PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka sudah berlalu, kini kita akan berdepan PRN Sarawak. Biasanya, dalam mana-mana pilihan raya, tidak akan ketinggalan kempen mencemuh pihak lawan sebagai cara meraih undi parti bertanding.
Acap kali persoalan akhlak dan peribadi mendapat perhatian istimewa dalam kalangan calon bertanding.
Islam tidak menyisih politik daripada pemantauan agama. Rasulullah sendiri sangat mahir berpolitik sehingga dapat menyatukan umat Arab yang bertelingkah selama beberapa kurun.
Walaupun politik sebahagian daripada Islam, umat Islam kini seolah-olah menganggap politik segala-galanya. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan terdapat segelintir yang berpandangan bahawa saluran politik sahaja dapat menegakkan agama Islam di Malaysia.
Politik sahaja mungkin tidak akan dapat mencapai standard negara Islam yang diacu oleh Rasulullah. Menyedihkan kerana hari ini umat Islam terlalu asyik berpolitik. Apa sahaja yang berlaku, neraca digunakan bagi memberi justifikasi adalah neraca politik.
Inilah yang menyebabkan apabila satu pihak mengambil sesuatu pendekatan, pihak satu lagi pasti tidak bersetuju dan mengambil pendekatan berlainan.
Natijahnya, pembangunan Islam itu sendiri akan dikesampingkan. Malah, pembangunan negara juga tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana pemimpin lebih sibuk memikirkan hal politik berbanding pembangunan negara.
Amat sedih juga apabila diperhatikan dalam hal ehwal Islam seperti isu berkaitan akidah, pemimpin Islam bertelagah dan berbeza pendapat. Bukan setakat berbeza pandangan tetapi memburukkan pihak lain yang tidak sependapat dengan mereka.
Begitu juga dalam hal orang bukan Islam memasuki dan berceramah di surau yang menimbulkan perbahasan. Seharusnya para ulama perlu menzahirkan teladan permuafakatan dalam isu-isu agama dan berpegang kepada prinsip selagi isu itu bukan isu yang asas, maka perbezaan pandangan diraikan.
Perbezaan sepatutnya diraikan dengan hikmah berdasarkan adab ikhtilaf yang digariskan ulama terdahulu.
Apa yang berlaku hari ini, kelapangan dada menerima pandangan berbeza itu sudah hilang dan adab berbeza pandangan sudah terlalu nadir. Apabila seseorang berbeza pandangan khususnya melibatkan politik, orang itu dicemuh dan dikritik secara melulu. Ia berlaku kerana umat Islam meletakkan persoalan politik mengatasi ajaran Islam itu sendiri.
Prinsip hukum syarak yang mengajak kepada kehalusan budi dalam berbeza pandangan diketepikan. Sebagai orang Islam, walau apa pun pegangan politik, Islam hendaklah diutamakan. Jika sesuatu itu dilakukan memberi kebaikan kepada agama dan negara, ia hendaklah disokong tanpa mengira siapa yang menzahirkan idea itu.
Bagi saya, tidak salah bersepakat dalam kalangan umat Islam yang mempunyai manhaj berlainan tetapi mempunyai matlamat sama berteraskan Islam.
Prasangka buruk dan saling tidak percaya sepatutnya diketepikan. Apalah guna kekuasaan, tatkala kita memiliki kuasa itu kedudukan agama Islam sudah punah dan tidak dapat dibaiki lagi.
Ketika itu kita sudah terlewat untuk menegakkan agama Islam kerana prasangka membara antara masyarakat Islam sendiri.
Mungkin sudah tiba masanya kedua-dua pihak melupakan kisah pahit, memulakan lembaran baharu dan mempertautkan hubungan hati ke hati demi menegakkan syiar Islam di Malaysia.
Segala kesilapan lalu mestilah diperbetulkan atas asas dibina oleh agama. Apabila Islam dapat ditegakkan, sudah pasti Malaysia akan menjadi aman damai kerana Islam itu sendiri agama perdamaian. Masyarakat bukan Islam tidak harus gusar kerana perundangan Islam itu sendiri memberi jaminan kebebasan mengamalkan agama mereka di negara Islam.
Malah, kerajaan Islam mempunyai tanggungjawab membantu rakyat minoriti bukan Islam bagi melaksanakan hal ehwal upacara keagamaan mereka.
Saya berharap semua pihak meletakkan keutamaan yang betul di tempatnya. Politik adalah sebahagian daripada Islam dan Islam itu mencakupi semua aspek kehidupan. Pilihlah prinsip Islam yang menyeluruh, sudah pasti ia akan membimbing umat Islam cara berpolitik.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca