SHAH ALAM - Pernah bergelar juara dalam MyRepublic GAMER di Singapura tahun lepas dan Virtual Bundesliga International (VBL) 2021 Qualifier, atlet sukan elektronik berusia 18 tahun ini bukan sahaja hebat menandingi lawannya malah turut cemerlang dalam pelajaran.
Berjaya dalam sukan permainan digital bola sepak, FIFA, bukan penghalang buat pemain profesional e-sukan, Muhammad Muzaffar Zuhair Mustaffa, 18, meraih 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
Mahasiswa Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Petronas (UTP) ini berkata, antara pencapaian dirinya selain memenangi kejohanan FIFA adalah berjaya meraih kepercayaan ibunya dan membuktikan bahawa terlibat dalam e-sukan mampu membuahkan hasil.
"Pencapaian dalam hidup yang saya tidak akan lupa adalah apabila saya dapat membuktikan dan mengubah persepsi ibu saya mengenai FIFA. Pada mulanya, ibu tidak menggalakkan saya bermain FIFA sehingga pernah menyorokkan Play Station 4 (PS4) saya.
"Selepas melihat usaha saya yang membuahkan hasil, perspektifnya berubah,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, cabaran terbesar adalah apabila terpaksa membahagikan masa antara belajar dan pada masa sama bermain FIFA.
"Saya mengaku ada ketikanya saya akan terpesong dan memberi fokus lebih kepada bermain FIFA.
"Namun, apa yang saya lakukan untuk mendapat keputusan terbaik dalam kedua-dua bidang adalah dengan memasuki kelas tuisyen serta memberikan tumpuan setiap kali belajar. Cabaran ini tidak mudah namun tidak mustahil,” ujarnya.
Muhammad Muzaffar atau lebih dikenali sebagai ‘Chamack’ dalam e-sukan FIFA berkata, sepanjang lima tahun berkecimpung dalam dunia gaming, jumlah pendapatan yang diperoleh adalah sekitar RM70,000.
"Paling banyak wang pulangan yang saya pernah dapat adalah RM13,000 dalam MyRepublic GAMER, Singapura yang mana hanya dua wakil dari Malaysia dan dua dari Indonesia yang layak bertanding ketika itu,” katanya.
Muhammad Muzaffar yang muncul juara lebih 30 kali, meluangkan masa selama 10 jam sehari dan membelanjakan sebanyak RM30,000 untuk peralatan FIFA.
"FIFA bukan seperti permainan elektronik lain yang mana kita harus berlatih lebih 10 jam untuk mendapat keserasian. Ia juga adalah permainan yang melibatkan kos yang tinggi,” katanya.
Muhammad Muzaffar yang juga atlet e-sukan FIFA termuda yang menerima status ‘verified’ di Asia Timur berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bergelar pemain profesional.
"Saya memulakan kerjaya dalam FIFA pada umur 14 tahun dan mula berjinak-jinak dengan dunia gaming kerana mengikuti kawan saya. Selepas menyertai kejohanan, saya berasa seronok dan belajar banyak benda baharu,” ceritanya.
Klik di sini untuk terus membaca