DALAM siri keempat 100 hari petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian-kementerian, Sinar Premium bersama dua badan penyelidik bebas, Ilham Centre dan O2 Research menilai prestasi enam lagi kementerian di bawah pentadbiran Perdana Menteri,... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM siri keempat 100 hari petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian-kementerian, Sinar Premium bersama dua badan penyelidik bebas, Ilham Centre dan O2 Research menilai prestasi enam lagi kementerian di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Keenam-enam kementerian ini berada dalam prestasi memuaskan dan perlu lebih proaktif menggembleng aktiviti bagi mencapai KPI ditetapkan.

Bagaimanapun, tidak dinafikan kementerian-kementerian ini juga berdepan cabaran besar dalam aktiviti dan program mereka akibat pandemik Covid-19.

Peranan Kementerian Kerja Raya diterajui Fadillah agak terbatas dalam tempoh 100 hari kebelakangan ini di sebabkan negara lebih fokus untuk mengatasi tri krisis masalah negara.

KEMENTERIAN KERJA RAYA

Menteri: Datuk Seri Fadillah Yusof (PBB-GPS)

Timbalan Menteri: Datuk Arthur Joseph Kurup (PBRS-BN)

ILHAM CENTRE: Memandangkan tri krisis Covid-19 menuntut negara menumpukan sepenuhnya kepada aspek kebajikan rakyat terkesan pandemik serta usaha pemulihan ekonomi, kami menyedari peranan kementerian ini agak terbatas dalam tempoh 100 hari kebelakangan ini.

Bagaimanapun, dari aspek imej menteri dan kementerian, Fadillah dilihat tidak begitu menonjol dalam memberi penjelasan dalam beberapa insiden membabitkan keselamatan pekerja di tempat kerja.

Sebagai contoh, apabila negara digemparkan dengan isu kenderaan dihempas kren dalam satu projek pembinaan jalan raya di Kuala Lumpur, rakyat tidak nampak menteri memainkan peranan besar dalam menjadi orang tengah dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Bagi kami, kementerian kena lebih proaktif dalam menyampaikan mesej dan komunikasi secara dua hala terhadap rakyat kerana sebarang insiden yang membabitkan kehilangan nyawa akan memberi kerisauan kepada mereka.

RATING: 4/10

O2 RESEARCH: Faktor utama kementerian ini tidak begitu menyerlah sewaktu pandemik Covid-19 berbanding kementerian lain sudah tentu disebabkan kerajaan perlu mengutamakan aspek kebajikan rakyat dan sistem kesihatan negara yang terjejas teruk sebelum ini.

Selain itu, apabila negara berdepan kekangan kewangan akibat krisis Covid-19, banyak projek pembangunan berimpak tinggi yang terpaksa ditangguhkan bagi membolehkan peruntukan berkenaan disalurkan kepada rakyat memerlukan.

Ditambah dengan masalah kekurangan pekerja asing yang sebahagian besarnya dihantar pulang sewaktu krisis berlaku, sudah pasti aspirasi kementerian kini terhad kepada usaha memastikan pelaksanaan projek-projek kritikal disempurnakan berdasarkan kekangan bajet sedia ada.

Bagaimanapun, kami tidak nampak lagi sebarang pelan tindakan dan rangka kerja kementerian dalam memacu semula industri pembinaan pada fasa endemik.

Sewajarnya menteri mengambil langkah proaktif untuk menyediakan pelan tindakan kementerian yang ampuh dalam memastikan 'blueprint' Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang membabitkan kementerian itu, dapat dilaksanakan mengikut tempoh waktu ditetapkan.

RATING: 7/10

Kementerian Pendidikan diterajui Radzi sewaktu 100 hari di kala negara berdepan dengan pandemik Covid-19 ternyata memberi cabaran buat dirinya terutama melibatkan hala tuju kementerian.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN

Menteri: Senator Datuk Dr Radzi Jidin (Bersatu-PN)

Timbalan Menteri 1: Datuk Dr Mah Hang Soon (MCA-BN)

Timbalan Menteri 2: Datuk Mohamad Alamin (UMNO-BN)

ILHAM CENTRE: Kementerian dilihat tidak dapat memberi penjelasan mencukupi kepada ibu bapa yang perlu menyediakan anak-anak untuk proses pembukaan semula sekolah pada sesi persekolahan tahun hadapan.

Bermula dengan isu Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diikuti dengan langkah pembukaan semula sekolah secara dua sesi, golongan ibu bapa dilihat masih keliru dengan hala tuju pendidikan negara yang cuba dicapai pada tempoh pasca pandemik Covid-19.

Sepatutnya kementerian sudah menyediakan pelan tindakan tuntas dalam memastikan kualiti pendidikan pelajar yang tertinggal selama dua tahun fasa pandemik, dapat dikembalikan menerusi penyediaan kursus tambahan dan sebagainya.

Masalah ini sebenarnya sangat terkesan kepada penduduk luar bandar yang bergantung sepenuhnya kepada kualiti pendidikan yang diberikan kerajaan kepada anak-anak mereka.

Ditambah dengan masalah perkhidmatan jalur lebar yang kritikal di kawasan luar bandar, terdapat kebimbangan lebih 80 peratus anak-anak penduduk B40 akan ketinggalan dalam silibus pelajaran disediakan kementerian.

RATING 4/10

O2 RESEARCH: Saya terpaksa bersetuju kementerian ini tidak begitu menyerlah dan nampak gagal menjelaskan banyak isu yang jadi kegusaran rakyat.

Lebih malang, segala rintihan dan permasalahan dihadapi golongan ibu bapa dan pelajar B40 terutama dalam mendepani isu PdPR dan langkah pembukaan semula sekolah di penghujung takwim persekolahan tahun 2021, seolah-olah tidak didengari dan diambil tindakan susulan oleh menteri sendiri.

Dengan kementerian dilihat lambat mencari solusi bagi meringankan beban ibu bapa untuk membeli peranti PdPR yang mahal pada saat krisis Covid-19, banyak juga kekeliruan atau percanggahan maklumat berkaitan isu pembukaan semula sekolah secara dua sesi yang datangnya daripada pihak kementerian sendiri.

Bahkan,kami mendapati ramai golongan B40 yang meluahkan kekecewaan kepada kerajaan di atas kegagalan Kementerian Pendidikan mempertahankan inisiatif Program Sarapan Percuma (PSP) yang selama ini memberi manfaat kepada anak-anak mereka.

Walaupun penamatan program PSP kepada pelajar daripada keluarga B40 mungkin disebabkan kekangan kewangan kerajaan, namun Radzi seharusnya menunjukkan lebih keprihatinan dalam isu ini dan memikirkan solusi lain yang lebih substantif dalam menjaga kebajikan mereka.

Selain itu, persoalan pokok yang lebih penting adalah apa strategi kementerian dalam memastikan generasi krisis Covid-19 yang kehilangan tempoh dua tahun untuk mendapatkan pendidikan berkualiti, diberikan semula akses pendidikan pada tahap sepatutnya?

Dengan sistem persekolahan secara penggiliran pelajar dilihat bukan solusi tuntas bagi jangka masa panjang, kementerian perlu menghuraikan isu ini dengan lebih lanjut selain merangka hala tuju sistem pendidikan negara fasa endemik dengan lebih jelas.

RATING: 5/10

Prestasi Rina sememangnya menjadi persoalan dalam kalangan rakyat sejak beliau menjadi menteri sewaktu kerajaan PH lagi

KEMENTERIAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

Menteri: Datuk Seri Rina Harun (Bersatu-PN)

Timbalan Menteri: Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-PN)

ILHAM CENTRE: Prestasi Rina sememangnya menjadi persoalan dalam kalangan rakyat sejak beliau menjadi menteri sewaktu kerajaan PH lagi.

Kami juga melihat beliau tidak menonjol sewaktu negara berdepan krisis pandemik Covid-19.

Kementeriannya dilihat tidak ke hadapan mendepani isu peningkatan kes bunuh diri akibat masalah mental, pertambahan kes keganasan rumahtangga serta strategi mobilisasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kurang menyerlah.

RATING: 4/10

O2 RESEARCH: Kami tidak pasti sejauh mana Rina proaktif dan peka dengan isu-isu penting di bawah kendalian kementerian beliau.

Menteri sepatutnya melaksanakan inisiatif segera untuk mendepani setiap isu kementerian yang menjadi kegusaran rakyat.

Sebagai contoh, Akta Gangguan Seksual masih lagi belum dibentangkan meskipun perkara itu diberi penekanan berterusan oleh ahli-ahli Parlimen wanita yang lantang memperjuangkan hak kepentingan wanita dan kanak-kanak.

Berpengalaman sebagai menteri Kabinet sejak zaman kerajaan PH, Rina sepatutnya lebih fokus dalam menyelesaikan segera isu-isu penting yang melibatkan kesejahteraan serta kebajikan rakyat.

RATING: 5/10

Sama seperti MAFI, Ronald juga berdepan dengan keluh resah orang ramai di mana harga barangan semakin hari semakin mahal.

KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI MAKANAN (MAFI)

Menteri: Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Bersatu-PN)

Timbalan Menteri I: Datuk Seri Ahmad Hamzah (UMNO-BN)

Timbalan Menteri II: Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pas-PN)

ILHAM CENTRE: Sejak kebelakangan ini, masalah kenaikan harga barang terutama melibatkan barangan makanan asas menjadi perdebatan dan kegusaran dalam kalangan rakyat marhaen.

Bagaimanapun, kementerian ini dilihat kurang memberi penjelasan tuntas terhadap punca permasalahan itu berlaku dan seolah-olah hilang punca dalam mencari solusi penyelesaian menang-menang di antara golongan pengguna dan petani.

Bahkan, dalam sektor industri pertanian sendiri pun, kementerian tidak mengambil langkah proaktif untuk menangani kos kenaikan harga makanan haiwan dan input pertanian setelah item-item itu dikenal pasti sebagai faktor kenaikan harga barangan makanan.

Pada saat rakyat baru hendak membina kembali kehidupan yang terjejas sewaktu krisis Covid-19, sebarang masalah kenaikan harga barang perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan sokongan rakyat terhadap kerajaan ini semakin terhakis.

RATING: 4/10

O2 RESEARCH: Pertamanya, cabaran terbesar negara pada pasca pandemik Covid-19 adalah keupayaan kerajaan untuk mendepani isu sekuriti makanan selain mengurangkan kebergantungan kepada produk import.

Sehingga kini, kami masih lagi tidak pasti sejauh mana isu ini diberi perhatian secukupnya dalam kementerian ini memandangkan isu berbangkit ketika ini adalah isu kenaikan harga barang luar biasa pada saat rakyat masih hidup sukar pasca pandemik.

Dalam hal ini, kementerian harus beri jaminan dan keyakinan kepada rakyat bahawa senario kenaikan harga barang ini hanya bersifat sementara dan tidak akan membebankan rakyat untuk jangka masa panjang.

Kementerian juga seharusnya melaksanakan unjuran awal terhadap kemungkinan berlakunya isu sebegini dan menguruskannya dengan lebih proaktif.

Harus di ingat isu harga barang adalah merupakan satu perkara yang dekat di hati rakyat dan kegagalan kerajaan Ismail Sabri mencari jalan penyelesaian tuntas akan memberi kesan negatif terhadap beliau terutama dari sudut sokongan rakyat.

RATING: 5/10

Alexander (tengah) yang menerajui kementeriannya berdepan dengan krisis kenaikan barangan pada ketika ini.

KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA (KPDNHEP)

Menteri: Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (PBB-GPS)

Timbalan Menteri: Datuk Rosol Wahid (Bersatu-PN)

ILHAM CENTRE: Tempoh 100 hari pentadbiran kementerian dalam kerajaan baharu mungkin menyebabkan gerak kerja pemantauan harga barang sedikit terganggu.

Namun, kementerian tidak boleh membiarkan rakyat berterusan menjadi penat dan letih dengan kegagalan kerajaan untuk menunjukkan keprihatinan terhadap permasalahan utama dihadapi mereka.

Apabila harga ayam dikhabarkan meningkat selain isu kehabisan bekalan minyak masak paket yang sering digunakan golongan B40 sejak tiga minggu lalu, kementerian sepatutnya lebih cakna dan melaksanakan tindakan susulan bagi menyelesaikan kegusaran rakyat.

