SHAH ALAM - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menafikan dakwaan bahawa Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menafikan dakwaan bahawa Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wan Junaidi menjelaskan bahawa Lee Shan hanya dipanggil untuk disoal siasat oleh SPRM, sebagai saksi, bagi membantu siasatan berhubung video yang tular di media sosial baru-baru ini.

"SPRM telah beberapa kali cuba menghubungi Lee Shan untuk menyiasat video tular tetapi gagal menghubunginya.

"Pihak berkuasa kemudian berjaya menemui Lee Shan di sekitar Taman Kenyalang untuk menyampaikan notis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM dan menjelaskan bahawa beliau perlu di bawa ke pejabat SPRM di Kuching untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, media melaporkan Lee Shan mendakwa beliau ditahan oleh pegawai SPRM pagi ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Lee Shan yang juga calon Batu Lintang itu berkata, beliau sedang memandu keretanya melintasi Kenyalang Park apabila diarah berhenti oleh sebuah kereta.

"Saya ada dalam kereta, tiba-tiba ada kereta mengekori dan menghentikan saya. Mereka rampas kunci kereta saya dan cuba menahan saya.

"Saya tak tahu saya ditahan atas sebab apa, tapi mereka tak boleh macam ini, ini salah,” katanya.

Sementara itu, dalam satu video dimuat naik di media sosial, Lee Shan mempersoalkan motif sebenar tindakan SPRM menahannya semasa kempen PRN Sarawak sedang berlangsung.

Lee Shan menjelaskan beliau berasa terancam dan takut kerana ada lebih 10 pegawai SPRM menyoal siasatnya lebih 4 jam.

Wan Junaidi jelaskan Lee Shan hanya disoal siasat SPRM.

"Ada lebih 10 orang siasat saya. Saya takut dan rasa terancam," katanya dalam satu rakaman video sebaik sahaja keluar daripada bangunan SPRM, tengah hari tadi.

Dalam pada itu, Lee Shan menjelaskan SPRM menyiasat beliau di bawah Seksyen 16 (b) A Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan menerima suapan dengan memberikan, menjanjikan atau menawarkan kepada mana-mana orang sama ada bagi faedah orang itu atau faedah orang lain.

"Mereka tanya saya mengenai salah satu video saya. Kalau jadi kerajaan kan mesti bantu rakyat, adakah ini salah? Kerajaan sekarang pun bantu rakyat dengan wang melalui subsidi. Apa yang salahnya kalau kita bentuk kerajaan dan bantu rakyat?"

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada penawaran PBK terhadap pemberian wang tunai RM3,000 kepada pengundi jika mereka menang PRN Sarawak.

Lee Shan juga mendakwa, SPRM cuba untuk memberi tekanan kepada beliau dan partinya, PBK.

"Saya tanya mereka (SPRM), siapa yang buat laporan mengenai saya? Mereka kata SPRM lah. Saya tanya siapa pegawai itu? Jelas yang lapor saya bukannya orang awam dan bukannya orang Sarawak," katanya.

Untuk rekod, Lee Shan yang mengetuai PBK dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ke-12 kali ini menampilkan 73 calon daripada parti itu, dengan membawa kempen ‘Bebaskan Sarawak dari Malaysia' atas dakwan Perjanjian Malaysia 1963 tidak adil kepada rakyat negeri ini.

Parti itu merupakan salah satu parti yang bakal mencabar parti kerajaan negeri iaitu Gabungan Parti Sarawak.

ARTIKEL BERKAITAN:SPRM nafi tahan Presiden PBK

Klik di sini untuk terus membaca