PERTUBUHAN Negara-Negara Asia Tenggara atau lebih dikenali sebagai ASEAN kini sudah berusia 54 tahun. Sejak penubuhannya, ia telah menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran. Pada peringkat awal, ASEAN terpaksa berdepan cabaran Perang Dingin... Klik di sini untuk terus membaca

PERTUBUHAN Negara-Negara Asia Tenggara atau lebih dikenali sebagai ASEAN kini sudah berusia 54 tahun. Sejak penubuhannya, ia telah menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran.

Pada peringkat awal, ASEAN terpaksa berdepan cabaran Perang Dingin dan penyebaran ideologi komunisme di rantau Asia Tenggara.

Namun, tamatnya Perang Dingin pada 1991, ASEAN telah memperkukuhkan hubungan dengan negara-negara komunis di Asia Tenggara seperti Vietnam dan Laos. Malah, negara-negara itu telah diterima menjadi anggota ASEAN pada 1990-an.

Kini, isu lebih mencabar adalah persaingan kuasa antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Pada 15 September lalu, kerajaan Australia, United Kingdom (UK) dan AS telah mengisytiharkan penubuhan pakatan keselamatan yang dikenali sebagai AUKUS.

Di bawah pakatan itu, AS dan UK akan membantu Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear. China telah mendakwa AUKUS akan mengancam kestabilan rantau Asia Tenggara. Negara-negara anggota ASEAN terbahagi berhubung isu AUKUS.

Filipina dan Singapura misalnya, terbuka menyokong AUKUS, manakala Malaysia dan Indonesia melahirkan kegusaran.

Kerajaan Indonesia juga mengeluarkan kenyataan mengenai kebimbangan berlakunya perlumbaan senjata di rantau ini.

Namun, ada berpendapat antara punca AS, UK dan Australia melancarkan AUKUS adalah disebabkan sikap ketidakpastian anggota ASEAN berinteraksi dengan China berhubung tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

China menuntut hampir seluruh Laut China Selatan dan pada masa sama menggunakan kekuatan ketenteraannya. Sejak kebelakangan ini pencerobohan oleh tentera udara, pengawal pantai dan nelayan China ke kawasan perairan Malaysia, Filipina serta Vietnam sering dilaporkan.

Persoalannya, sejauh mana reaksi ASEAN sebagai pertubuhan rantau Asia Tenggara mampu memberi kesan kepada China? Apakah tindakan ASEAN terhadap kebangkitan ketenteraan dan ekonomi China di rantau Asia Tenggara?

Percubaan untuk menyelesaikan tuntutan bertindih di Laut China Selatan melalui tata kelakuan atau Code of Conduct (CoC) masih belum mendatangkan hasil.

CoC menjadi isu perbincangan sejak 1990-an, namun masih belum mampu memperoleh persetujuan China mahupun negara-negara terlibat dalam tuntutan. Oleh sebab sikap ketidaktentuan ASEAN dan kekurangan perpaduan dalam kalangan anggota ASEAN menghadapi cabaran kebangkitan ketenteraan serta ekonomi China, ia telah memberi peluang kepada kuasa luar seperti AS, UK dan Australia untuk menjadi lebih aktif bagi mengimbangi China.

Jika ASEAN lebih bersatu padu dan tegas menghadapi China, maka tiada keperluan kuasa-kuasa luar campur tangan dalam pertikaian di Laut China Selatan.

Cabaran ASEAN seterusnya adalah pengendalian isu Myanmar. Keadaan politik dan hak asasi manusia di Myanmar semakin genting.

Terkini, lori milik tentera Myanmar atau Tatmadaw telah melanggar dan membunuh beberapa orang penunjuk perasaan dan menjatuhkan hukuman penjara ke atas Aung San Suu Kyi.

Masyarakat antarabangsa sedang memerhati sejauh mana ASEAN akan bertindak terhadap Myanmar. Jelas sekali, Konsensus 5 Point ASEAN masih belum mendatangkan apa-apa hasil untuk menyelesaikan isu ketidakstabilan politik dan hak asasi manusia Myanmar.

Jika ASEAN tidak dapat menyelesaikan krisis dalaman dan jika masalah Myanmar terus berlarutan sehingga 2022 dan 2023, ia akan mengurangkan lagi imej serta kewibawaan ASEAN mengendalikan hal ehwalnya.

Masalah utama dihadapi ASEAN adalah kekurangan perpaduan dan hala tuju. Sebagai sebuah pertubuhan, anggotanya tidak tahu apa yang ingin dicapai.

Masing-masing mempunyai objektif tersendiri dan bukan secara kolektif. Anggota ASEAN sedar dan tidak mahukan konflik kuasa-kuasa besar seperti China dan AS berlaku di rantau Asia Tenggara tetapi mereka tidak bersatu padu bagi membuktikan bahawa ASEAN mampu menyelesaikan masalah dalaman mereka sendiri.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca