SHAH ALAM - Kerjaya masa kini sudah tidak bergantung kepada bidang konvensional semata-mata kerana dengan adanya ledakan era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), pelbagai jenis kerjaya baharu yang tidak pernah terfikir oleh generasi terdahulu akan menakluki negara.
Pakar Sosiologi, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, masyarakat seharusnya membuka minda untuk menerima pelbagai jenis pekerjaan baharu selari dengan perkembangan teknologi akan datang sebagai kerjaya yang juga akan menghasilkan pendapatan lumayan seperti industri sukan elektronik (e-sukan).
"Masyarakat harus bersifat lebih terbuka kerana walaupun bidang itu pada suatu ketika dahulu dianggap sebagai sia-sia dan membuang masa, namun ia telah menjadi kerjaya yang sangat stabil sekarang.
"Dengan inovasi teknologi yang ada, kita berada dalam situasi yang mana pekerjaan dalam talian seperti e-sukan merupakan salah satu sumber pendapatan lumayan,” ujarnya.
Tambahnya, e-sukan juga mampu membuka ruang untuk kerjaya lain dalam industri tersebut seperti eksekutif dan pekerja berkemahiran tinggi.
"Ada individu yang ditugaskan untuk menguji, menapis atau bermain permainan tersebut sebelum dilepaskan ke pasaran.
"Kebiasaannya, tugas mereka adalah duduk di hadapan komputer lebih dari tujuh jam sehari untuk mencuba permainan tersebut. Apabila mereka merasakan ia sesuai dipasarkan, barulah pihak syarikat menjualnya,” katanya.
Mohammad Shatar yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, apa yang paling penting adalah kita harus memastikan bahawa semua perkara yang telah dieksploitasi oleh masyarakat muda pada hari ini tidak bertentangan dengan norma masyarakat dan budaya tempatan.
"Apa yang kita lakukan sekarang ini adalah belajar untuk membuka minda dan memberi peluang pada kerjaya akan datang selagi mana ia tidak melalaikan dan melanggar peraturan, norma dan nilai masyarakat kita.
"Zaman sudah berubah dan kita tidak boleh menggunakan formula dan kaedah konvensional yang telah kita gunakan pada 10 ke 15 tahun yang lepas. Sekiranya kita menghadkan anak-anak untuk menerokai perkara-perkara baharu, mereka tidak mampu bersaing pada masa akan datang.
"Oleh itu, generasi lama haruslah memberi sokongan padu kepada bidang-bidang kerjaya baharu yang akan muncul pada masa hadapan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca