DI SEBALIK kemeriahan sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, politik negara belum mencapai ketenangan, apatah lagi kestabilan. Di permukaan air tampak tanpa riak, namun gelombang di bawah permukaan ternyata arus sedang mengalir... Klik di sini untuk terus membaca

DI SEBALIK kemeriahan sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, politik negara belum mencapai ketenangan, apatah lagi kestabilan.

Di permukaan air tampak tanpa riak, namun gelombang di bawah permukaan ternyata arus sedang mengalir deras.

Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengadakan persefahaman dengan Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan kerajaan sekurang-kurangnya sehingga Julai 2022, namun cabaran Ismail Sabri datang daripada parti beliau sendiri, UMNO.

Minggu ini dan minggu hadapan akan menjadi detik penting kepada kestabilan politik negara.

Minggu ini sayap-sayap UMNO di setiap bahagian akan mengadakan persidangan tahunan. Minggu hadapan pula, semua UMNO bahagian akan bersidang serentak.

Persidangan itu penting kerana ia akan menentukan usul-usul yang akan dibawa, dibahaskan dan diluluskan di peringkat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.

Tahun lalu, persidangan tahunan UMNO bahagian telah berjaya menggoncang kestabilan politik negara apabila majoriti mengusulkan UMNO memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Usul itu dimuktamadkan dalam PAU 2020 pada Mac lalu. Rentetan itu, soal penarikan sokongan UMNO telah menjadi seperti acara tarik tali selama berbulan-bulan sehinggalah ia benar-benar berlaku pada Ogos 2021.

Kini menjelang persidangan tahunan UMNO dan PAU 2021, telah ada usaha dalaman UMNO untuk mengusulkan agar Parlimen dibubarkan selewat-lewatnya Mac tahun hadapan.

Di peringkat akar umbi UMNO, mereka percaya pilihan raya umum (PRU) mesti diadakan secepat mungkin bagi mengambil momentum kemenangan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Melaka bulan lalu.

Susulan kemenangan tersebut, pucuk pimpinan UMNO yang berada di luar kabinet mendesak PRU15 diadakan lebih awal, seawal Mac 2022.

Sebahagian ahli UMNO yang mahukan PRU segera tidak mengambil kira beberapa faktor pemboleh ubah.

Misalnya, peratusan pengundi UMNO yang tinggi di Melaka berbanding di kebanyakan kawasan Parlimen lain seluruh negara.

Ia dengan sokongan jumlah keluar mengundi yang rendah iaitu 65.8 peratus berbanding 84.52 peratus pada 2018 telah membantu kemenangan besar BN.

Sama ada disedari atau tidak, BN Melaka walaupun menang tetapi gagal mendapat undi popular sama seperti PRU14. Pada PRU14, BN mendapat 156,318 undi popular. Kali ini BN hanya mendapat 122,741 undi popular.

Cuma kejayaan BN kali ini lebih kepada kemerosotan undi popular Pakatan Harapan (PH). PH yang mendapat 211,153 undi pada 2018, hanya mampu meraih 114,457 undi kali ini.

Namun, usaha mengadakan PRU15 dengan segera lebih kepada isu di atas yang dibawa turun ke bawah.

Ada ketidaksenangan dalam kalangan kepimpinan utama UMNO yang tidak berada dalam kabinet dan Ismail Sabri melangkaui hierarki parti untuk menjadi Perdana Menteri.

Keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga dijangka menyemarakkan lagi usaha mengadakan PRU lebih awal.

Penyokong Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mungkin akan mengambil inisiatif mendesak pembubaran awal Parlimen dalam mesyuarat-mesyuarat UMNO bahagian yang akan diadakan minggu hadapan.

Sekiranya usul agar diadakan PRU awal muncul dan kemudiannya diluluskan oleh PAU 2021, Ismail Sabri berdepan cabaran besar jika mahu mengingkarinya. Ia boleh membawa pemecatan beliau sebagai ahli UMNO.

Majoriti rakyat mahu melihat Malaysia dipulihkan. Antara detik penting dalam pemulihan negara adalah pelaksanaan pakej Bajet 2022.

Kita memerlukan separuh tahun untuk melihat kesan bajet berkenaan kepada ekonomi negara.

Adalah tidak munasabah untuk UMNO cuba memaksa satu lagi ketidakstabilan politik hingga menjejaskan ekonomi rakyat dalam keadaan parti musuh boleh bertolak ansur sehingga Julai 2022.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca