yang terdiri daripada tanaman, ternakan dan perikanan belum dapat menandingi prestasi tanaman industri seperti kelapa sawit.
Ini diterjemahkan ke tahap sara diri untuk makanan asas yang masih belum mencukupi dan perlu diimport. Sebagai contoh, pada tahun 2020, tahap sara diri bagi beras (63 peratus), daging lembu (22.2 peratus), daging kambing (9.6 peratus), susu segar (65 peratus), kobis bulat (37.5 peratus) dan cili (30.9 peratus).
Justeru, negara kita menjadi pengimport makanan bersih dengan defisit perdagangan makanan yang meningkat dari tahun ke tahun.
Sebagai contoh defisit perdagangan makanan adalah RM1.1 bilion pada tahun 1990. Pada tahun 2006, angka itu meningkat kepada RM8.5 bilion dan RM21.7 bilion pada tahun 2020 di mana pada tahun 2020, Malaysia mengimport RM55.5 billion dan mengeksport RM33.8 billion bahan makanan.
Dengan kebergantungan import yang tinggi untuk bahan makanan asas, ini sudah tentu akan memberi kesan kepada bekalan makanan negara kita. Jika bekalan makanan mencukupi pun, dengan pandemik Covid-19 dan kenaikan harga akan memberi kesan daripada kecapaian (akses) kepada bahan makanan terutama bagi golongan rentan dan berpendapatan rendah (B40).
Apakah unjuran terkini tahap kebergantungan bekalan makanan negara kepada produk import mengikut segmen, seperti sayur-sayuran, beras, ayam dan telur, ruminan, buah-buahan dan pelbagai item berkaitan?
Pada amnya, makanan asas kita masih bergantung kepada import yang ditunjukkan oleh kadar pergantungan import sebagaimana dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Contohnya untuk ternakan, daging lembu, kambing dan susu segar bergantung kepada import masing-masing 78.1 peratus, 90.4 peratus dan 53.5 peratus. Untuk sayur-sayuran pula, cili (72.4 peratus), kobis bulat (63.6 peratus) dan lettuce (15.5 peratus). Beras sebagai makanan ruji kita adalah 37 peratus.
Berdasarkan data daripada Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0), diunjurkan pada tahun 2030 bahawa kadar kebergantungan import bagi makanan asas seperti beras (20 peratus), sayur-sayuran (21.1 peratus), buah-buahan (16.9 peratus), daging lembu (50 peratus) dan kosong peratus bagi susu segar. Unjuran ini telah mengambil kira pertambahan penduduk serta penggunaan dan perdapatan per kapita.
Adakah DAN 2.0 bakal mencakupi mekanisme penyelesaian isu oligopsoni membabitkan golongan orang tengah tertentu dalam industri pertanian negara?
DAN 2.0 menetapkan hala tuju dasar untuk tahun 2021-2030 bagi sektor agromakanan. Matlamat sektor agromakanan menerapkan elemen ekonomi, sosial dan alam sekitar merupakan sasaran utama untuk dicapai menjelang tahun 2030.
Ia mempunyai lima teras dasar dan salah satunya adalah memperkukuh pasaran domestik, meningkatkan hasil keluaran yang mempunyai permintaan tinggi dan produk berorientasikan eksport. Teras ini saya percaya mampu menangani isu struktur pasaran oligopsoni-oligopoli bagi makanan asas rakyat Malaysia.
Adakah program mempertingkatkan tahap sekuriti bekalan makanan negara kompetitif dan memenuhi unjuran keperluan rakyat yang populasinya dijangka bertambah saban tahun?
Pada masa lalu, peningkatan pengeluaran makanan dimungkinkan dengan penerokaan tanah pertanian dan juga peningkatan produktiviti.
Bagaimanapun sebilangan besar tanah yang produktif telah digunakan. Oleh itu, peningkatan pengeluaran makanan pada masa akan datang akan hanya dipelopori oleh peningkatan produktiviti pertanian.
Memandang pada masa hadapan, untuk memastikan bekalan makanan yang berkualiti dan selamat dengan harga yang berpatutan, pelaburan dalam pengeluaran makanan tidak hanya harus dinilai dari segi manfaat perniagaan, tetapi pulangan sosial dan keamanan negara.
Ini memerlukan ekosistem dan gabungan antara dasar makanan yang kondusif, teknologi dan keusahawanan.
Dasar yang kondusif adalah pelaburan dalam pengeluaran makanan tidak hanya dinilai dari segi faedah swasta, tetapi pulangan sosial dan keselamatan negara. Untuk merangsang pelaburan dalam pengeluaran makanan, insentif kepada sektor swasta harus diberikan di mana pulangan pelaburan dalam pengeluaran makanan mestilah sekurang-kurangnya sama dengan pulangan dalam tanaman industri.
Penggunaan Teknologi: Lebih banyak dana harus diberikan untuk pelaburan, penyelidikan dan menerima pakai teknologi sistem pertanian.
Contoh teknologi ini adalah seperti mekanisasi, sensor, drone, penjejakan cuaca, automasi, pertanian menegak, kecerdasan buatan, nanoteknologi, teknologi GPS pertanian, robotik, dan pertanian tepat.
Keusahawanan: Aspek ini penting untuk melengkapi ekosistem dasar dan penggunaan teknologi, pengeluaran makanan perlu diusahakan oleh pengeluar yang dapat mempraktikkan pengeluaran secara komersial dan penggunaan teknologi canggih.
Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak dana untuk melatih dan mengeluarkan usahawantani dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) mempunyai kepakaran untuk melatih usahawantani melalui Program Inkubasi Usahawatani.
Klik di sini untuk terus membaca