SEMALAM, Belalang menerima kunjungan teman-teman, bekas rakan sepejabat dan juga bekas bos serta mentor iaitu sekumpulan geng pencen yang sering kali berjumpa dan bertemu di meja teh tarik.
Kali ini mereka membuat pelan mengembara dalam satu kereta ke Pulau Pinang untuk jalan-jalan, makan-makan dan beristirahat.
Sebagai orang Tanjung, Belalang menjadi hos kepada kunjungan mereka selama tiga hari dua malam itu.
Mereka berenam kesemuanya, campur Belalang, jadi tujuh. Tapi tidak sepertimana mereka, Belalang jadi satu-satunya anggota geng yang masih belum pencen.
Bukan apa, Belalang cemburu melihat mereka menikmati zaman pencen mereka. Tidak seperti Belalang, mereka tidak dibelenggu dengan tanggungjawab dan tugas harian di pejabat.
Mereka tidak perlu lagi menyemak muka surat dummy akhbar untuk terbitan esok seperti yang Belalang perlu lakukan saban hari. Mereka juga sudah bebas daripada belenggu mengedit bahan-bahan terbitan seperti yang Belalang perlu lakukan. Kesemua mereka telah bebas daripada tanggungjawab itu.
Tapi bukan itu yang Belalang ingin ceritakan. Sebaliknya apa yang Belalang ingin berkongsi dengan para pembaca kolum Belalang ialah bagaimana mereka bijak mengatur hari-hari lapang mereka dengan aktiviti menceriakan, sihat dan bermakna.
Boleh dikatakan kesemua mereka ada cucu. Dan orang cakap, tugas atuk ialah menghabiskan masa dengan cucu-cucu. Ya, benar, mereka sering menghabiskan masa dengan cucu tapi mereka juga adalah atuk-atuk yang tahu bagaimana menceria dan menghiburkan diri mereka dengan berkumpul dan mengembara beramai-ramai ke tempat orang.
Dua tahun sebelum itu (sebelum Covid-19 melanda), geng yang sama membuat keputusan mengembara selama dua minggu di tanah Jawa. Mereka pusing satu Jawa hanya untuk santai-santai tanpa jadual. Mereka sewa kereta bersama seorang pemandu tempatan dan jalan ke mana sahaja mereka hendak jalan.
Menurut mereka, ia adalah satu pengalaman sangat menyeronokkan dan menakjubkan. Mereka berkongsi segala-galanya sama rata - wang makan, wang penginapan, wang sewa van, pemandu dan petrol - semuanya dibahagikan sama rata.
Di mana sahaja mereka berasa hendak berhenti sama ada untuk makan atau melawat tempat menarik, mereka lakukannya secara spontan. Kesemuanya satu kepala - itu yang penting untuk mengekalkan keceriaan, keseronokan dan yang terpenting ialah keharmonian mengembara.
Sepanjang perjalanan mereka bergurau senda, usik mengusik serta berkongsi pengalaman. Ada ketikanya mereka berdebat dan berhujah tentang isu-isu semasa - panas - tapi tidak sehingga ke tahap melukakan hati teman- teman.
Dan ketika di Pulau Pinang pun begitu juga. Segala-galanya dikongsikan bersama. Mereka bangun awal pagi dan selepas Subuh mereka mula exercise dengan berjalan kaki sejauh enam hingga tujuh kilometer merentasi bandar Georgetown yang masih sunyi dari hiruk pikuk kenderaan dan hingar bingar manusia.
Ada dalam kalangan mereka bertongkat tapi mereka masih gagah dan mampu berjalan berkilometer jauhnya.
Selepas itu mereka singgah di gerai tepi jalan, minum kopi sambil menikmati telur goyang dan roti bakar. Mereka exercise tapi mereka juga tahu bagaimana untuk melantak dan melahab.
Selesai sarapan, mereka nak makan nasi kandar untuk juadah tengah hari. Belalang terpaksa memberitahu mereka bahawa di Pulau Pinang, nasi kandar dinikmati pada sebelah pagi sama macam orang Batu Pahat dan Muar makan sate di waktu pagi.
Itu pun mereka boleh saja, tiada masalah. Sudah tentu Belalang bawa mereka ke Restoran Nasi Kandar Flat Kampung Melayu Ayer Itam. Ia adalah satu-satunya nasi kandar yang masih mengekalkan rasa dan aroma nasi kandar asal turun temurun.
Belalang ajar mereka makan nasi kandar cara orang Penang. Hanya ambil daging gulai, ikan goreng, telur rebus dan dua bendi, tak perlu lauk lain. Untuk ramuan kari, jangan campur semua jenis kari, tapi hanya kari ikan dan kari daging. Selebihnya ialah menjilat jari.
Di sebelah petang Belalang bawa mereka menikmati roti jala gulai kambing sambil minum teh halia di Little India, Queen Street. Oh, mereka menikmati setiap saat dengan penuh ceria dan berselera.
Setelah perut berisi mereka ke tepian pantai di Tanjung Bungah untuk berehat sambil menikmati bayu laut yang sepoi-sepoi bahasa. Pendek cerita, mereka tahu bagaimana untuk menghabiskan hari-hari tua mereka, menghiburkan hati dengan berjalan dan bersantai ke sana sini.
Mereka adalah contoh geng pencen yang perlu diteladani.
Belalang - Menunggu hari pencen yang masih belum kunjung tiba...
Klik di sini untuk terus membaca