SHAH ALAM - Sukan elektronik (e-sukan) di Malaysia kini bukan lagi sekadar hobi, malah sudah menjadi satu kerjaya sukan sehingga telah melahirkan ramai pemain muda yang berjaya di peringkat antarabangsa sehingga ada yang bergelar jutawan.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sukan elektronik (e-sukan) di Malaysia kini bukan lagi sekadar hobi, malah sudah menjadi satu kerjaya sukan sehingga telah melahirkan ramai pemain muda yang berjaya di peringkat antarabangsa sehingga ada yang bergelar jutawan.

Malah, menariknya permainan e-sukan kini sudah menjadi satu kerjaya profesional apabila pemain-pemain boleh meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan.

Pelbagai kejohanan telah dianjurkan di peringkat antarabangsa, malah sukan e-sukan atau e-sports kini turut diiktiraf sebagai salah satu cabang sukan apabila dipertandingkan pada Sukan Asia 2022 dan Sukan SEA 2019.

Menurut Presiden Persekutuan e-Sukan Malaysia (MESF), Datuk Ananth S Nathan, e-sukan merupakan industri yang berkembang pesat di seluruh dunia dan boleh dikategorikan sebagai sukan yang memberi pendapatan lumayan kepada pemainnya.

"Dari segi pendapatan, e-sukan antara sukan yang memberi ganjaran tertinggi di Malaysia.

"Setakat ini, saya tidak pernah melihat mana-mana atlet sukan yang mendapat pulangan duit melebihi RM25 juta dalam satu kejohanan.

"Saya juga tidak rasa ada sukan yang boleh menandingi e-sukan yang mana ramai anak muda yang masih belajar boleh membawa ganjaran yang besar malah menjadi jutawan dalam sekelip mata,” katanya kepada Sinar Harian.

Ananth berkata, setakat ini, terdapat dalam 600 ke 1,000 orang pemain profesional yang berdaftar dan penglibatan mereka dalam e-sukan memang menguntungkan.

Sebagai contoh katanya, pasukan PSG LGD dalam Dota 2 pernah mencatat sejarah dengan hadiah tertinggi dalam sejarah sukan sehingga AS$40 juta (RM166 juta).

"Setakat Oktober lalu, pendapatan paling banyak yang diperoleh oleh pemain e-sukan adalah RM27 juta dalam satu kejohanan.

"Pendapatan bulanan atlet e-sukan pula paling tinggi adalah RM15,000 dan pendapatan pemain profesional paling rendah adalah dalam RM1,500 ke RM2,000 bergantung kepada kumpulan,” katanya.

Tambahnya, permainan e-sukan yang paling banyak menjana pendapatan dan paling popular pada masa ini adalah Dota 2 iaitu AS$40 juta (RM178 juta) diikuti League of Legends AS$2.25 juta (RM9.9 juta).

"Seterusnya Mobile Legends yang dibahagi tiga iaitu M1 sebanyak RM1.3 juta, M2 (RM1.3 juta) dan M3 (RM3.6 juta). E-sukan lain yang turut popular di negara ini adalah e-racing dan FIFA yang lebih kepada permainan multiplayer,” kata beliau.

Ananth berkata, tidak ada sukan yang boleh menandingi e-sukan yang mana seorang anak muda boleh membawa ganjaran lebih RM27 juta dalam satu kejohanan. -Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

Biarpun e-sukan merupakan sebuah industri yang kian mekar di negara ini, Ananth berpandangan bahawa e-sukan di Malaysia masih belum diberi kesempatan yang luas setanding sukan bola sepak negara.

"Pemain-pemain ini kurang mendapat platform yang sepatutnya dan mereka memilih untuk pergi ke sektor swasta kerana tiada sokongan yang sewajarnya.

"Sekalipun ada platform untuk mereka bergerak, kebanyakannya keliru dengan sistem pengurusan e-sukan di Malaysia yang melibatkan campur tangan pihak tertentu.

"Oleh itu, segelintir daripada mereka bercadang untuk bergerak secara sendiri dan akhirnya menyebabkan ia tidak boleh dikawal dengan baik.

"Seharusnya, kerajaan menggabungkan semua sektor swasta dan atlet negara bersama agar memudahkan urusan semua pihak,” katanya.

Pandang rendah

Selain itu, Ananth berharap agar segelintir masyarakat yang memandang rendah terhadap e-sukan itu dapat menukar tanggapan mereka ke arah positif susulan industri ini semakin berkembang di Malaysia.

"Saya memahami segelintir masyarakat yang tidak mahu anak mereka menjadikan e-sukan sebagai kerjaya. Kita juga tidak mahu memaksa orang untuk mempertaruhkan sesuatu yang mereka rasa tidak ada masa depan padanya.

"Tugas MESF adalah untuk mengenal pasti bakat-bakat terpendam yang mana mereka mempunyai semangat dalam e-sukan untuk kita latih dari awal,” katanya.

Dalam pada itu, Ananth berharap agar kementerian memberi tumpuan untuk membangunkan hab untuk e-sukan bagi mengembangkan dan memajukan lagi industri ini.


Pemain jutawan di Malaysia


1. xNova (Yap Jian Wei): AS$1,893,391 (RM7.97 juta) dari 45 kejohanan Dota 2

2. MidOne (Zheng Yeik Nai): AS$1,797,918 (RM7.57 juta) dari 65 kejohanan Dota 2

3. NothingToSay (Cheng Jin Xiang ): AS$1,172,676 (RM4.93 juta) dari 22 kejohanan Dota 2

4. Mushi (Chai Yee Fung): AS$1,026,918 (RM4.32 juta) dari 90 kejohanan Dota 2

5. Ah-fu (Chuan Tue Soon): AS$795,006 (RM3.34 juta) dari 38 kejohanan Dota 2

(sumber: esportsearnings.com)


Permainan e-sukan paling popular di Malaysia


- Dota 2

- League of Legends

- Mobile Legends

- FIFA

- PUBG


Klik di sini untuk terus membaca