SHAH ALAM - Penggunaan gajet adalah satu keperluan terutama ketika negara menuju Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan teknologi 5G.
Namun, ia menyebabkan seseorang menghabiskan masa berjam-jam sehari memandang paparan skrin telefon atau komputer.
Bagaimanapun, Pakar Perunding dan Pensyarah Kanan Oftalmologi dan Sains Visual, Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan, Prof Dr Mohtar Ibrahim berkata, tempoh penggunaan gajet yang wajar mestilah tidak lebih daripada dua jam sehari.
"Saranan umum penggunaan gajet bagi mereka yang melebihi usia lima tahun dan dewasa adalah tidak lebih daripada dua jam sehari. Bagi mereka yang berusia dua hingga lima tahun, penggunaan gajet terhad kepada satu jam sehari.
"Bagi bayi atau mereka di bawah dua tahun pula, penggunaan gajet adalah zero screen time atau tidak disarankan sama sekali,” katanya kepada Sinar Premium.
Jelas beliau, penggunaan gajet melebihi had masa akan mengakibatkan seseorang berkemungkinan terkena sindrom penglihatan komputer (CVS) yang serius.
"CVS merujuk kepada sindrom berkaitan penglihatan disebabkan penggunaan gajet yang berpanjangan melebihi dua jam sehari.
"Sindrom ini selalunya terjadi kepada individu yang melihat skrin gajet pada jarak dekat dalam masa yang lama serta kurang pencahayaan. Tumpuan mata kepada skrin gajet menyebabkan kelipan mata berkurang,” jelasnya.
Tambah beliau, sindrom CVS secara khususnya melibatkan bahagian mata namun, ia juga boleh mempengaruhi tengkuk, bahu dan belakang badan.
"Antara gejala CVS yang boleh dikesan adalah mata penat, kering, pedih dan kabur. Kadar ‘miopia’ (rabun dekat) pada kanak-kanak juga meningkat. "CVS juga dapat dikesan pada anggota lain apabila seseorang mengalami sengal bahu dan tengkuk, sakit belakang, kepala dan jari-jemari,” katanya.
Selain itu, penggunaan gajet yang berlebihan juga akan memberi pelbagai kesan jangka panjang kepada kanak-kanak dan dewasa sehingga boleh mengubah struktur badan dan mata.
"Kesan jangka masa yang boleh terjadi terutama kepada kanak-kanak dan remaja adalah berlakunya beberapa perubahan fisiologi pada struktur mata seperti rabun dekat.
"Fungsi tubuh secara keseluruhan juga boleh berubah seperti postur tulang belakang dan tangan. Dari segi sosial, sudah semestinya mereka yang menggunakan gajet lebih selesa bersendirian sehinggakan kemahiran berkomunikasi mereka berkurang,” katanya.
Mohtar turut memberi saranan tentang cara-cara untuk mengelak daripada mengalami simptom CVS dan berharap agar kesedaran masyarakat dapat ditingkatkan mengenai kesan penggunaan gajet untuk jangka masa yang lama.
"Untuk elakkan daripada menghadapi gejala CVS, kita boleh menggunakan peraturan 20-20-20 iaitu berehat selama 20 saat selepas menggunakannya setiap 20 minit dengan melihat objek pada jarak 20 kaki atau enam meter.
"Betulkan kedudukan badan dengan jarak mata pada gajet iaitu tidak kurang daripada 30 sentimeter.
"Kita juga perlu perbanyakkan aktiviti luar untuk pencahayaan yang cukup demi kesihatan mata,” kata Mohtar.
Klik di sini untuk terus membaca