SHAH ALAM - Kejadian buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar, Perak dan tular di media sosial pada Khamis lalu menimbulkan kemarahan orang ramai termasuk bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kejadian buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar, Perak dan tular di media sosial pada Khamis lalu menimbulkan kemarahan orang ramai termasuk bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Zulkarnain Idros, 56, berkata, beliau berasa sangat marah mengenai perkara tersebut kerana perbuatan buli itu pernah berlaku pada arwah anaknya sehingga menyebabkan kematian.

Sebelum ini, Zulkarnain kehilangannya anaknya yang menjadi mangsa buli oleh rakan sepengajiannya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sehingga menyebabkan kematian.

Anaknya, Zulfarhan Osman didera dengan cara seterika wap ditekap pada badannya sebanyak 90 kali sehingga mengakibatkan kesan lecur 80 peratus sebelum meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Punca Zulfarhan Osman diperlakukan demikian kerana dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.

Ujar beliau, jika perbuatan buli tidak dicegah dari awal, ia boleh menjadi lebih buruk pada masa akan datang.

"Saya sebenarnya memang cukup marah dengan kes-kes buli yang mula dari sekolah rendah, sekolah menengah dan peringkat seterusnya.

"Baru-baru ini polis dah menahan empat pelajar (berkaitan isu buli) itu. Itu saya memang setuju.

"Kalau boleh jangan ada campur tangan daripada ibu bapa pembuli itu. Biar pihak polis ambil tindakan ikut undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Khamis, sebuah video pelajar menumbuk seorang pelajar lain dipercayai di dalam asrama tular di media sosial.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, campur tangan ibu bapa pembuli akan menyebabkan perangai anak mereka berubah menjadi lebih teruk.

"Nanti mereka akan fikir ‘kalau ayah aku datang, dia boleh tolong aku, boleh selesaikan’. Jadi benda itu salah.

"Takut nanti makin lama, makin mereka membesar, makin teruk dia jadi pembuli sebab dia tahu ayah dia boleh back up (bantu) dia,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Zulkarnain, tradisi orientasi yang cenderung kepada budaya ragging dalam sekolah asrama tidak patut diteruskan.

"Kalau benda ini buat pada pelajar baharu, ia akan diwarisi oleh junior yang lain. Ia tidak akan habis sampai bila-bila,” menurutnya.

Klik di sini untuk terus membaca