HAKIKAT bahawa selepas insiden buli yang meragut nyawa seorang mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan 18 pembuli dijatuhi hukuman penjara, perbuatan sama masih lagi berlaku, menunjukkan yang kita enggan belajar atau mengambil... Klik di sini untuk terus membaca

HAKIKAT bahawa selepas insiden buli yang meragut nyawa seorang mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan 18 pembuli dijatuhi hukuman penjara, perbuatan sama masih lagi berlaku, menunjukkan yang kita enggan belajar atau mengambil pengajaran daripadanya dan ini sangat-sangat membimbangkan.

Kes yang melibatkan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang mana seluruh anggota badannya (melainkan muka dan tapak tangan) ditekap dengan seterika panas sebanyak 90 kali mendapat liputan meluas dan diketahui umum kerana dibicarakan di mahkamah namun ia masih tidak dapat menghalang perbuatan buli.

Yang terbaru melibatkan pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar. Ia adalah sebuah sekolah berasrama penuh yang sepatutnya hanya menempatkan pelajar-pelajar terbaik dari seluruh negara.

Kenapa mereka terpilih ke sekolah berasrama penuh? Ia adalah kerana mereka merupakan pelajar-pelajar terpilih. Hanya yang terpilih dan terbaik sahaja diberikan peluang untuk meneruskan pengajian ke sekolah berasrama penuh.

Sebahagian besar daripada mereka juga adalah terdiri daripada pelajar-pelajar luar bandar yang cerdik yang mana ruang dan suasana pembelajarannya tidak sebaik rakan-rakan mereka di kawasan bandar.

Sebab itulah mereka diberi ruang dan peluang untuk melanjutkan pengajian menengah mereka di sekolah berasrama penuh. Setiap tahun beribu pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang ketika di sekolah rendah tetapi hanya segelintir dengan latar belakang yang kurang bernasib baik sahaja yang diberi keutamaan untuk memasuki sekolah seperti MRSM ini.

INSTITUSI TERBAIK

Malah MRSM diwujudkan dengan matlamat yang murni iaitu untuk membuka ruang yang seluas-luasnya kepada pelajar Bumiputera memperolehi pendidikan yang sempurna dan terbaik. Ia bukan dicipta untuk menempatkan pembuli atau pembunuh.

Pada kebiasaannya, graduan-graduan MRSM akan ditempatkan pula di universiti-universiti terbaik dunia untuk meneruskan pengajian dalam bidang-bidang kritikal kepada negara. Pendek kata, di atas kertas, mereka dijaga dan dibentuk dari mula hingga berakhir sebagai bakal manusia yang berjaya di Malaysia.

Mereka dilatih untuk muncul sebagai bakal pemimpin negara dalam pelbagai bidang yang dapat membantu kita menjadi sebuah negara yang berdaya saing, berjaya maju dan berdaya tahan - bukan sebagai pembuat kacau, penjahat atau pembuli.

Bagaimanapun apa yang berlaku ini bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi ini yang mana Mara sendiri berbelanja berbilion ringgit untuk membinanya di seluruh negara malah memberi nama dan imej buruk kepada Almarhum Sultan Azlan Shah iaitu Sultan Perak dan bekas Ketua Hakim Negara.

Almarhum Baginda Sultan Azlan Shah adalah penegak undang-undang. Malangnya sebuah institusi yang diberikan nama baginda tercemar dengan satu insiden yang melanggar undang-undang dan peraturan. Situasi ini amat ironis, menyedihkan dan mendukacitakan.

Perkara yang sama boleh dikatakan kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Mereka yang belajar di sana dilatih sebagai bakal pegawai tentera masa depan yang suatu hari nanti akan menjadi jeneral empat bintang yang diamanahkan dengan mandat menjaga pertahanan negara.

Cuba bayangkan anak muda yang hendak dilatih sebagai pegawai tentera masa depan dan bakal menjadi seorang jeneral terlibat dengan perbuatan buli yang tiada belas kasihan ke atas rakannya sendiri, mencedera dan memperlakukannya sepertimana haiwan malah haiwan sekali pun tidak berhak diperlakukan sedemikian.

Bagaimanakah agaknya mereka ini hendak diamanahkan menjaga pertahanan negara seandainya mereka tidak dapat menjaga dan menyelamatkan rakan mereka sendiri. Apa yang terjadi di kedua-dua institusi ini hanya membuktikan satu perkara - kita berjaya menghasilkan generasi yang cerdik tetapi tidak berilmu dan berakal budi.

Hari ini jika ditanya kepada ibu bapa, tiada seorang pun yang ingin atau mahu menghantar anak mereka ke Universiti Pertahanan Nasional. Apatah lagi jika ada yang menyaksikan rakaman video insiden di MRSM Sultan Azlan Shah yang viral itu, jangan sampai ibu bapa turut merasa serik untuk menghantar anak-anak mereka ke MRSM.

Kita semua - masyarakat, pemegang taruh, pembuat dasar dan pemimpin wajib bertanya - apa sebenarnya yang tidak kena dengan masyarakat kita?

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca