SEMUA masyarakat kecuali yang bekerja dengan kerajaan atau berpendapatan tinggi, mengalami kesempitan hidup sejak pandemik melanda dua tahun lalu. Kita pun sudah tahu bagaimana kira-kira 600,000 isi rumah kategori menengah atau M40 telah... Klik di sini untuk terus membaca

SEMUA masyarakat kecuali yang bekerja dengan kerajaan atau berpendapatan tinggi, mengalami kesempitan hidup sejak pandemik melanda dua tahun lalu.

Kita pun sudah tahu bagaimana kira-kira 600,000 isi rumah kategori menengah atau M40 telah jatuh dalam kategori miskin B40, sekali gus menaikkan kadar kemiskinan kepada 8.4 peratus atau 639,800 isi rumah.

Walaupun ekonomi negara telah mula mencatat per-tumbuhan, namun ia akan mengambil masa sebelum kesannya mula dirasai orang ramai.

Golongan paling terdedah kepada pelbagai kesan negatif kemelesetan ekonomi adalah pekerja swasta, individu bekerja sendiri dan pesara.

Dalam tempoh pemulihan ekonomi, antara kesan negatif yang dirasakan adalah kenaikan mendadak harga barang makanan yang berpunca daripada kegiatan menampung kerugian serta memulihkan kekayaan oleh golongan peniaga.

Ia diburukkan lagi dengan peningkatan harga makanan dunia, kelemahan jangka panjang nilai tukaran ringgit dan kegagalan kawalan harga oleh kerajaan.

Dalam keadaan inilah, pulangan pelaburan sama ada yang wajib seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau sukarela seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) sangat penting.

Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menaja ASB dan beberapa skim saham amanah lain lazimnya mengumumkan dividen ASB pada Disember, manakala KWSP pada tahun baharu.

Bagi perniagaan tahun 2020, ASB hanya membayar dividen 4.25 peratus, kadar paling ciput dalam 39 tahun sejarahnya.

Berikutan berita pemulihan ekonomi oleh kerajaan, maka tidak hairanlah jika pemegang unit ASB dan pencarum KWSP mengharapkan kadar pulangan lebih baik bagi tahun kewangan 2021.

Pensyarah Kanan, Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat PNB mempunyai kemampuan membayar dividen lebih tinggi.

Menurutnya, unjuran prestasi ASB lebih baik tahun ini setelah mengambil kira perimbangan antara pelaburan tempatan yang merosot dan kenaikan pelaburan PNB di pasaran antarabangsa.

Harga saham-saham di Bursa Malaysia tidak menentu sepanjang tahun ini dan umumnya jatuh daripada 1,633.19 mata apabila perniagaan dibuka pada 4 Januari kepada 1,488.88 pada 10 Disember.

Tiada laporan terbaharu mengenai sejauh mana prestasi pasaran yang bertambah baik ini akan memberi kesan kepada pelaburan PNB. Hanya yang diketahui sesetengah pihak adalah keterlibatan PNB dengan beberapa syarikat bermasalah dalam bidang hartanah, minyak dan gas.

Kesan terhadap PNB dan seterusnya kepada pelabur ASB mungkin buruk jika prestasi pelaburan utamanya merosot, bukan sahaja dari sudut modal pasaran tetapi juga keuntungan perniagaan.

Paling mendukacitakan adalah keterlibatan dengan beberapa buah syarikat bermasalah itu telah mencetuskan ketegangan dalam pengurusan PNB.

Apa pun kontroversi dan ketidaktentuan dalam per-niagaan PNB, harapan pelabur skim-skim amanah sahamnya adalah mereka mendapat pulangan lebih baik daripada dividen ciput tahun lalu.

Begitu juga dengan pencarum KSWP yang masih ada simpanan dengannya. Mereka pun mengharapkan kadar dividen yang lebih baik daripada tahun kewangan 2020 sebanyak 5.20 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.90 peratus bagi simpanan syariah.

Akibat dasar kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan yang ada hari ini membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan mereka ketika krisis Covid-19, banyak daripada mereka sudah kehabisan simpanan atau tinggal sedikit sahaja.

Menurut kenyataan KWSP, seramai 7.88 juta pencarum berusia 54 tahun ke atas hanya ada kurang daripada RM50,000 seorang untuk saraan hari tua.

Kesimpulannya, apa pun masalah, kontroversi dan tekanan perniagaan dihadapi oleh dua tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) ini, tanggungjawab mereka kepada pelabur serta pencarum tidak boleh sesekali diabaikan.

Pelabur dan pencarum berhak mengharapkan pulangan yang lebih baik.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca