SHAH ALAM - Seorang pemimpin akar umbi UMNO menggesa parti itu melaksanakan referendum rakyat bagi membuktikan usul mempercepatkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dikemukakan perwakilan parti, benar-benar mewakili kehendak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang pemimpin akar umbi UMNO menggesa parti itu melaksanakan referendum rakyat bagi membuktikan usul mempercepatkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dikemukakan perwakilan parti, benar-benar mewakili kehendak rakyat.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, dalam konteks Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang kebiasaannya menjadi medan pemimpin parti berdiskusi berkenaan isu rakyat, adalah tidak wajar sekiranya wadah itu digunakan pihak tertentu untuk menuntut pelaksanaan segera PRU15 dengan 'menjual' nama rakyat.

Jelas beliau, sekiranya usul berkenaan dikemukakan atas alasan untuk menstabilkan politik negara, kerajaan Pusat sedia ada sudah dipimpin Perdana Menteri UMNO dan tiada alasan lagi untuk mengatakan kerajaan itu masih tidak stabil.

"Bagi saya, kita jangan asyik guna alasan demi rakyat sedangkan keputusan menukar kerajaan terdahulu dibuat dalam kalangan orang politik atau lebih khusus, ahli-ahli Parlimen.

"Kalau benarlah rakyat tuntut PRU15 dipercepatkan, UMNO kena berani buat satu referendum suara rakyat untuk tunjukkan sama ada mereka benar-benar memilih pilihan raya lebih awal atau mahu peningkatan taraf kehidupan mereka diberi perhatian kerajaan sedia ada.

"Kalau cakap alasan percepat PRU untuk menjamin kestabilan politik negara, sepatutnya UMNO kena hentikan bergaduh sesama sendiri kerana kerajaan sekarang sudah dipimpin oleh Perdana Menteri daripada UMNO," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus terdapat gerakan di peringkat akar umbi UMNO yang cuba mengusulkan cadangan pelaksanaan PRU15 lebih awal pada tahun hadapan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, 13 Januari hadapan.

PAU 2021 dijangka menjadi tumpuan rakyat susulan beberapa isu panas seperti hala tuju hubungan UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) akan dibincangkan selain tuntutan pelaksanaan PRU15 lebih awal susulan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu merasmikan secara serentak mesyuarat Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Bera pada Sabtu menegaskan beliau tidak akan tergesa-gesa untuk membubarkan Parlimen kerana masih terdapat banyak 'urusan yang belum selesai'.

Mengulas lanjut, Mohd Irwan Rizal turut berpandangan tuntutan pelaksanaan PRU15 diadakan segera seolah-olah cuba menggambarkan prestasi kerajaan Keluarga Malaysia dipimpin Ismail Sabri dan Jemaah Menteri terdiri majoriti ahli Parlimen parti itu, lemah dan tidak 'perform'.

Tambah beliau lagi, akar umbi dan pucuk kepimpinan UMNO seharusnya memperhalusi cadangan itu lebih terperinci dengan parti tidak boleh terus dibuai indah dengan kejayaan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

"Akar umbi dan kepimpinan UMNO perlu lihat balik analisis data PRN Melaka di mana terdapat 17 DUN negeri itu menyaksikan undi majoriti diperolehi calon BN merosot lebih daripada 1,000 undi berbanding PRU14.

"Dengan kerajaan sudah memeterai perjanjian gencatan politik dengan Pakatan Harapan untuk menstabilkan politik negara sehingga bulan Julai tahun hadapan, janganlah ahli-ahli UMNO sendiri yang cuba memporak-perandakan kestabilan politik negara semata-mata mahu mengikut telunjuk individu tertentu.

"Saya juga berharap Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO meneruskan kebijaksanaan sedia ada dengan memastikan setiap keputusan dibuat adalah bersifat inklusif dan bukan eksklusif yang akhirnya mengembalikan kebencian rakyat terhadap parti ini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca