SESIAPA saja yang mendalami sejarah Islam dan umat ahli kitab Yahudi dan Nasrani akan melihat perkembangan sejarah sekitar empat hingga lima alaf terakhir ini dengan penuh takjub. Dalam dunia kontemporari, ilmu tentang teater tamadun insan... Klik di sini untuk terus membaca

SESIAPA saja yang mendalami sejarah Islam dan umat ahli kitab Yahudi dan Nasrani akan melihat perkembangan sejarah sekitar empat hingga lima alaf terakhir ini dengan penuh takjub. Dalam dunia kontemporari, ilmu tentang teater tamadun insan ini sudah tentu boleh didapati dengan melayari internet dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

Tulisan Profesor Dr Solehah Yaacob yang berjudul "Sejarah Bahasa Aramaik" (3 November 2021) ialah satu rujukan internet yang menarik. Dalam masa yang sama, buku setebal 512 halaman yang saya rujuk ialah yang berjudul "The Cultural Atlas of Islam" (Macmillan, New York, 1986) yang saya beli di London, UK, pada Disember 1989. Pasangan penulis suami isteri, Isma'il Raji al Faruqi dan Lois Lamya' al Faruqi telah dibunuh oleh seorang penceroboh yang memasuki rumah mereka di Pennsylvania, Amerika Syarikat pada Mei 1986.

Daerah lengkung yang digelar sebagai Hilal Subur mengandungi Iraq selatan, selatan Turki, Syam atau Syria (sebutan: si-ria, bukan syiria), Lubnan, Jordan, Palestin dan utara Mesir.

Pada zaman Nabi Muhammad SAW, negara Syam ialah sebuah negara yang besar; dan nama itu kekal hinggalah Perang Dunia Pertama.

Selepas kekalahan Khilafah Uthmaniyyah pada Perang Dunia Pertama, penguasa British dan Perancis telah membahagikan negara Syam kepada empat buah negara kecil, iaitu Lubnan, Jordan, Palestin dan Syria. Selepas Perang Dunia Kedua, negara Palestin pula dirobek-robek dan diduduki sebahagian besarnya oleh kuasa Zionis hingga kini.

Daerah Hilal Subur yang luas ini juga dikenali sebagai Buaian Tamadun dan diairi oleh Sungai Nil, Sungai Furat (Euphrates) dan Sungai Dajlah (Tigris). Hujung timur Hilal Subur mencecah Teluk Parsi. Kawasan tengah hilal ini menelusuri pantai timur Lautan Mediterranean; dan hujung daerah baratnya bersempadan dengan kawasan utara Laut Merah.

Jazirah Arab merupakan sebuah semenanjung yang lebarnya dari Laut Merah ke Teluk Parsi. Bahagian timur laut berbatasan dengan kawasan tengah Hilal Subur; sementara sempadan tenggara berbatasan dengan pantai Teluk Aden dan Laut Arab.

Alhamdulillah saya berpeluang bermusafir ke semua tempat yang disebut di atas. Sempat belajar ilmu perubatan (Mesir), mengirim bantuan kemanusiaan (Iraq dan Gaza, Palestin), menghadiri konferens (Turki, Jordan) dan melawat (Lubnan dan Syria).

Kedua-dua Hilal Subur dan Jazirah Arabiah merupakan pentas pergerakan dan konflik sesama manusia pada zaman Sebelum Masihi dan selepas Nabi Isa AS diangkat ke langit oleh Tuhan.

Banyak penemuan arkeologi pada kurun ke-18 dan ke-19 Masihi mengukuhkan bukti kewujudan pelbagai kaum serta jenis bahasa yang mempunyai persamaan antara satu sama lain. Kesemuanya dapat dikumpulkan dalam rumpun keluarga demografik yang bernama Semitik. Istilah Semitik ini mula digunakan oleh para cendekiawan Perjanjian Lama berlandaskan jadual genealogi bangsa-bangsa; dan ia dinisbahkan kepada nama Shem atau Sam, yakni nama anak Nabi Nuh AS.

Tiga bahasa utama Semitik ialah Aramaik (al-Siriyaniyyah), Hebrew (al-'Ibriyyah) dan Arab (al-'Arabiyyah). Perkataan Aramaik berasal dari perkataan Aram iaitu anak kelima Sam bin Nuh. Kaum Aram menetap di Kota Aram yang kini dikenali sebagai Damsyik.

Adalah dikatakan bahawa Nabi Musa AS bertutur dalam bahasa Hebrew. Baginda juga dikatakan boleh berbahasa Mesir kerana pernah tinggal di istana firaun.

Nabi Isa AS bertutur dalam bahasa Aramaik sedangkan para ulama Yahudi ketika itu bertutur dan menulis dalam bahasa Hebrew. Sudah tentu Nabi Muhammad SAW bertutur dalam bahasa Arab; bahasa Quran yang terus hidup dan berfungsi.

* Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis sosial

Klik di sini untuk terus membaca