BEIJING - Isu mengenai Taiwan semakin hangat baru-baru ini. Ia adalah disebabkan oleh kenyataan lidah pengarang akhbar The Global Times milik China pada 9 Disember lalu yang menyatakan bahawa China akan menyerang tentera Amerika Syarikat... Klik di sini untuk terus membaca

BEIJING - Isu mengenai Taiwan semakin hangat baru-baru ini.

Ia adalah disebabkan oleh kenyataan lidah pengarang akhbar The Global Times milik China pada 9 Disember lalu yang menyatakan bahawa China akan menyerang tentera Amerika Syarikat (AS) jika ia datang untuk menyelamatkan kepulauan tersebut daripada diserang oleh negara komunis itu.

Akhbar tersebut mengeluarkan ancaman itu selepas Penasihat Keselamatan AS, Jake Sullivan membuat kenyataan bahawa Washington tidak akan sekali-kali membenarkan China menceroboh Taiwan.

Ia juga menyindir dengan menyatakan bahawa tiada siapa yang percaya AS mempunyai kemahuan sebenar untuk mempertahankan Taiwan dengan menyatakan AS jauh daripada mempertahankan Taiwan dengan kos perang yang membawa maut.

"Tiada siapa yang percaya AS mempunyai kemahuan sebenar untuk mempertahankan Taiwan dalam apa jua cara,’ kata lidah pengarang The Global Times.

Selepas lidah pengarang itu yang merupakan suara rasmi kerajaan komunis China membuat komen berhubung isu tersebut, sebanyak 13 pesawat pejuang dihantar memasuki Zon Identifikasi Pertahanan Udara (ADIZ) Taiwan pada Jumaat lalu.

Pesawat-pesawat yang menceroboh itu terdiri daripada jet pejuang, kapal terbang pengebom dan pesawat peronda antikapal selam dan sebahagian daripadanya terbang ke kawasan timur Taiwan.

Ia berlaku ketika Nicaragua bertindak memutuskan hubungan dengan Taiwan dan menjalinkan hubungan diplomatik dengan China.

Pencerobohan itu juga berlaku ketika AS menganjurkan Sidang Kemuncak untuk Demokrasi secara maya selama dua hari mulai Khamis lalu yang turut disertai Menteri Digital Taiwan, Audrey Tang.

Sidang kemuncak itu bertujuan untuk menyokong sekutu yang berfikiran sama dalam menghadapi rejim autokratik.

Xi Jinping

Sebagai tindak balas, Taiwan melancarkan rondaan udara tempur, menghantar amaran radio dan menggunakan sistem peluru berpandu pertahanan udara untuk menjejaki tentera China itu.

Ia merupakan pencerobohan terbaharu selepas China kerap menghantar pesawat perang ke zon pertahanan udara Taiwan.

Zon ADIZ ialah sistem amaran awal yang membantu Taipei mengesan sebarang pencerobohan ke dalam ruang udara kepulauan tersebut.

Taiwan sebelum ini milik China. Namun, ia kemudian berpisah dengan Tanah Besar China berikutan revolusi pada tahun 1940-an yang menyaksikan Parti Komunis berkuasa memerintah dengan Mao Zedong sebagai pemimpin negara berkenaan.

Bagaimanapun, ketegangan antara kepulauan itu dan tanah besar tersebut telah memuncak selama beberapa dekad tetapi semakin memuncak apabila parti nasionalis, Parti Demokratik Progresif (DPP) memenangi pilihan raya pada tahun 2016.

Parti itu pula telah menolak prinsip satu China selepas ia mula berkuasa pada tahun 2016 sekali gus menjejaskan hubungan dengan Beijing sehingga menyebabkan ketidakstabilan di Selat Taiwan.

Presiden Xi Jinping pernah berikrar untuk menyatukan semula Taiwan secara paksa jika perlu dalam ucapannya pada tahun 2019 dan sejak itu konflik Beijing dengan Taipei semakin meruncing.

Washington pula ialah sekutu lama Taiwan dan terikat secara sah dari segi perjanjian yang diluluskan pada tahun 1970-an untuk mempertahankan kepulauan tersebut.

Tentera Taiwan bersiap sedia menghadapi ancaman ketenteraan dari China. - AFP

Presiden AS, Joe Biden pula pernah berkata dalam satu wawancara di negaranya bahawa beliau akan menghantar tentera negara itu untuk mempertahankan kepulauan berkenaan jika diserang oleh China.

Dalam wawancara itu, beliau menyatakan adalah tidak perlu khuatir sama ada China akan menjadi lebih berkuasa.

Ini adalah kerana, katanya, China, Rusia dan seluruh dunia tahu bahawa AS adalah tentera paling berkuasa dalam sejarah dunia.

Selepas kenyataan itu, Rumah Putih dengan segera menegaskan tentang polisi mengenai Taiwan.

Rumah Putih menyatakan bahawa AS sebenarnya masih meneruskan polisi ‘kekaburan strategik’.

Polisi itu dikenali sebagai ‘kekaburan strategik’ kerana ia tidak menyatakan dengan jelas bagaimana AS akan bertindak balas jika Taiwan diserang.

Sejak akhir-akhir ini, China telah mengadakan latihan udara dan menunjukkan kekuatannya berhampiran melibatkan jet-jet pejuang, pesawat pengebom, pesawat pengintip dan pesawat mengisi minyak.

Sebagai tindak balas, AS telah menjalin pakatan baharu dengan kuasa di rantau tersebut termasuk India, Australia dan Jepun untuk mengimbangi tekanan dari Beijing.

Walau apa pun, setakat ini, pencerobohan dan peperangan masih lagi belum berlaku serta benar-benar dapat disaksikan di Taiwan.

Klik di sini untuk terus membaca