MUTAKHIR ini, isu tanah runtuh hangat diperkatakan sejak tragedi di Cameron Highlands yang mengorbankan dua nyawa. Peristiwa itu sudah pasti mengejutkan ramai pihak kerana runtuhan ini berlaku di laluan jalan raya utama.
Tidak dinafikan pembangunan termasuk di tanah tinggi amat diperlukan apatah lagi dengan bertambahnya bilangan penduduk. Namun, pembangunan hendaklah diseimbangkan dengan pemeliharaan terhadap alam sekitar kerana pembangunan yang tidak berhemah akan memudaratkan dan memberi kesan negatif kepada alam sekitar.
Bencana alam seperti kejadian tanah runtuh, hakisan tanah dan banjir lumpur terutama sekali di kawasan sensitif seperti tanah tinggi merupakan suatu kejadian yang amat ditakuti kerana ia sering berlaku secara tiba-tiba dan tanpa diduga. Selain faktor geologi dan jumlah curahan hujan, aktiviti pembangunan tidak terkawal yang dijalankan di tanah tinggi sering membawa padah kepada alam sekitar.
Kini, kawasan tanah tinggi semakin diancam oleh arus pembangunan yang pantas. Projek seperti pembinaan jalan, perumahan, hotel, kegiatan pertanian dan aktiviti lain yang tidak terkawal sering menjadi punca kepada bencana alam di tanah tinggi. Walaupun menerima bantahan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun bantahan tersebut masih tidak diendahkan.
Dari sudut perundangan alam sekitar di Malaysia kini membuktikan bahawa negara tidak terkebelakang dalam menangani isu-isu alam sekitar dengan adanya undang-undang alam sekitar yang menyeluruh serta merangkumi pelbagai aspek. Pihak berkuasa tempatan perlu bertanggungjawab memastikan pembangunan pertanian tanah tinggi yang mampan dan baik oleh pemilik tanah dan peladang serta memastikan pematuhan Garis Panduan Pembangunan Pertanian di Tanah Bercerun.
Selain itu, pemantauan bagi mengawal aktiviti pembangunan pertanian, terutama kerja-kerja tanah dan pembinaan struktur turut diberi keutamaan.
Walaupun demikian, saban hari kita diperdengarkan dengan berita tanah runtuh. Perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana undang-undang telah jelas wujud.
Mungkin hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah undang-undang tanpa penguatkuasaan adalah tidak bermakna. Undang-undang yang ada perlu dikuatkuasakan sebaik-baiknya supaya kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan.
Selain itu, kempen kesedaran juga diberikan kepada orang ramai dan pihak berkepentingan lain seperti pemaju projek pembangunan supaya mereka sedar bahawa pembangunan sahaja tidak memadai jika tidak disertakan dengan pemuliharaan alam sekitar.
Pihak berkepentingan juga sepatutnya menjadi lebih prihatin dan berusaha memelihara alam sekitar dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada perunding tertentu berhubung dengan kesan pembangunan terhadap alam sekitar di samping mematuhi undang-undang, peraturan serta garis panduan yang ditetapkan. Malah, pendidikan secara formal perlu digarap di semua peringkat pendidikan kesedaran akan kewajipan memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab bersama.
Memandangkan kawasan tanah tinggi adalah antara sumber alam yang terpenting sama ada dari segi ekonomi mahupun sumber alam semula jadi, langkah pengawalan terhadap aktiviti pembangunan di sekitar kawasan ini perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Bertindak selepas sesuatu kejadian berlaku adalah langkah yang tidak seharusnya menjadi pilihan utama. Penguatkuasaan undang-undang secara berterusan serta memastikan garis panduan berkaitan dilaksanakan sepenuhnya harus diberi keutamaan.
* Dr Rumaizah Mohd Nordin ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pembinaan Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur. Beliau juga seorang jurutera dan teknologis profesional
Klik di sini untuk terus membaca