Namun, kementerian diketuai Alexander Nanta ini bukan sahaja dilihat tidak ke hadapan dalam menjelaskan punca kenaikan harga pelbagai barangan keperluan asas berlaku sehingga kini.

Bahkan fungsi kementerian ini dilihat agak tenggelam pada saat menteri sepatutnya dibekalkan data dan maklumat mencukupi bagi memberikan penjelasan jitu kepada rakyat.

Selain itu, sikap kementerian-kementerian yang mengamalkan mentaliti silo juga menyebabkan setiap data dan maklumat dimiliki mereka tidak di selaras bagi membolehkan satu unjuran penyelesaian isu harga barang dicapai.

Dengan jangkaan lebih banyak harga barang akan meningkat pada tahun hadapan, kementerian ini perlu mewujudkan satu mekanisme penyelesaian terbaik bagi mengurangkan impak kenaikan harga barang kepada rakyat kelak.

RATING: 4/10

O2 RESEARCH: Sebagaimana MAFI, KPDNHEP turut berdepan masalah sama memandangkan kedua-dua kementerian sebenarnya adalah saling berkait rapat.

Sehingga kini, kementerian ini dilihat tidak proaktif dalam memastikan isu kenaikan harga barang dapat diuruskan dengan baik.

Dengan menteri dilantik perlu memainkan peranan lebih besar, KPDNHEP sepatutnya sudah boleh mengenal pasti permasalahan sebegini akan berlaku dan mewujudkan pelan tindakan yang bersesuaian untuk menanganinya.

Harus di ingat, KPDNHEP bukan kali pertama menghadapi isu kenaikan harga barang. Namun pada saat ramai rakyat terkesan dengan krisis Covid-19, berita kenaikan harga barang adalah satu perkara malang yang perlu dielakkan dan diatasi segera kementerian dan kerajaan.

RATING: 5/10

Ahmad Faizal disarankan menghidupkan kembali Parlimen Belia sebagai langkah pembangunan belia.

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

Menteri: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-PN)

Timbalan Menteri: Senator Datuk Seri Ti Lian Ker (MCA-BN)

ILHAM CENTRE: Bagi kami, Ahmad Faizal atau dikenali Peja merupakan seorang pemimpin yang agak kontroversi sejak beliau menerajui kementerian ini.

Hal ini disebabkan sikap Peja yang cenderung menjawab persoalan media dengan kurang cermat dan akhirnya mencetuskan kontroversi, terutama sewaktu beliau memberi respon terhadap pendedahan kes gangguan seksual yang dialami tokoh penerjun negara, Datuk Pandalela Rinong.

Dari segi prestasi, kepimpinan Ahmad Faizal boleh dianggap sederhana dan perkara itu tidak pelik kerana dua menteri terdahulu juga tidak mengangkat sebarang agenda signifikan bagi memartabatkan kembali bidang sukan dan pembangunan belia negara.

RATING: 4/10

O2 RESEARCH: Selain jawatan Menteri Besar Perak, Peja tidak mempunyai pengalaman dalam memegang sebarang jawatan Kabinet.

Justeru, kami memahami kekangan dihadapi beliau untuk mewujudkan inisiatif baharu yang boleh melonjakkan nama kementerian pada mata rakyat.

Cuma Peja diakui terpalit dengan beberapa isu berbangkit termasuk isu kepimpinan beliau sewaktu menerajui pasukan Liga Super Perak selaku Presiden PAFA yang diragui dan kembali dibangkitkan sejak kebelakangan ini.

Bagi kami, Peja perlu membuktikan diri dengan memperkenalkan sebarang inisiatif baharu dan segar untuk menyemarakkan kembali landskap sukan negara yang agak tenggelam akibat krisis Covid-19.

Dari aspek pembangunan belia, beliau turut disarankan untuk menghidupkan kembali Parlimen Belia yang tidak lagi 'hidup' demi membolehkan golongan belia lebih terdedah dengan amalan demokrasi di Malaysia.

RATING: 6.5/10

Klik di sini untuk terus membaca