SHAH ALAM - Seorang pemain e-sukan profesional negara bergelar jutawan pada usia 21 tahun selepas meraih kejayaan muncul naib johan dan membawa pulang AS$5.2 juta (RM21.7 juta) pada kejohanan e-sukan paling berprestij di Bucharest, Romania baru-baru ini.
Pemain profesional Dota 2, Cheng Jin Xiang atau lebih dikenali sebagai ‘NothingToSay’ berkata, kejayaan itu membuatkannya terkenal khususnya di Malaysia walaupun dia mewakili PSG.LGD yang berpangkalan di China.
Pun begitu katanya, bergelar jutawan dalam e-sukan tidak membuatkan dirinya lupa diri. Untuk kejohanan di Romania sahaja NothingToSay dilaporkan memperoleh lebih RM3 juta secara individu selepas dibahagi bersama rakan pasukannya.
"Saya tidak merasakan saya seorang jutawan. Kehidupan saya seperti remaja biasa yang lain. Saya tetap suka makan dan lepak di restoran mamak,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Premium.
Sejak menjadi pemain profesional, anak kelahiran Johor Bahru ini telah memenangi lebih 20 kejohanan di pentas antarabangsa.
Malah berdasarkan laman web berkaitan e-sukan dunia, Liquidpedia, Jin Xiang meraih pendapatan lebih RM4.9 juta sejak enam tahun bergelar pemain profesional.
Jin Xiang menambah, selepas bergelar pemain profesional, kualiti hidup dirinya dan keluarga semakin baik tanpa perlu bimbang lagi tentang soal kewangan.
"Menempuh kejayaan pada usia yang muda membuatkan saya lebih beringat. Pada masa sama, semua wang kemenangan diuruskan oleh emak,” katanya yang kini berada di China bersama pasukannya.
Jin Xiang yang juga pemain nombor satu Malaysia bagi e-sukan Dota 2 berkata, dia terlibat dalam e-sukan ketika berusia 16 tahun.
Pada masa itu katanya, dia dan rakan-rakan bekerjasama membentuk pasukan dan menyertai kejohanan kecil-kecilan sebelum berlatih menjadi pemain profesional.
"Antara cabaran menjadi pemain profesional adalah kita perlu sentiasa fokus dan berusaha menjadi pemain terbaik. Jangan sesekali mempunyai sifat malas jika ingin berjaya,” katanya.
Pencapaian tertinggi yang paling dibanggakan oleh Jin Xiang sebagai pemain Dota 2 adalah ketika pertandingan The International Tournament yang menawarkan hadiah tertinggi dalam sejarah sukan iaitu sehingga AS$40 juta (RM166 juta).
Jumlah wang kemenangan itu setanding dengan kejohanan tenis Wimbledon dan 10 kali lebih banyak daripada kejohanan lumba basikal Tour de France.
"Saya bercita-cita untuk membuat lebih baik pada The Internationals 11 yang akan diadakan tahun hadapan,” katanya.
Jin Xiang berpandangan e-sukan mempunyai masa depan yang cerah di Malaysia namun semua pihak termasuk pemain perlu lebih berusaha untuk membawa industri e-sukan ke persada dunia.
"Kerajaan boleh tingkatkan lagi e-sukan di Malaysia dengan mengadakan lebih banyak pertandingan bagi mencari pemain yang berpotensi,” katanya.
Biodata Pemain:
Nama penuh: Cheng Jin Xiang
Dikenali sebagai: NothingToSay
umur: 21
Asal: Johor Bharu
Nama Kumpulan: Pasukan PSG.LGD
Kerjaya: Pemain Professional Dota 2 dari tahun 2016
Pencapaian (Anugerah):
- Pemain nombor satu dunia/negara dalam e-sukan, Dota 2
- Tempat pertama dalam Liga WePlay AniMajor (2021)
- Tempat pertama dalam Liga OGA Dota PIT Season 5: China (2021)
- Tempat kedua dalam kejohanan The International 2021 (2021)
- Tempat pertama dalam Kejohanan CDA-FDC Professional (Musim 1 dan 2) (2020)
- Tempat pertama dalam Piala China Dota2 Pro Cup Season 1 (2020)
- Tempat pertama dalam Liga DPL-CDA Professional (Musim 1 dan 2) (2020)
- Tempat pertama dalam EPICENTER Major 2019 Southeast Asia Open Qualifier #1 (2019)
- Tempat pertama dalam Liga ANGGAME China vs SEA #3 - Southeast Asia Qualifier (2019)
- Tempat pertama dalam Liga World Electronic Sports Games 2018 Malaysia Finals (2018)
Kedudukan dalam e-sukan Dota 2 menurut GG Esports:
- Kedudukan pertama dalam dunia (Global rank)
- Kedudukan pertama dalam kawasan/daerah (Region rank)
- Kedudukan pertama dalam Dota 2 (Role rank)
Klik di sini untuk terus membaca