DENGAN tempoh tidak sampai seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, kempen kini semakin rancak dan memasuki ‘gear lima dan enam’ pada minggu ini. Malah, berdasarkan pemerhatian, perang bendera dan poster serta kain... Klik di sini untuk terus membaca

DENGAN tempoh tidak sampai seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, kempen kini semakin rancak dan memasuki ‘gear lima dan enam’ pada minggu ini.

Malah, berdasarkan pemerhatian, perang bendera dan poster serta kain pemidang dipasang oleh parti dan calon bertanding di PRN Sarawak semakin meriah bukan hanya di sekitar Bandar Raya Kuching sahaja, malah telah melibatkan ke kawasan luar bandar seperti Opar dan Labas.

Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, kempen calon dan parti bertanding dijangka terus memuncak dan meningkat ke gear lima atau enam pada minggu ini dengan pelbagai strategi dan 'senjata rahsia' akan digunakan menjelang hari pembuangan undi pada 18 Disember atau Sabtu ini.

Antara pendekatan atau kaedah yang akan diperhebatkan menjelang hari pengundian PRN Sarawak termasuklah kempen bersemuka dari rumah ke rumah dan secara maya selain mengedarkan risalah.

"Malah, kempen bersemuka dan pengedaran risalah dari rumah ke rumah dilihat sebagai kaedah terbaik dan lebih berkesan berbanding kempen secara maya dalam PRN Sarawak kali ini kerana mempunyai elemen sentuhan peribadi calon bersama pengundi.

"Tambahan pula, Sarawak mempunyai lebih 6,000 rumah panjang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan kempen bersemuka dijalankan di 64 daripada 82 kerusi DUN dipertandingkan. Keadaan itu memerlukan perbelanjaan besar dan jentera akar umbi parti yang kuat untuk berkempen di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, biarpun di atas kertas menunjukkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) nampak selesa untuk memenangi dua per tiga atau lebih 68 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun tidak boleh dinafikan wujud persaingan sengit di kawasan panas di mana berlaku pertembungan wakil pembangkang terutama DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

GPS DI DEPAN

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan dan pemerhatian dibuat GPS kini berdepan dengan saingan sengit di beberapa kerusi di mana lebih 60 hingga 70 peratus pengundi terdiri masyarakat Iban.

Jeniri yang juga Profesor Adjung Universiti Malaysia Sarawak berkata, GPS turut menghadapi cabaran dan ujian getir daripada parti DAP dan PSB di beberapa kawasan di luar bandar terutama kerusi di mana majoriti pengundinya orang Dayak.

Bagaimanapun, Jeniri berkata, beliau percaya GPS masih kekal menjadi pilihan rakyat Sarawak berdasarkan track record yang baik dan lebih 100 inisiatif dilaksanakan Tan Sri Abang Johari Abang Openg, sejak mengambil alih jawatan Ketua Menteri selepas kematian Tan Sri Adenan Satem, pada 2017.

"Tiada sebab GPS untuk gagal memenangi lebih dua pertiga daripada 82 kerusi DUN dalam PRN Sarawak nanti dengan peruntukan belanjawan yang begitu besar iaitu lebih RM10 bilion termasuk kira-kira 65 peratus untuk pembangunan luar bandar diperuntukkan setiap tahun sejak empat tahun lalu.

"Walaupun banyak parti bertanding dalam PRN Sarawak kali ini namun tentangan utama dihadapi GPS hanya datang daripada parti DAP di kawasan bandar dan PSB di beberapa kerusi di bandar dan luar bandar,” katanya.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, biarpun beberapa parti lain cuba menyaingi GPS di beberapa kerusi namun ia tidak memberikan kesan terlalu besar kebanyakan parti berkenaan aktif berkempen dan mendekati pengundi secara bermusim menjelang PRN sahaja.

Tambahnya, berdasarkan rekod PRN Sarawak ke-11 pada 2016, tentangan utama hanya datang dari dua parti pembangkang sahaja iaitu DAP dan PKR yang ketika itu berada dalam keadaan cukup mantap.

"Biarpun PKR bertanding 43 kerusi namun mereka hanya mampu menang tiga kerusi DUN sahaja pada PRN Sarawak ke-11 lalu dengan meraih 10 peratus daripada undi keseluruhannya.

"Jadi ini bermakna majoriti calon pembangkang dan Bebas yang bertanding pada PRN Sarawak ke-12 akan pulang tangan kosong dan dijangka hilang wang deposit kecuali beberapa calon DAP dan PSB,” katanya.

Dalam pada itu, Jeniri berkata, jumlah calon Bebas bertanding pada PRN Sarawak kali ini ialah 30 orang, merosot berbanding 36 orang pada 2016.

"Bagaimanapun, semua calon Bebas bertanding pada PRN Sarawak ke-11 tewas termasuk 20 daripada mereka hilang wang pertaruhan. Jadi saya fikir calon Bebas ini hanya kacau daun dan tidak akan memberi tentangan bermakna kecuali seorang dua sahaja yang mampu memberikan saingan kepada calon GPS, DAP dan PSB,” katanya.

Sementara itu, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata, biarpun kempen PRN Sarawak kini semakin rancak dan berlaku persaingan sengit dengan DAP dan PSN di beberapa kerusi tertentu namun ia tidak menghalang GPS untuk meraih kemenangan dan mengekalkan status quo sebagai kerajaan negeri selepas PRN Sarawak nanti.

Ini kerana, katanya majoriti rakyat Sarawak kekal bersama kerajaan negeri pimpinan Abang Johari yang sentiasa memperjuangkan nasib, kebajikan dan tuntutan hak mereka termasuklah berkaitan isu royalti minyak seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Malah, pentadbiran Abang Johari juga banyak menghulurkan pelbagai bantuan dan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bagi memastikan rakyat Sarawak mempunyai makanan di atas meja dan mampu meneruskan kelangsungan hidup semasa negara menghadapi Covid-19, sejak Mac 2020.

"Antaranya termasuklah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0 hingga BKSS 5.0 bagi membantu rakyat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro.

"Kerajaan negeri juga menyediakan pelbagai bantuan lain termasuklah Skim Bantuan Deposit Perumahan Sarawak; Skim Rumah Mampu Milik dan banyak lagi bagi membolehkan rakyat Sarawak terutama golongan muda memiliki rumah sendiri,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca